Categories
AGENDA NASIONAL

Lama tunggu janji temu MySejahtera, bapa bawa anak OKU terima Selvax

PETALING JAYA, 18 SEPT: Seorang bapa datang seawal jam 8 pagi hari ini membawa anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku.

Taufiq Abu Talib, 45, berkata anaknya Akmal Haziq, 18, teruja menerima vaksin selepas sekian lama menunggu tarikh janji temu menerusi MySejahtera yang tidak kunjung tiba.

“Saya dan isteri lengkap divaksinasi tetapi sampai hari ini anak masih belum dapat tarikh dari MySejahtera. Program hari ini pun kumpulan WhatsApp jiran tetangga maklumkan dan tanpa fikir panjang saya bawa anak ke sini.

“Bimbang juga jika menunggu terlalu lama memandangkan anak saya golongan berisiko,” katanya yang memuji proses vaksinasi disifatkan mudah dan pantas.

Sivaganti Batumale

Sementara itu, Sivaganti Batumale, 35, berkata janji temu yang diterimanya menerusi MySejahtera sebelum ini terpaksa dibatal kerana beliau demam.

“Saya tahu mengenai program ini melalui Facebook dan terus daftar di aplikasi SELangkah. Saya harap Kerajaan Selangor meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Mosharaf

Manakala, warga asing Mosharaf, 29, berkata beliau dibawa majikannya untuk divaksinasi supaya boleh mula bekerja seperti biasa selepas ini.

“Sebelum ini saya tidak boleh kerja kerana belum disuntik. Harap selepas divaksin terdapat beberapa kelonggaran termasuk membenarkan kami warga asing pulang ke kampung halaman,” katanya yang telah sembilan tahun menetap di Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor prihatin anak OKU bantu dari peringkat awal

SHAH ALAM, 17 JULAI: Selangor satu-satunya negeri yang dilihat lebih menitikberatkan kebajikan dan keperluan anak orang kelainan upaya (OKU).

Ketua penolong pengarah sektor pendidikan khas Jabatan Pendidikan Selangor berkata susulan itu ibu bapa atau keluarga mempunyai anak istimewa tidak perlu bimbang berhubung masa hadapan anak masing-masing.

“Di Selangor ini kalau tak dapat hantar di 3PK (Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas), boleh bawa anak ke Pusat AnIS (Anak Istimewa Selangor) untuk belajar.

“Pembelajaran awal ini sangat penting kerana dapat meningkatkan keupayaan anak OKU. Setakat ini Selangor yang ke arah itu,” kata Nor Hasnizam Parman.

Beliau berkata demikian dalam program Seminar Keibubapaan bertajuk Perkembangan AnIS di sekolah: Apa kata JPN Selangor? yang disiarkan di Facebook pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis AnIS Prof Madya Dr Hasnah Toran moderator menjelaskan pusat terbabit memberi tumpuan pembelajaran anak OKU berusia enam tahun ke bawah.

“Pusat tersebut sudah dibuka tetapi ketika ini tidak boleh terima pelajar disebabkan pandemik Covid-19. Kakitangan dan petugas juga sudah ada bagi membentuk golongan ini,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pembangunan negeri tidak akan meminggirkan golongan istimewa dari semua aspek termasuk kesihatan, pendidikan, undang-undang, peluang kerjaya dan kemudahan infra yang selesa.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB pelawa institusi pendidikan, PDK mohon bantuan anak OKU

SHAH ALAM, 24 MAC: Dato’ Menteri Besar mempelawa institusi pendidikan anak istimewa dan pemulihan dalam komuniti (PDK) negeri ini memohon bantuan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan kewangan sekali bayar ditawarkan kepada mana-mana institusi yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“(Permohonan dibuka kepada institusi) yang menjalankan Program Intervensi Awal (EIP) untuk anak-anak istimewa di Selangor,” tulisnya di Facebook semalam.

Menurut beliau bantuan tersebut membolehkan institusi terbabit menaik taraf keperluan pusat mereka selain melaksanakan program dengan lebih berkesan dan sistematik.

Sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi melaksanakan inisiatif kendalian Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dengan setiap institusi boleh memohon bantuan maksimum sehingga RM10,000.

Institusi yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman sesawang http://www.anisselangor.com/didikanis bermula semalam sehingga 30 April ini.

Antara dokumen diperlukan ialah salinan sijil pendaftaran pertubuhan, sijil pendaftaran dengan JKM dan KPM, senarai nama berserta sijil pelatih institusi, senarai nama kanak-kanak berserta umur, nombor kad pengenalan dan jenis kelainan upaya serta salinan penyata bank terkini.

Borang permohonan yang lengkap diisi perlu dilampirkan bersama dokumen sokongan berkenaan dan dihantar ke e-mel [email protected].

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bayaran kelas terapi antara bantuan untuk anak OKU Selangor

SHAH ALAM, 16 FEB: Penerima Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) layak mendapat pelbagai keistimewaan termasuk bayaran kelas terapi serta mesin perubatan.

Penolong pengurus korporat Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata sumbangan kerusi roda dan katil juga akan diberikan sekiranya mendapat permohonan.

“Bantuan lain termasuk ubat, makanan tambahan dan keperluan kesihatan juga disediakan bergantung kepada keperluan dan peruntukan sedia ada.

“Bagaimanapun semua kemudahan dan bantuan ini akan diserahkan selepas kita mendapat nasihat serta penerangan dari pihak hospital,” kata Sharizan Mohd Shariff ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2019, Anis memperuntukkan lebih RM950,000 membiayai keperluan kesihatan kepada anak orang kelainan upaya (OKU).

“Tahun lepas kita bantu 367 penerima dan pemberian akan terus dilakukan sebagai usaha membantu anak istimewa selain tidak meminggirkan golongan itu,” katanya.

Bermula Isnin lalu, orang ramai yang mempunya anak OKU berusia 18 tahun ke bawah boleh membuat permohonan di laman sesawang http://www.anis.yawas.my.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 mengumumkan sejumlah RM3.25 juta bagi keseluruhan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.