Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia kembali jalani latihan di akademi badminton

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia antara pemain yang kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini, yang sebelum ini ditutup susulan penularan wabak Covid-19 dikesan di lokasi berkenaan.

Beregu wanita muda negara meningkat naik, Pearly Tan-M Thinaah juga dilihat menyertai Zii Jia dan beberapa pemain lain dalam sesi latihan yang dijalankan di ABM sejak Selasa lepas.

Mereka kembali menjalani latihan selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif Covid-19 di ABM, baru-baru ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata sesi kali ini hanya melibatkan pemain yang terlibat dengan kejohanan dijadual berlangsung dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Sesi bermula dengan latihan ringan termasuk di gimnasium sebelum kita teruskan dengan rejim latihan yang lebih berat selepas ini,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook BAM.

Choong Hann menegaskan sesi latihan kali ini dijalankan dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat termasuk cuba mengehadkan jumlah pemain pada satu-satu masa seperti di gimnasium dalam usaha membendung penularan virus itu.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus semasa ujian saringan pada 20 April dan seorang lagi dikesan positif dalam saringan pada Sabtu lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

124 pemain sertai Kejohanan Pasukan Campuran BAM

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Sejumlah 124 peserta terdiri daripada pemain remaja dan senior akan mengambil bahagian di dalam Kejohanan Pasukan Campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kejohanan di dalam negara itu bermula esok sehingga Rabu ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini merupakan sebahagian daripada rancangan bagi memastikan semua pemain berada di tahap optimum.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata pertandingan ini mengikuti format sama seperti Piala Sudirman dengan 11 perlawanan berlangsung melibatkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita, beregu campuran dan acara tiga berpasukan lelaki dan wanita.

“Mereka akan dibahagikan kepada empat pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada 31 pemain senior dan remaja. Kami memberi peluang ini kepada pemain muda untuk berhadapan senior dengan harapan mereka boleh menimba pengalaman dan memberikan motivasi kepada mereka untuk berusaha dengan lebih keras.

Gabungan pasukan terdiri daripada pemain senior dan remaja adalah bertujuan untuk memberikan semua pemain peluang untuk merasai suasana pertandingan berikutan ketiadaan kejohanan sebenar buat masa ini,” kata Wong dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa yang sama juga BAM mahu membina semangat berpasukan dan membentuk kerjasama dalam kalangan pemain di bawah kendaliannya.

Wong berkata pertandingan ini tidak menyasarkan untuk mempersiapkan mana-mana pemain untuk kejohanan antarabangsa pertama yang dijadualkan berlangsung pada Januari tahun depan.

Beliau percaya menerusi program latihan ini dan kejohanan antarabangsa yang dirancang oleh panel jurulatih dan pengurusan BAM pada masa ini, akan memastikan setiap pemain berada pada tahap persediaan yang sama.

“Kami tidak bimbang mengenai mempersiapkan pemain sebelum kejohanan itu pada Januari 2021 kerana kami perlu bersedia walau apapun terjadi. Tiada yang perlu dirisaukan tentang keadaan semasa jika tumpuan diberikan sepenuhnya sepanjang sesi latihan, hasilnya hampir sama semasa kejohanan,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

BAM anjur perlawanan simulasi Piala Thomas, Uber

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menganjurkan satu lagi kejohanan pemanas badan sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung dari 3-11 Okt di Aarhus, Denmark, walaupun banyak negara mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berpasukan itu.

Menurut BAM, Piala Presiden yang julung kali diadakan, menjadi kejohanan simulasi Piala Thomas dan Uber yang akan diadakan pada 16 dan 17 Sept di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, melibatkan semua 20 pemain yang disenaraikan akan ke kejohanan berprestij itu.

Badan induk sukan badminton kebangsaan itu telah menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM, satu pertandingan acara individu pada bulan lepas.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann dalam satu kenyataan berkata kejohanan simulasi berkenaan akan memberi gambaran awal mengenai Piala Thomas dan Uber memandangkan kebanyakan pemain tidak pernah beraksi dalam pusingan akhir kejohanan itu.

“Kami (BAM) sedang mempersiapkan pemain selepas Kejohanan Jemputan BAM dengan pertandingan yang melibatkan acara berpasukan. Kami berharap akan dapat menyaksikan satu lagi saingan yang kompetitif dan sengit. Di samping itu, kami juga ingin menyaksikan elemen lain iaitu semangat sepasukan dan keakraban ahli pasukan.

“Selepas kembali dari kem motivasi, saya dapat lihat pemain-pemain lebih bersikap terbuka dengan rakan sepasukan. Mereka mula menyesuaikan diri untuk bersikap terbuka dan berkongsi pengalaman.

“Mereka kini tahu mereka memperoleh banyak kekuatan secara berpasukan berbanding secara individu. Itu adalah tahap kecekapan yang berbeza yang memberikan ganjaran tersendiri, sama ada dari segi latihan, mental, taktikal dan peningkatan secara keseluruhan,” katanya.

Menurut Choong Hann, pasukan akan menjadi lebih seimbang, sebagai contoh jika pemain pilihan utama acara perseorangan diletakkan dalam pasukan A, pilihan utama acara beregu akan diletakkan dalam pasukan B untuk memberikan pertandingan yang adil antara kedua-dua pasukan.

Pertandingan itu akan diadakan tanpa kehadiran penonton di pusat kecemerlangan badminton kebangsaan itu dan akan disiarkan secara langsung melalui Astro Arena.

Setakat ini, kuasa besar badminton Asia seperti Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Australia telah menarik diri daripada menyertai pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2020 ekoran pandemik Covid-19 dan kecederaan dalam kalangan pemain utama.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian pertama buat pemain badminton negara minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Setelah empat bulan tanpa sebarang kejohanan susulan pandemik Covid-19, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, minggu depan.

Pemain terbaik negara berpeluang menguji prestasi masing-masing setelah lama tidak berada di pentas pertandingan pada kejohanan pertama dianjurkan secara dalaman.

Kejohanan berkenaan diadakan berdasarkan format round-robin dan dibahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama diadakan pada 5-8 Ogos, menyaksikan enam pemain pelapis perseorangan lelaki negara berentap merebut dua tempat teratas dalam Divisyen 2, untuk layak ke peringkat seterusnya.

Divisyen 1 pula dijadualkan pada 11-16 Ogos menyaksikan lima kategori membabitkan 52 pemain senior, termasuk lapan pemain profesional turut bertanding dalam kejohanan berlangsung selama enam hari itu.

Bagaimanapun, kejohanan berkenaan berlangsung tanpa penonton, namun beberapa perlawanan pilihan akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube rasmi BAM, @BA_Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata kejohanan berkenaan dapat mendedahkan pemain kepada pertandingan selepas menjalani latihan pemulihan selama dua bulan (untuk pemain di bawah program Road to Tokyo) dan kumpulan kedua pemain negara.

Katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan kembali daya saing mereka dan bermain di bawah tekanan.

“Kejohanan ini adalah platform yang mewujudkan persekitaran tekanan tinggi dan mendorong pemain ke tahap yang lain kerana mereka akan menentang rakan sepasukan yang tahu gaya permainan mereka dengan baik.

“Tekanan akan dirasai beberapa pemain yang mahu mempertahankan status mereka manakala ada juga yang mahu mencipta kejutan dan mencipta nama. Ini semua tahap tekanan yang berbeza-beza. Kami mahu membentuk pemain yang tidak terjejas dengan tekanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Choong Hann berkata dalam kategori perseorangan lelaki, dibahagikan kepada dua divisyen kerana terdapat 12 pemain dengan setiap pemain bermain keseluruhan 11 perlawanan, sama seperti bermain dua perlawanan berturut-turut.

Hampir semua kejohanan antarabangsa dibatalkan sejak Mac lepas serta tiada kejohanan tempatan dibenarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengalaman pemain profesional ditagih – Choong Hann

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menuntut agar kehadiran pemain profesional akan dapat memberi manfaat kepada pemain muda, terutamanya dari segi latihan berkualiti.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata, gandingan itu juga adalah usaha untuk membina semangat berpasukan yang kukuh dan lebih bersedia, bagi menghadapi Piala Thomas dan Piala Uber, pada Oktober depan.

“Kesemua pemain profesional melapor diri dan menjalani ujian calitan Covid-19 hari ini. Mereka perlu mengasingkan diri di rumah, sehingga keputusan diperoleh dalam tempoh 24 jam sebelum memulakan latihan bersama.

“Kami harap dengan kehadiran mereka, semua pihak akan mendapat manfaat daripada latihan ‘sparring’ yang berkualiti dan juga boleh belajar sesama sendiri, bersama pemain junior. Saya harap mereka (pemain muda), boleh belajar teknik dan corak permainan yang bagus, daripada pemain berpengalaman.

“Pada masa sama, kita mahu pemain muda supaya bekerja keras untuk dekati tahap pemain berpengalaman, dengan adanya contoh dan teladan daripada mereka,” katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini hari ini.

Sebelum ini, Piala Thomas dan Piala Uber dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark, pada 16 hingga 24 Mei sebelum dipinda ke 15 hingga 23 Ogos, dan ditunda buat kali kedua dari 3 hingga 11 Oktober depan.

Sebagai persiapan ke kejohanan itu, BAM mengambil keputusan memanggil pemain profesional, termasuk Liew Daren, Soong Joo Ven, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, untuk menjalani latihan secara bersama di ABM.

Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut melapor diri di ABM hari ini, bagi menjalani latihan dua kali seminggu di bawah program Road To Tokyo (RTT).

Latihan di ABM akan dibahagikan kepada dua bahagian, dengan mereka yang berada di bawah program Piala Thomas dan Piala Uber akan berlatih setiap hari, manakala untuk RTT melibatkan gandingan Peng Soon-Liu Ying akan berlatih dua kali seminggu.

– BERNAMA