Categories
NASIONAL SUKANKINI

FAM fokus perkemas, bangunkan AMD

PETALING JAYA, 1 JUL: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan berada dalam radar utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha badan induk itu menjadikan akademi bola sepak berkenaan sebagai platform melahirkan pemain berkualiti.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata fokus beliau adalah memastikan akademi di Gambang, Pahang itu mencapai tahap terbaik dari segenap aspek terutamanya infrastruktur asas melibatkan program latihan.

Walaupun perancangan bakal dilakukan mungkin tidak dapat menyaingi kehebatan Akademi Aspire di Qatar yang antara akademi sukan serba canggih dan cukup terkenal di dunia, ia cukup untuk meletakkan AMD di satu tahap lebih baik berbanding sekarang.

“Saya prihatin dengan AMD dan selepas ini fokus saya ingin memperkemas dan pastikan fasiliti di sana berada dalam keadaan ‘tip-top’.

“Sekiranya tidak dapat menandingi Akademi Aspire, sekurang-kurangnya ia akan lebih baik dari sekarang. Itu hasrat yang saya luahkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katanya ketika ditemui pemberita pada Jamuan Hari Raya FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.

Hamidin berkata, usaha memperkasa AMD itu amat mustahak bagi memastikan lebih 200 pelatih dan 22 jurulatih yang berpangkalan di akademi itu ‘keluar’ dengan mutu yang mampu mempengaruhi peningkatan prestasi skuad kebangsaan.

“Usaha ini amat mustahak kerana mereka (pelatih) bakal pemain yang akan mewakili negara dalam tempoh lima hingga enam tahun dari sekarang,” katanya.

Syed Saddiq sebelum ini optimis konsep sama mungkin akan diguna pakai oleh AMD berdasarkan kemampuan Qatar merangkul kejuaraan Piala Asia 2019 menerusi idea penubuhan Akademi Aspire yang berperanan mengesan dan membangunkan pemain berbakat seluruh dunia.

Akademi Aspire diiktiraf sebagai antara akademi terbaik dalam mengesan bakat pemain selain pelatih yang ingin menyertai perlu melalui proses penilaian yang ketat.

Sebagai rekod, AMD dirasmikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 melibatkan peruntukan RM85 juta dengan objektif membawa dimensi baharu dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Skuad cilik Akademi Mokhtar Dahari diintai kelab La Liga

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Beberapa kelab La Liga mengintai pemain skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 13 tahun (B-13) yang cemerlang dalam dua kejohanan di Perancis, bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, selain diintai beberapa pemain skuad B-13 sudah mendapat tawaran.

“AMD B-13 menunjukkan impak sangat tinggi selepas mereka berjaya merangkul tempat ketiga dan keempat bagi dua kejohanan yang rata-ratanya disertai Akademi Kelab Ligue 1 seperti Paris Saint-German (PSG), FC Metz dan FC Nantes.

“Pada masa sama, lima pemain diintai kelab gergasi Eropah seperti Manchester City, Manchester United dan PSG untuk mendapatkan pemain yang mereka minati.

“Bagaimanapun, kami masih dalam perbincangan memutuskan kelab terbaik bagi destinasi pemain terpilih tersebut,” katanya memetik laporan Kosmo.

Terdahulu, NFDP merupakan salah satu program jangka panjang dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa satu bermula dari 2014 hingga 2020, manakala fasa ke dua akan bermula pada 2021 hingga 2030.

Lebih 25,000 pelatih berusia tujuh hingga 17 tahun menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara dan lebih 1,000 jurulatih termasuk pelatih elit menjadi tulang belakang kepada kejayaan program tersebut