Categories
AGENDA NASIONAL

KBS komited bantu gerakan belia diterajui MBM

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan komitmen untuk membantu gerakan belia yang diterajui Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika sesi dialog dalam talian bersama ahli dewan tertinggi majlis itu semalam.

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan sesi dialog yang dipengerusikan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menyaksikan pengumuman pemberian dana bantuan pentadbiran kepada MBM dan Badan Induk Gabungan Kebangsaan masing-masing sebanyak RM1 juta.

“Saya dan KBS akan meneruskan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dalam memperkasa gerakan belia yang diterajui oleh MBM,” kata Reezal Merican.

Menurut KBS, dalam sesi dialog itu Reezal Merican membincangkan usaha dan peranan dewan tertinggi MBM yang terdiri daripada 19 badan induk Gabungan Belia Kebangsaan dalam pembangunan golongan tersebut di negara ini.

Turut menyertai dialog itu ialah Presiden MBM Jufitri Joha.

Reezal Merican turut menjelaskan senario semasa perkembangan belia di peringkat global yang terkesan akibat Covid-19 termasuk di Malaysia.

Beliau turut menekankan usaha semasa kerajaan dan KBS khususnya melalui Belanjawan 2021 yang antara lain menyentuh soal peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, peningkatan latihan dan kemahiran serta akses belia terhadap dana dan kemudahan yang disediakan kerajaan, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Reezal Merican turut membuka keterlibatan MBM dalam merangka Model Baharu Pembangunan Belia sebagai pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia 2015-2035.

Ini bagi membolehkan Dasar Belia sedia ada diperkasa dengan agenda mutakhir yang menyentuh hala tuju negara, peluang baharu untuk belia dalam suasana ekonomi dan teknologi baharu serta pembentukan masyarakat yang dipandu oleh belia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MBM: Nyanyi Negaraku dalam Mandarin persenda simbol negara

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju dengan alasan Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Mandarin atau Arab bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab lagu kebangsaan itu.

Timbalan Ketua Penerangan MBM, Chong Eng berkata video tular yang menunjukkan murid sebuah sekolah menyanyikan Negaraku dalam bahasa Mandarin baru-baru ini menjatuhkan prestij lagu itu pada pandangan masyarakat.

Katanya insiden terbabit jelas memberi imej buruk terhadap generasi muda kerana dilihat mempersenda simbol negara yang sepatutnya dihormati.

“Walaupun ia tidak dilakukan semasa acara rasmi, namun tidak wajar lagu Negaraku diterjemah dan dinyanyi dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

“Tidak kira apa alasan sekalipun lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan wajib dinyanyikan dalam bahasa Melayu sebagai mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong turut menggesa generasi muda supaya lebih peka dengan sejarah dan menghayati lirik lagu Negaraku bagi membangkitkan semangat kecintaan terhadap negara.

Katanya generasi muda perlu menghindari apa jua bentuk perkara yang boleh mencetuskan api perkauman selain menjaga keharmonian negara supaya rakyat Malaysia kekal hidup bersatu padu serta aman damai.

“Lagu Kebangsaan ‘Negaraku’ diperdengar julung kali selepas detik 12 malam pada ambang 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

“Pada malam bersejarah itu, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi lagu Negaraku. Bermula dari detik inilah, Negaraku terus kekal menjadi lagu rasmi negara,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Relawan belia semarak semangat patriotisme

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Belia Malaysia (MBM) melancarkan Relawan MBM (RM) sebagai nafas baharu terhadap gerakan kesukarelawan melalui gerak kerja berskala besar dan memenuhi keperluan semasa, di Wisma MBM, di sini, semalam.

Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun berkata, inisiatif itu diambil dengan mengangkat semangat bulan kemerdekaan yang disambut pada Ogos setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan belia, di negara ini.

“Ia juga menyambut saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan pendidikan sivik di dalam sistem pendidikan negara.

“Di bawah Relawan MBM, terdapat pelbagai skop yang difokuskan antaranya pendidikan, khidmat masyarakat di komuniti, misi kesukarelaan bencana dalam dan luar negara, kesihatan mental dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sidang meja bulat diadakan bagi merangka pelan strategik membentuk badan sukarelawan berkenaan membabitkan penyertan agensi dan badan bukan kerajaan seperti Malaysia Relief Agency (MRA), MyCorps, MOVe, Volunteer Trip Malaysia serta Sukarelawan Siswa.

Dalam kenyataan sama, katanya, MBM turut membuka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat selain menjadi sebahagian proses melahirkan pemimpin muda dalam lapangan kesukarelawan.

“Orang awam boleh menyumbang melalui Tabung Relawan MBM di akaun 5640 2540 3782 (Maybank Berhad) bagi menggerakkan aktiviti Relawan MBM,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perluas dialog isu kos sara hidup belia di peringkat negeri

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sesi dialog bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) wajar diperluaskan di peringkat negeri sebagai wadah akar umbi dalam menyampaikan hasrat anak muda, terutama membabitkan isu kos sara hidup.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar berkata, sesi dialog berkenaan memberi peluang kepada anak muda dan pemimpin belia memberi cadangan untuk membantu MBM merangka pelan strategik bagi mengawal isu berkaitan.

“Kita menyeru belia mengambil peluang ini untuk menyampaikan input cadangan mereka kepada kerajaan berdasarkan tujuh kluster utama (kesihatan, pendidikan, utiliti, perumahan, e-dagang, pengangkutan, makanan) yang mempengaruhi kos sara hidup belia serta rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu berkata, kerajaan disaran memandang serius isu kos sara hidup dalam kalangan belia merangkumi pendidikan, pengangkutan awam dan kesihatan.

Katanya, sesi dialog bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini banyak menyentuh keperluan kementerian untuk mendapatkan cadangan bagi memudahkan KPDNHEP merangka pelan strategik dalam mengawal isu kos sara hidup.

“Antara isu yang banyak menjadi persoalan dalam kalangan peserta adalah hal pemilikan rumah dan bantuan pendidikan yang berkurangan.

“Selain itu, peserta sesi dialog juga memuji inisiatif pihak kementerian memperkenalkan Bank Makanan serta pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang sedikit sebanyak mengurangkan beban kos sara hidup dalam kalangan belia.

“Beliau (Saifuddin) turut tertarik dengan beberapa input dan idea baru yang dicadangkan termasuk penyediaan latihan kepada majikan dalam menerima pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Selain itu, cadangan keperluan pemberian subsidi dalam pembelian alat bantuan golongan OKU yang harganya mahal di pasaran turut mendapat perhatian serta akan dipertimbangkan untuk diberikan potongan cukai,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gerak operasi pantau penjualan ‘ghost smoke’-MBM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengesyorkan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggerakkan operasi pemantauan dalam memastikan penjualan gula-gula ‘ghost smoke’ dihentikan serta-merta.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, pihaknya bimbang melihat gejala ‘ghost smoke’ berpotensi menjadi wabak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Katanya, kebimbangan itu berasas kerana MBM amat khuatir ia mampu mendorong kanak-kanak terus terjerumus dalam gejala sosial yang lebih besar.

“Bermula dengan gula-gula, berubah angin kepada rokok dan tidak mustahil kepada gam dan dadah. Tambah membimbangkan, pemerhatian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan produk gula-gula ‘ghost smoke’ mudah didapati dan murah harganya.

“Pelajar sekolah boleh mendapatkannya di gerai jualan makanan ringan atau jajan di persekitaran luar sekolah atau membelinya di portal jualan dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, katanya, kadar perokok dalam kalangan pelajar sekolah mencatatkan jumlah yang tinggi, iaitu 68,321 pelajar pada tahun lalu.

“MBM tidak mahu melihat jumlah ini terus meningkat pada tahun mendatang ekoran terdedahnya mereka kepada wabak ‘ghost smoke’ ini,” katanya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula berkenaan dihentikan segera selain meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

Categories
NASIONAL

Henti jual, promosi bir tanpa alkohol secara terbuka

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Sebarang promosi serta penjualan arak atau bir tanpa alkohol secara terbuka perlu dihentikan, kerana dikhuatiri memberi impak negatif pada masyarakat, khususnya anak muda.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, penjualan minuman seumpama itu juga tidak sesuai dibuat secara terbuka, demi menjamin kemaslahatan seluruh masyarakat.

Katany,a mana-mana syarikat pengeluar minuman berkenaan, seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam promosi produk mereka, walaupun Malaysia adalah negara majmuk.

“Sepatutnya syarikat seperti Heineken perlu lebih sensitif dalam mempromosi produk mereka. Walaupun mereka nyatakan sasaran penjualan minuman itu adalah remaja bukan Islam, ia masih tidak wajar kerana mengelirukan,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Raimi mengulas demikian serta menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini, yang menegaskan pengeluaran produk sedemikian bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah ia satu tindakan tidak baik.

Mengulas lanjut, beliau berharap pihak berwajib memperkasa usaha, supaya larangan penjualan produk yang haram serta syubhah atau tidak jelas hukumnya antara halal dan haram, dapat dilaksanakan di kawasan komuniti yang majoriti penduduknya ialah umat Islam.

Mohamad Raimi berkata, umat Islam di negara ini turut dinasihatkan agar sentiasa menjauhi sebarang produk, khususnya minuman yang haram serta syubhah.

“Dalam senario masyarakat yang semakin mencabar dengan bermacam produk makanan dan minuman serta kaedah promosi yang menarik perhatian, sebagai umat Islam seharusnya berwaspada agar tidak mudah terpedaya.

“Paling utama jika kita tahu syarikat pengeluar sesuatu minuman itu adalah pengeluar arak, maka jauhilah. Penjualan produk dengan nama arak tanpa alkohol sememangnya amat mengelirukan,” katanya dengan harapan supaya promosi arak tanpa alkohol itu dapat dihentikan segera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha turut berharap lebih ramai dalam kalangan masyarakat sensitif dengan penjualan arak tanpa alkohol dengan tagline ‘Now You Can’ itu, kerana boleh mengelirukan.

“Khususnya kepada generasi muda, kerana tagline itu seolah-olah menyebutkan bahawa dahulu tak boleh tapi kerana sekarang tiada alkohol, maka sekarang boleh,” katanya.

MBM turut menggesa agar arak-arak murah tidak lagi dijual di kedai-kedai serbaneka, kerana dikhuatiri akan mudah dibeli dan diminum oleh sesiapa sahaja.

“Kita tidak mahu anasir negatif mempengaruhi generasi muda. Kita tidak mahu ia menjadi budaya dan ketagihan kepada generasi muda Islam dan bukan Islam. Arak sepatutnya dijual di kedai khas dan bukan dijual secara terbuka,” tambahnya.

Heineken Malaysia Berhad dalam kenyataan semalam menjelaskan produk minuman yang dikeluarkan itu adalah tidak halal dan hanya disasarkan kepada yang bukan Islam berusia 21 tahun ke atas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sekatan Terhadap Pemerhati, Bukti SPR Tidak Telus

Saifuddin Nasution Ismail putih 01

PETALING JAYA 2 JAN : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat beberapa sekatan terhadap enam badan pemerhati Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) tidak mencerminkan kesediaan dan ketelusan badan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata SPR masih lagi menyekat enam badan pemerhati itu daripada memantau keseluruhan proses pilihan raya secara bebas, sebaliknya lebih fokus kepada proses ketika pasca pilihan raya.

Enam badan pemerhati yang diberi akreditasi oleh SPR itu ialah Transparency International Malaysia (TI-M), Merdeka Centre, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (proham).

Manakala antara sekatan itu terdiri daripada larangan memerhati proses pengiraan undi ; tidak dibenarkan merakam sebarang kejadian penipuan tanpa kebenaran pegawai SPR ; tidak dibenarkan berhubung dengan agen parti dan kakitangan tempat mengundi.

Turut dilarang daripada bercakap kepada pihak media ; dilarang menyerahkan maklumat kepada pihak ketiga dan mereka perlu berada di kawasan pilihan raya sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Tugas pemantauan itu sangat kritikal dan penting terutama di kawasan panas.

“Kami berbincang secara terperinci berkenaan sekatan ini dan ia membuktikan tidak ketulusan pihak SPR untuk menjalankan pilihan raya dengan adil serta telus,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.