Categories
AGENDA GLOBAL

Beirut: Angka korban meningkat kepada 135, darurat dua minggu

BEIRUT, 6 OGOS: Kabinet Lubnan pada Rabu mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu, sementara jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut meningkat 135 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pelabuhan Beirut dikejutkan dengan dua letupan besar sekitar jam 6.10 petang (waktu tempatan) Selasa, turut menggegarkan bangunan serta menyebabkan kerosakan di seluruh ibu kota Lubnan itu.

Menteri Kesihatan Hamad Hassan mengumumkan setakat ini, 135 orang terbunuh dan 5,000 yang lain cedera.

Darurat berada di bawah pengawasan tentera Lubnan yang juga bertanggungjawab menjaga keselamatan di bandar raya itu.

Maklumat awal mendapati ammonium nitrat yang disimpan sejak tahun 2014 di gudang No. 12 di pelabuhan itu mungkin menyebabkan letupan.

Kabinet memutuskan untuk menahan pegawai pelabuhan yang terlibat dalam penyimpanan 2,700 tan ammonium nitrat itu.

Di samping itu, kabinet juga menggesa Kementerian Pekerjaan Awam untuk menjalankan aktiviti import dan eksport melalui Pelabuhan Tripoli.

Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan akan berusaha menjadikan sekolah dan hotel bagi menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Siasatan terhadap bencana itu masih berjalan dan Majlis Pertahanan Tertinggi berjanji akan mendedahkan beberapa hasil siasatan dalam masa lima hari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Presiden Lubnan: Ammonium nitrat punca letupan besar

ISTANBUL/BEIRUT, 5 OGOS: Presiden Lubnan Michel Aoun berkata ammonium nitrat sebagai punca letupan besar di Pelabuhan Beirut pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Dalam tulisan di Twitter Presiden Lubnan, Aoun berkata penyimpanan 2,750 tan metrik ammonium nitrat di gudang tanpa langkah keselamatan adalah perkara yang tidak dapat diterima.

Beliau menegaskan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dengan cara yang paling berat.

Sementara itu, pihak berkuasa Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai “kawasan bencana” berikutan kejadian itu.

Majlis Pertahanan Tertinggi Lubnan mengisytiharkan darurat selama dua minggu di ibu kota itu.

Seiring dengan situasi darurat, kabinet mengambil keputusan antaranya memperuntukkan dana kepada hospital untuk menampung perbelanjaan mangsa yang cedera, membayar pampasan kepada waris mangsa terkorban dan membekalkan gandum berikutan kerosakan pada gudang gandum.

Sebuah jawatankuasa penyiasatan juga ditubuhkan yang akan menyiapkan laporan mengenai letupan itu dalam masa lima hari.

Kebakaran di gudang berisi bahan letupan di Pelabuhan Beirut itu menyebabkan letupan besar, yang meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat dan bunyi letupan kuat didengari di seluruh bandar dan pinggir bandar.

Negara-negara jiran dan wilayah termasuk Turki mengucapkan takziah serta menghulurkan bantuan kepada Lubnan.

Presiden Donald Trump mendakwa letupan itu “kelihatan seperti serangan yang mengerikan,” yang menunjukkan ia adalah pengeboman dan bukannya kemalangan.

-BERNAMA