Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat hantar barang alami gangguan semasa PKP – AMEC

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Syarikat-syarikat penghantaran barang memaklumkan bahawa terdapat gangguan dalam perkhidmatannya berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC).

Persatuan itu memberitahu tahap perkhidmatan syarikat penghantaran terjejas kerana pembatalan penerbangan penumpang antara Semenanjung dengan Malaysia Timur serta sekatan pergerakan berikutan PKP.

“Situasi luar biasa ini akan menyebabkan gangguan dalam penghantaran dan ketidakmampuan menghantar surat atau bungkusan, dalam kata lain pemain industri perlu menyesuaikan diri dan mengatur semula (sistem) dengan segera untuk penghantaran dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” demikian menurut AMEC dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, dalam keadaan yang tidak menentu ini, AMEC mengisytiharkan situasi ‘force majeure’ (biasanya bermaksud situasi yang tidak dijangka akan berlaku yang akan menyebabkan atau menghalang seseorang daripada melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam kontrak) sehingga wabak Covid-19 dapat dibendung dan perkhidmatan penghantaran kembali dalam keadaan normal.

“AMEC memberi jaminan bahawa ahli yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 mengambil langkah berjaga-jaga untuk mematuhi peruntukan dalam Garis Panduan serta Langkah-Langkah Pencegahan oleh Penyedia Perkhidmatan Pos, seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” tambahnya.

Bagaimanapun, AMEC menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan dengan pengumuman pelaksanaan PKP baru-baru ini sebagai usaha melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 apabila kes baharu wabak itu terus mencatatkan peningkatan di negara ini.

Kerajaan memutuskan PKP dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan – diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak untuk tempoh sama.

Semalam, kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk melaksana PKP di bahagian Sibu untuk tempoh 14 hari bermula Sabtu ini sehingga 29 Januari susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Plus Bhd syarikat lebuh raya pertama raih anugerah AMEC 2020

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memenangi anugerah emas dalam kategori pengurusan krisis dan reputasi pada Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Persatuan Antarabangsa untuk Pengukuran dan Penilaian Komunikasi (AMEC) 2020.

Majlis tersebut berlangsung di United Kingdom baru-baru ini dan pencapaian itu menjadikan PLUS sebagai syarikat lebuh raya pertama di dunia yang menerima anugerah daripada AMEC.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata anugerah itu adalah bukti bahawa sokongan kepimpinan tertinggi merupakan kunci kepada kejayaan komunikasi.

“Kami gembira dengan anugerah ini yang dicalonkan oleh Isentia, syarikat pemantauan dan analisis media serantau kami, dinilai sebagai pemenang mengatasi dua jenama antarabangsa lain, Fullintel yang memenangi perak dan LexisNexis dengan gangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wawasan Isentia Asia Prashant Saxena berkata pasukannya berjaya mempertahankan kecemerlangan pada Majlis Anugerah AMEC yang berprestij tersebut.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memenangi anugerah emas dalam kategori pengurusan krisis dan reputasi pada Majlis Anugerah Sidang Kemuncak Persatuan Antarabangsa untuk Pengukuran dan Penilaian Komunikasi (AMEC) 2020. Foto: PLUS

“Pada 2020, kami menghantar penyertaan untuk enam kategori dan hasilnya kami meraih empat (anugerah) emas dan satu perak. Terima kasih kepada pasukan kami di Malaysia kerana telah membantu PLUS dalam projek pengukuran reputasi mereka yang masih berjalan,” katanya.

Sidang Kemuncak Global AMEC adalah program penghargaan tahunan yang mengiktiraf usaha dan pencapaian penyelidikan luar biasa, pengukuran dan analisis untuk kempen komunikasi syarikat perniagaan dan kerajaan.

AMEC, yang mempunyai lebih 160 ahli di 86 negara, adalah organisasi penyelidikan dan wawasan media profesional terbesar di dunia yang mewakili organisasi dan pengamal media yang menyediakan penilaian media dan penyelidikan komunikasi.

-BERNAMA