Categories
NASIONAL

Anwar Gagal Agenda Melayu: Tuduhan Sanusi Tidak Berasas

SHAH ALAM, 24 OKT : Tuduhan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketaksuban Sanusi menyerang Anwar dan mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohammad  dan Tun Daim Zainuddin menyebabkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi ini sebenarnya memangsakan rakyat.

Sebelum ini, Sanusi dalam satu forum ekonomi Melayu berkata, Mahathir dan Daim cuba ?meniru? dasar anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada bukan Melayu.

Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu – Hong Leong Bank dan Alliance Bank.

“Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin.

“Daim dikatakan memiliki 14.8 peratus AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd  yang bersama-sama denga pihak berkaitan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd yang mempunyai kepentingan di dalam AFG menerusi Vertical Theme Sdn Bhd,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Jelas Nik Nazmi, hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli Malaysian French Bank yang kemudiannya dinamakan Multi-Purpose Bank.

Pada 1997, Langkah Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah) iaitu salah seorang pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali yangmengumumkan bahawa beliau bertindak bagi pihak Daim.

Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG.

“Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.

“Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar,” tegas Nik Nazmi.