Categories
AGENDA GLOBAL

Letupan: Kabinet Lubnan letak jawatan, reda protes rakyat

ANKARA/BEIRUT, 11 OGOS: Presiden Lubnan Michel Aoun pada Isnin menerima peletakan jawatan kerajaan yang memerintah dan melantik Perdana Menteri Hassan Diab sebagai ketua kerajaan sementara, lapor agensi berita Anadolu.

Langkah tersebut berlaku di tengah-tengah kemarahan orang ramai mengenai letupan dahsyat minggu lalu di ibu kota Beirut.

Ketua Pengarah Pejabat Presiden Antoine Choucair dalam satu sidang media berkata Aoun mengucapkan terima kasih kepada Diab dan barisan menteri dan “meminta mereka untuk terus menjalankan tugas sehingga kerajaan baharu dibentuk.”

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Hamad Hassan memberitahu wartawan bahawa semua anggota Kabinet Lubnan menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri untuk disampaikan kepada Presiden.

Terdahulu hari yang sama, Menteri Kehakiman Marie-Claude Najm dan Menteri Kewangan Ghazi Wazni mengundurkan diri. Menteri Penerangan Manal Abdel-Samad dan Menteri Alam Sekitar Damianos Kattar meletakkan jawatan pada Ahad.

Enam anggota parlimen turut mengundurkan diri daripada 128 anggota parlimen dalam protes terhadap letupan dahsyat yang telah mengorbankan 163 mangsa dan 6,000 yang lain cedera. Dianggarkan kira-kira 300,000 orang awam telah kehilangan tempat tinggal.

Menteri Komunikasi Talal Hawat, dan Ghada Chreim – menteri pengganti – dalam pertemuan itu berkata pengunduran diri pemerintah adalah “tidak dapat dielakkan.”

Satu letupan kuat menggegarkan Pelabuhan Beirut pada Selasa setelah timbunan 2,750 tan metrik amonium nitrat yang disimpan di dalam gudang terbakar.

Amonium nitrat adalah bahan kimia yang sering digunakan untuk membuat bom dan dalam pembuatan baja. Keganasan telah ditolak sebagai kemungkinan penyebab letupan.

Letupan itu, yang menggegarkan Beirut ke pusat bandarnya, menghancurkan bangunan-bangunan yang berdekatan sehingga beberapa kilometer, terjadi ketika Lubnan sedang berhadapan krisis kewangan yang teruk dan pandemik Covid-19.

Penunjuk perasaan berhimpun di jalanan dengan demonstrasi antikerajaan yang ganas selama dua hari terakhir, menyerbu bangunan rasmi dan bertempur dengan polis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Beirut: Angka korban meningkat kepada 135, darurat dua minggu

BEIRUT, 6 OGOS: Kabinet Lubnan pada Rabu mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu, sementara jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut meningkat 135 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pelabuhan Beirut dikejutkan dengan dua letupan besar sekitar jam 6.10 petang (waktu tempatan) Selasa, turut menggegarkan bangunan serta menyebabkan kerosakan di seluruh ibu kota Lubnan itu.

Menteri Kesihatan Hamad Hassan mengumumkan setakat ini, 135 orang terbunuh dan 5,000 yang lain cedera.

Darurat berada di bawah pengawasan tentera Lubnan yang juga bertanggungjawab menjaga keselamatan di bandar raya itu.

Maklumat awal mendapati ammonium nitrat yang disimpan sejak tahun 2014 di gudang No. 12 di pelabuhan itu mungkin menyebabkan letupan.

Kabinet memutuskan untuk menahan pegawai pelabuhan yang terlibat dalam penyimpanan 2,700 tan ammonium nitrat itu.

Di samping itu, kabinet juga menggesa Kementerian Pekerjaan Awam untuk menjalankan aktiviti import dan eksport melalui Pelabuhan Tripoli.

Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan akan berusaha menjadikan sekolah dan hotel bagi menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Siasatan terhadap bencana itu masih berjalan dan Majlis Pertahanan Tertinggi berjanji akan mendedahkan beberapa hasil siasatan dalam masa lima hari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Letupan di Beirut: Pasukan MALLBATT sedia beri bantuan kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALLBATT) 850-7 di Lubnan bersedia memberi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) jika komitmen itu diperlukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), susulan insiden letupan di Beirut pada petang Selasa, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata pasukan berkenaan yang menyertai misi UNIFIL di Selatan Lubnan sejak Oktober tahun lepas, ketika ini masih meneruskan rutin operasi di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pasukan MALLBATT 850-7 sentiasa komited dan bersiap-siaga terhadap pelaksanaan tugas serta tanggungjawab dalam membantu memelihara keamanan di negara tersebut.

Kesemua anggota juga berada dalam keadaan selamat, bersemangat tinggi dan tidak terlibat dalam insiden yang berlaku di negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Affendi berkata ATM sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang memerlukan tindakan lanjut dilaksanakan oleh pasukan MALBATT itu.

Beliau berkata ATM juga menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Lubnan yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera.

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut lebih kurang 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak kerosakan.

Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan berkenaan meletup.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Insiden Beirut: Malaysia sedia bantu Lubnan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Malaysia bersedia menghulur bantuan kepada Lubnan dalam apa jua cara yang mungkin, susulan kejadian letupan hebat yang menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan seluruh rakyat Lubnan yang terkesan dengan tragedi itu.

“Malaysia tersentak dan sedih dengan kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami ramai penduduk akibat letupan itu semalam. Sehingga kini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan secara terus dalam insiden berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang tinggal di Lubnan dinasihatkan supaya memberikan keutamaan kepada keselamatan diri dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Lubnan.

Bagi sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pejabat Kedutaan Malaysia di Beirut yang terletak di 5th & 6th Floor No. 126, Halwani Building, Salah Eldin Al Ayyoubi Street, Ras Beirut, dengan menelefon +961-1-787 144 atau +961-1-787 166, atau faks ke nombor +961-1-787 344, atau menghantar email di alamat [email protected].

Letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu negara Lubnan, Beirut, itu mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar raya dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 orang cedera setakat ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Presiden Lubnan: Ammonium nitrat punca letupan besar

ISTANBUL/BEIRUT, 5 OGOS: Presiden Lubnan Michel Aoun berkata ammonium nitrat sebagai punca letupan besar di Pelabuhan Beirut pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Dalam tulisan di Twitter Presiden Lubnan, Aoun berkata penyimpanan 2,750 tan metrik ammonium nitrat di gudang tanpa langkah keselamatan adalah perkara yang tidak dapat diterima.

Beliau menegaskan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dengan cara yang paling berat.

Sementara itu, pihak berkuasa Lubnan mengisytiharkan Beirut sebagai “kawasan bencana” berikutan kejadian itu.

Majlis Pertahanan Tertinggi Lubnan mengisytiharkan darurat selama dua minggu di ibu kota itu.

Seiring dengan situasi darurat, kabinet mengambil keputusan antaranya memperuntukkan dana kepada hospital untuk menampung perbelanjaan mangsa yang cedera, membayar pampasan kepada waris mangsa terkorban dan membekalkan gandum berikutan kerosakan pada gudang gandum.

Sebuah jawatankuasa penyiasatan juga ditubuhkan yang akan menyiapkan laporan mengenai letupan itu dalam masa lima hari.

Kebakaran di gudang berisi bahan letupan di Pelabuhan Beirut itu menyebabkan letupan besar, yang meranapkan sebuah bangunan tiga tingkat dan bunyi letupan kuat didengari di seluruh bandar dan pinggir bandar.

Negara-negara jiran dan wilayah termasuk Turki mengucapkan takziah serta menghulurkan bantuan kepada Lubnan.

Presiden Donald Trump mendakwa letupan itu “kelihatan seperti serangan yang mengerikan,” yang menunjukkan ia adalah pengeboman dan bukannya kemalangan.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lubnan pecah rekod kibar bendera kebangsaan paling banyak

BEIRUT, 29 APRIL: Beirut Alive Association berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi jumlah bendera kebangsaan yang dikibarkan di bandar itu selama 24 jam, lapor agensi berita China Xinhua.

Beirut mengibarkan 26,852 bendera kebangsaan Lubnan, sekali gus memecahkan rekod Waterloo, New York berjumlah 25,599 bendera.

“Saya ke sini untuk mengadili gelaran rekod bagi bendera kebangsaan paling banyak dikibarkan di sebuah bandar selama 24 jam.

“Saya di sini untuk memastikan bahawa semua garis panduan Rekod Dunia Guinness dipenuhi dan kita kini mempunyai rekod baharu di sini dengan 26,852 bendera yang dicapai Beirut Alive Association,” kata Pengadil Rekod Dunia Guinness Ahmed Jabr kepada Xinhua.

Acara itu dianjur di bawah naungan Perdana Menteri Saad Hariri, yang diwakili Anggota Parlimen Rola Tabsh, di Dataran Nejmeh di pusat bandar Beirut, dengan kehadiran Anggota Majlis Ekonomi dan Sosial Mohammed Al-Jouzou dan saksi bebas daripada firma Guaman Al-Ittihad serta pelbagai tokoh terkenal.

-BERNAMA