Categories
GLOBAL

Tun M cadang perkenal cukai perniagaan tingkat pendapatan ASEAN

BANGKOK, 23 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mencadangkan cukai perniagaan dalam talian diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Dr Mahathir menyifatkan bahawa perniagaan dalam talian telah memberi kesan kepada perniagaan konvensional.

Memetik Amazon.com sebagai contoh, beliau berkata kedai buku dalam talian itu menyebabkan kedai-kedai buku konvensional gulung tikar.

“Perniagaan dalam talian yang berurusan secara terus telah menyebabkan perniagaan konvensional terjejas dan kutipan cukai perniagaan juga berkurangan.

“Menerusi perniagaan dalam talian, kita tidak tahu siapa yang mendapat keuntungan (kutipan cukai),” katanya kepada pemberita Malaysia selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34, di sini, pada Sabtu.

Saranan itu disuarakan Perdana Menteri ketika sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 sebelum itu.

Dr Mahathir berkata, ketika ini hanya negara asal perniagaan dalam talian itu yang mendapat keuntungan menerusi kutipan cukai tersebut.

“Kita tidak dapat apa-apa. Sehubungan itu, saya mencadangkan beberapa perkara supaya kita dapat sebahagian daripada cukai keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata sesi pleno itu juga membincangkan isu-isu lain berkenaan kerjasama ASEAN.

“Perdagangan intra-ASEAN adalah sangat kecil. Maka, perlu ada satu usaha khusus untuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN,” katanya.

ASEAN yang didiami lebih 600 juta penduduk adalah pasaran besar untuk perdagangan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini yang dipengerusikan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha.

Dalam Pleno itu, para pemimpin negara anggota ASEAN membincangkan isu berkaitan tema sidang kemuncak berkenaan iaitu “Memperkukuhkan Kerjasama bagi Kelestarian”, termasuk kaedah untuk membina Komuniti ASEAN yang kukuh, berpaksikan rakyat, memastikan tiada yang ketinggalan dan melangkah arah masa depan yang gemilang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar Gagal Agenda Melayu: Tuduhan Sanusi Tidak Berasas

SHAH ALAM, 24 OKT : Tuduhan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan agenda Melayu ketika memegang jawatan Menteri Kewangan adalah tidak berasas sama sekali.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketaksuban Sanusi menyerang Anwar dan mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohammad  dan Tun Daim Zainuddin menyebabkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi ini sebenarnya memangsakan rakyat.

Sebelum ini, Sanusi dalam satu forum ekonomi Melayu berkata, Mahathir dan Daim cuba ?meniru? dasar anti-Yahudi Jerman dahulu dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada bukan Melayu.

Namun Sanusi mendakwa usaha ini digagalkan oleh Anwar yang memberikan lesen perbankan kepada dua kumpulan bukan Melayu – Hong Leong Bank dan Alliance Bank.

“Alliance Bank Malaysia Berhad merupakan syarikat perbankan di bawah Alliance Financial Group Berhad (AFG) yang dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin.

“Daim dikatakan memiliki 14.8 peratus AFG menerusi Langkah Bahagia Sdn Bhd  yang bersama-sama denga pihak berkaitan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd yang mempunyai kepentingan di dalam AFG menerusi Vertical Theme Sdn Bhd,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan medianya.

Jelas Nik Nazmi, hubungan AFG dan Daim bermula sejak 1982 lagi apabila beliau membeli Malaysian French Bank yang kemudiannya dinamakan Multi-Purpose Bank.

Pada 1997, Langkah Bahagia membeli saham di dalam Hock Hua Bank (Sabah) iaitu salah seorang pemilik saham Langkah Bahagia, Mohd Nasir Ali yangmengumumkan bahawa beliau bertindak bagi pihak Daim.

Hock Hua Bank kemudian ditukar nama menjadi International Bank Malaysia Berhad dan digabungkan bersama Multi-Purpose Bank serta enam lagi syarikat kewangan untuk menjadi AFG.

“Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni-kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.

“Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar,” tegas Nik Nazmi.