Categories
SELANGOR

Belia Selangor di Sarawak didedah kemajuan ekonomi negeri

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JUN : Belia Selangor di Sarawak menerima pendedahan ekslusif terhadap perkembangan kemajuan Selangor oleh Exco Belia Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, pada 24 Mei lalu.

Bertempat di Hotel Grand Margherita Kuching Sarawak, program berkenaan merupakan gerak kerja Exco Belia ke seluruh negara dalam memastikan warga belia Selangor di luar negeri diberi pendedahan berhubung aspek kemajuan negeri.

BeliaProgram anjuran Bahagian Pembangunan Belia Majlis Sukan Negeri itu dihadiri lebih 65 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengarah Esekutif MSN, Zubir Idrus dan Timbalan Pengarah MSN, Mohd Najwan Halmi.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri giat merancakkan pembangunan ekonomi negeri sejak 2008 sebagai jaminan melahirkan negeri berkebajikan dan peduli rakyat.

Beliau berkata, pendirian tersebut diambil selaras dengan dasar dan gagasan Kerajaan Negeri iaitu, ‘Membangun Smart Selangor yang Peduli’ sebagaimana dibentangkan Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga konsisten merealisasikan lima teras utama strategi Belanjawan 2016 lalu dengan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan gagasan Smart Selangor ke arah menjana pendapatan strategik.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menjaga harta dan hasil mahsul negeri, Hifz Al-Mal, serta membangunkannya berpasikan falsafah keadilan pengagihan seperti dituntut Maqasid Syariah.

“Justeru saya ingin menegaskan bahawa seluruh dasar Kerajaan Negeri dan Belanjawan 2016 adalah berpaksikan prinsip Ekonomi Maqasid,” katanya.

Beliau berkata, hasil ketelusan prinsip tersebut juga membuahkan perolehan tinggi kepada rizab negeri untuk 2016.

“Setakat ini, simpanan Kerajaan Negeri melonjak dari RM3.6 bilion kepada RM4.034 bilion, yang merupakan nilai tertinggi dalam sejarah pernah dicapai bagi simpanan rizab negeri,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor lokasi terbaik terajui kemajuan sukan permotoran

OLEH : HAFIZAN TAIB

SERDANG, 13 MAC: Pemilihan Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini sebagai gelanggang pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 membuktikan Selangor sebagai lokasi tumpuan bagi sukan permotoran di negara ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata penganjuran semula perlumbaan di negeri itu mulai tahun lalu membawa banyak kelebihan demi kemajuan sukan berkenaan.

zaqhwan02“Kita berbesar hati kerana Selangor dipilih sebagai salah satu destinasi di mana kali pertama diadakan di lokasi sama tahun lalu selepas hampir lapan tahun tidak diadakan di negeri ini.

“Ini membuktikan Selangor sebagai salah satu daripada lokasi tumpuan untuk sukan ini,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian selepas selesai majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dalam kejuaraan itu.

Beliau berkata, Selangor amat sesuai sebagai hab sukan permotoran kerana selain MAEPS, negeri itu juga memiliki litar di Sepang dan terbaru litar lumba rakyat di Kuala Selangor.

Katanya, sokongan semua pihak termasuk dari kerajaan dan swasta amat diperlukan bagi menjayakan tujuan itu.

“Litar lumba rakyat di Kuala Selangor baru dibina kira-kira dua ke tiga tahun lalu yang mana sesuai bagi tujuan latihan dan sesi latihan dijalankan hampir setiap minggu.

“Apa membanggakan dari maklumbalas diterima ramai pelumba bertanding di sini terutama bagi acara ‘beginner’ menjalani latihan di litar berkenaan,” katanya menambah ia petanda baik bagi kemajuan litar dan sukan permotoran di Selangor.

Amirudin berkata, usaha berterusan dijalankan termasuk mencari dana dan sokongan daripada semua pihak ke arah memperkukuhkan dan memajukan litar serta sukan berkenaan.

Perlumbaan pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2016 diadakan di litar MAEPS di sini mulai semalam dan hari ini.

Selepas ini kejuaraan sepuluh pusingan itu akan bersambung ke pusingan kedua di litar Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 April depan.

EZY

Categories
SELANGOR

Belia ditawar ikuti Pengajian Program Diploma Eksekutif

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 FEB : Golongan belia berpeluang menyertai Program Diploma Eksekutif Belia dalam kerjaya bagi sesi pemilihan 2017 yang ditanggung Kerajaan Negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata calon berkelayakan dipanggil bagi sesi temuduga, sebelum diserap masuk mengikut pengajian tersebut di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Perjumpaan NGO Belia bersama YB Amirudin Shari (ASRI) (2) (1)“Setakat ini kita menawarkan pengajian tersebut kepada 40 pelajar yang mana 27 daripada jumlah itu sedang mengikuti pengajian.

“Kita melihat secara teliti, jika mereka ikut KPI yang kita tetapkan, kita tanggung pengajian mereka tetapi kalau tidak capai standart itu, kita bayar sebahagian saja.

“Jadi untuk tahun depan, kita buka lebih luas dan lebih ramai juga dipanggil untuk ditemuduga dan kita perkasakan lagi program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program minum petang bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar yang sedang mengikuti pengajian tersebut kini menerima tawaran daripada Kerajaan Turki bagi lanjutan Pengajian Islam dan Pembudayaan Ummah.

Tawaran tersebut sekaligus membuka ruang kepada golongan belia untuk lebih berdaya saing dengan lebih aktif melalui pendedahan di peringkat tertinggi.

EZY

Categories
SELANGOR

Litar lumba tingkat sukan permotoran dibina di Kuala Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SERDANG, 19 OKT: Sukan permotoran di Selangor mengalami perubahan dengan pembinaan litar lumba di Kuala Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata litar lumba dibina sejak beberapa tahun lalu itu diharap meningkatkan mutu sukan dan melahirkan bakat baharu.

Sukan Permotoran“Tahun ini sahaja kita peruntukkan RM100,000 untuk menaik taraf dan kemudahan di litar lumba berkenaan dan tahun hadapan mungkin ditambah lagi untuk memastikan ia dapat digunakan.

“Ia pastinya akan membantu serta mengatasi masalah sosial dan dalam masa sama membantu memberi peluang kemajuan sukan permotoran,” katanya kepada Selangor Kini.

Amirudin berkata, pihaknya mengalu-alukan perlumbaan seperti Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas diadakan di Selangor kerana ia banyak membantu memajukan sukan dan membuka penyertaan kepada pelumba dengan cara lebih sihat.

Malah, katanya, Selangor sendiri mengorak langkah dengan menganjurkan Selangor Motor Race pada 2011, 2012 dan 2013.

“Program mingguan seperti latihan dibuat di litar itu di kalangan peminat dan pihak berkaitan serta diharap kita boleh mempertingkatkan program dengan kerjasama kementerian dan sebagainya,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Bakar suar: Langkah keselamatan dipertingkat, elak berulang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 OKT: Beberapa langkah keselamatan bakal diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi membendung pembakaran suar semasa perlawanan bola sepak.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata keputusan Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunjukkan gejala membakar suar perlu dibendung dengan kerjasama semua pihak.

“Sebelum ini memang selalu FAS kena dengan FAM tetapi kali ini FAM pula kena dengan FIFA.

Suar bola“Ini bermakna pembakaran suar dan sebagainya memang masalah pada kita tetapi Kerajaan Negeri dah ambil beberapa langkah termasuk pasang litar kamera tertutup (CCTV) yang saya jangka Menteri Besar umum dalam belanjawan nanti,” kata Amirudin.

Amirudin yang juga Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor berkata demikian selepas mewakili Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali merasmikan Wacana Pendeta Za’ba: Pemikir Umat Rentas Zaman di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Katanya, beliau melahirkan keyakinan insiden pembakaran suar tidak menggambarkan pasukan kebangsaan sudah hilang sokongan secara keseluruhan.

“Perkara ini kita kena perhatikan bersama dan perkara ini boleh diubah,” kata Amirudin lagi.

Semasa perlawanan Pra Piala Dunia dan Piala Asia melibatkan perlawanan pasukan Harimau Malaya menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam bulan lalu, penonton bertindak membakar suar di minit akhir perlawanan bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap FAM.

Gara-gara insiden itu, FAM yang sebelumnya kerap mendenda persatuan bola sepak beberapa negeri, kali ini didenda FIFA sebanyak RM180,000, bermain di stadium tanpa penonton dan kemenangan percuma 3-0 kepada Arab Saudi.

EZY

Categories
SELANGOR

Koperasi mampu tambah penglibatan anak muda dalam kegiatan ekonomi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 MAC: Penubuhan koperasi melibatkan golongan muda secara aktif mampu menambah penglibatan golongan itu dalam kegiatan ekonomi sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, antara beberapa kumpulan anak muda yang menubuhkan koperasi itu termasuk Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Angkatan Anak Muda Selangor.

Amirudin1“Angkatan Muda Selangor dan beberapa rakan generasi muda Selangor sudah menjalankan koperasi, kita sentiasa galakkan koperasi seperti ini meningkatkan penglibatan anak muda dalam perniagaan dan membantu mereka berikan latihan,” kata Amirudin ketika dihubungi Selangor Kini.

Terdahulu SAMM pada 28 Februari lalu di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali, Hulu Selangor melancarkan Koperasi SAMM Berhad bagi memberi peluang ahli dan sekutunya menglibatkan diri dalam aktiviti perniagaan secara berkumpulan.

SAMM sebuah NGO yang sering dilabel sebagai kumpulan anak muda radikal bukan sahaja agresif membongkar kecurangan pentadbiran Barisan Nasional (BN) tetapi juga aktif menjalankan kerja kebajikan seperti bantuan banjir dan aktiviti meningkatkan ekonomi anak muda.

Menurut Penyelaras SAMM Kebangsaan, Badrul Hisham Shaharin sehingga kini hampir 200 orang sudah mendaftar sebagai ahli Koperasi SAMM Berhad.

“Buat masa sekarang kita buka kepada ahli SAMM dan sekutunya sahaja tetapi Insha-Allah akan dibuka kepada orang ramai apabila sampai masanya nanti,” kata Badrul Hisham kepada Selangor Kini.

EZY

Categories
SELANGOR

Galeri Shah Alam dipindah & naik taraf beri kelesaan seniman

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 FEB : Galeri Shah Alam Galeri yang menempatkan pelbagai karya seni dari seluruh negara akan dipindahkan dan dinaik taraf ke satu lokasi baru.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata ia bagi memberi keselesaan kepada penggiat seni untuk mempamerkan karya mereka kepada orang ramai.

galeri shah alamNamun katanya keputusan lanjut berhubung perkara itu akan dibincangkan bersama Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.

“Itu keputusan Menteri Besar untuk memindahkan atau membaik pulih galeri ini bagi menjadikan ia lebih mudah dan selesa kepada artis dan penggiat seni.

“Masih banyak kekurangan di galeri ini, contohnya tempat menyimpan koleksi lukisan yang tidak sempurna dan kelihatan agak uzur kerana berusia lebih 30 tahun.

“Kita akan bincang lanjut dengan Dato’ Menteri Besar tetapi kita sudah ada dua tiga cadangan (lokasi),” katanya selepas merasmikan Pameran 15 Pelukis Jemputan 15V (Visi, Variasi, Versatil) di Galeri Shah Alam.

Sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2015, Galeri Shah Alam mengadakan Pameran 15V hasil gabungan dan kerjasama dari 15 penggiat seni tanah air yang bergiat aktif dalam bentuk penghasilan seni visual kontemporari dan pelbagai genre.

Antara karyawan yang terlibat adalah Profesor Raja Datuk Zahabuddin Raja Yaacob, Yusof Gajah, Md Yusoff Othman, Md Sani Md Dom dan sebagainya.

EZY