Categories
NASIONAL

Penyenaraian FGVH: ANAK, GSF Mohon Campur Tangan Istana

SHAH ALAM, 28 FEB: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) mahu pihak Istana Negara campur tangan agar tanah Felda Plantations tidak dipajak kepada Felda Global Venture Holding (FGVH).

“ANAK akan bersama Gerakan Selamatkan Felda(GSF) akan berusaha mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Negeri-Negeri mulai Mac ini memohon perkenan Tuanku Sultan agar campurtangan supaya Tanah Felda Plantation di negeri masing-masing tidak di pajak kepada FGVH,” kata Presiden ANAK, Mazlan Aliman di dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada TVSelangor semalam.

“Bahkan ANAK akan menyerahkan memorandum suatu cadangan bagaimana tanah seluas 360,000 hektar boleh dimanfaatkan untuk rakyat dan menjana perolehan baru kepada kerajaan negeri,” kata Mazlan.

Beliau turut menyokong cadangan pembangunan tanah Felda seluas 55 ribu hektar di Kelantan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu yang akan melibatkan 8 ribu peneroka baru.

Dalam isu yang sama ANAK turut menyatakan sokongan terhadap usaha Biro Felda dan Orang Asal PKR mengutip 100,000 tandatangan orang ramai bagi membantah penyeneraian FGVH di pasaran saham terbuka.

Tandatangan tersebut bakal diserahkan kepada Perdana Menteri 30 Mac 2012 di Putrajaya.

“Bahkan, Jika ianya gagal melunakkan pendirian PM untuk terus menyenaraikan FGVH pada 10 Mei ini seperti disebut Datuk Ahmad Maslan, satu HIMPUNAN RAKYAT PERDANA dijangka akan diadakan pada April ini.

“Puluhan ribu Warga Felda akan menyerlahkan keberanian mereka untuk turun berarak bersama rakyat lainnya menyerahkan memo kepada Yang DiPertuan Agong di Istana Negara,? Mazlan berkata.

Categories
NASIONAL

Felda Akan Rugi Hampir Dua Billion Jika FGVH Disenarai

SHAH ALAM, 22 FEB: Analisis untung rugi terhadap keputusan menyenaraikan Felda Group Venture Holding (FGVH) yang dibuat oleh bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop mendapati Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak RM1.950 billion setahun.

Dr Rosli juga berkata Felda sekarang mempunyai pendapatan purata dari 2007 ke 2010 yang berjumlah RM2.458 billion setahun.

Tetapi Felda hanya akan memperoleh pendapatan RM508 juta setahun jika FGVH disenarai. Ini bermakna Felda akan hilang RM1.950 billion setahun, kata presiden (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) ANAK Mazlan Aliman.

“Berdasarkan analisis di atas, ANAK menyeru kepada seluruh warga Felda, para peneroka dan anak-anak peneroka membuat pertimbangan yang mendalam sebelum bersetuju dengan apa-apa rancangan pelaburan yang dipaksakan ke atas mereka,” Mazlan berkata di dalam satu kenyataan media.

Beliau juga menyifatkan penyenaraian tersebut sebagai skim cepat kaya ‘Pak Man Telo’ yang diketuai oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dengan restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Rosli yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan membuat analisis berdasarkan fakta-fakta yang terkandung dalam perjanjian pajakan tanah antara Felda dan FGVH.

Beliau juga mengunakan data yang diperolehi daripada minit mesyuarat ahli-ahli lembaga pengarah Felda dari tahun 2007 hingga 2010 perbelanjaan tahunan Felda.

Selain kerugian pendapatan, penyeneraian FGVH turut dijangka menyebabkan akaun Felda mengalami defisit sebanyak RM1.428 billion setahun.

“Tanpa analisis yang mendalam, sudah tentu para peneroka akan mudah terjebak dalam skim cepat kaya ala ‘Pak Man Telo’ berskala besar yang sekarang dijaja ke seluruh tanah-tanah rancangan Felda oleh pihak-pihak tertentu diketuai Tan Sri Isa Samad dengan restu Perdana Menteri sendiri.”

 

 

 

Categories
NASIONAL

ANAK Yakin Penyeraian Felda Global Ventures Akan Gagal

SHAH ALAM 14 FEB : Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman optimis cadangan penyenaraian Felda Global Ventures ke Bursa Saham Malaysia akan gagal dan pihaknya bersedia untuk memberikan tentangan sengit daripada pelbagai sudut.

Katanya, ANAK faham yang kerajaan pusat mampu menggunakan apa sahaja cara walaupun terpaksa menggunakan wang yang banyak dan jentera kerajaan.

“Saya difahamkan mereka berbelanja hampir RM1.5 juta untuk persiapan penyenaraian dan mereka menggunakan sogokkan, menghiburkan perwakilan mesyuarat agung dan sebagainya.

“Tetapi saya tetap yakin kita berada di pihak yang benar. Saya percaya sokongan padu yang kita dapat daripada warga Felda dan peneroka sendiri.

“Tidak semudah yang mereka sangkakan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures ke Bursa Saham pada 10 Mei ini sebab mereka kena bersedia berhadapan tentangan kita yang sengit,” katanya.

Beliau membidas tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang membuang Buku Jingga Pakatan Rakyat ke dalam tong sampah sebagai tanda simbolik bagi menolak dasar Pakatan.

Ahmad berbuat demikian pada satu sidang perjumpaan dengan pemimpin FELDA di Kuala Lumpur semalam.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan berjanji sekiranya gagasan itu dapat memerintah Putrajaya, ia akan membatalkan Felda Plantations dan membuka ladang-ladang FELDA untuk diusahakan oleh generasi kedua dan ketiga peneroka.

“Bila dia buat kenyataan mengatakan cadangan berhubung Felda Plantation itu sebagai karut dan tidak masuk akal, jadi kita debatkan sejauh mana ianya boleh dilaksanakan atau tidak.

“Tapi bila beliau membuat pendekatan seperti itu (bakulsampah buku jingga) menujukkan beliau tidak profesional dan tidak bertanggungjawab dengan apa yang dia lontarkan,” katanya.

Beliau mengganggap Ahmad Maslan sebagai ‘cetek pengetahuan’ dalam memahami sejarah penubuhan Felda.

“Tanah ini dibawah kuasa kerajaan negeri yang dipohon oleh kerajaan pusat. Bila kerajaan pusat pohon tanah melalui agensinya, FELDA mesti ada sebab.

“Sebab itu adalah untuk diberikan kepada rakyat supaya dengan ini mereka (rakyat) mempunyai jaminan masa depan,” katanya.

 

 

ANAK : Isa Samad Buat Rumah Terbuka FELDA Sepuluh Kali Lebih Mahal

SHAH ALAM 12 FEB : Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad didakwa membelanjakan lebih RM353,000 untuk rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri FELDA tahun lepas, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada kos majlis tersebut pada tahun-tahun yang sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman juga mendakwa isteri Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid turut mengadakan satu lagi majlis rumah terbuka yang lain seminggu selepas majlis yang sama diadakan di rumah Isa.

Mazlan berkata, majlis di rumah Isa di Port Dickson pada 10 September lepas dan majlis di rumah Bibi Sharliza di Taman Fatimah Kuala Pilah pada 17 September masing-masing menelan belanja RM353,370 dan RM17,875.

Biasanya Mazlan menjelaskan, FELDA memperuntukan lebih kurang RM30,000 bagi majlis tahunan itu dan ia lazimnya diadakan di ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.

“Apa keistimewaan nak buat rumah terbuka isteri pengerusi FELDA? Ni pelik. Saya tak pernah dengar selama ni. Biasanya pengerusi buat untuk staf dia cukup lah. Dia mewakili semua.

“Menjadi tanda tanya bagaimana peruntukan ini dikeluarkan. Apa keistimewaan yang ada pada isteri pengerusi FELDA? Sehinga mendapat bajet dan dibuat di luar dari ibu pejabat FELDA di Kuala Lumpur.

“Kita akan buat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah),” Mazlan berkata di sidang media di sini semalam.

Mazlan turut mendakwa mempunyai bukti kes pembaziran berjuta-juta wang FELDA oleh Isa semenjak MP Port Dickson itu dilantik pengerusi FELDA pada Januari 2011.

“Mungkin bila dia dah mula comeback di dalam politik dia nak pergi lebih jauh tapi dia beri meudarat yang besar kepada FELDA. Dia menggunakan wang FELDA wang peneroka FELDA. Ini kita tak boleh kompromi.

“Lepas ini kita akan umumkan yang juta-juta. Kita harap SPRM dapat memastikan Isa Samad disiasat, kerana sebelum ini kita sudah serahkan kes mengenai Isa Samad ke SPRM.”Wang FELDA dibazirkan dengan begitu banyak yang akhirnya peneroka-peneroka FELDA yang sepatutnya menikmati pendapatan FELDA daripada hasil komoditi mereka.

“Tiba-tiba warga FELDA tak dapat apa-apa mereka ini yang tak ada seinci tanah pun di FELDA mereka ini telah mengfaraid kan wang FELDA untuk aktiviti-aktiviti peribadi dan politik mereka.”
ends

ANAK : Mesyuarat Khas Koperasi Permodalan Felda Dikhuatiri Banyak Sogokan

SHAH ALAM, 11 FEB : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) akan mengemukakan injuksi ke Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mengadakan mesyuarat Agung Perwakilan Khas pada 22 Februari ini.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan mengemukakan injuksi itu pada 17 Februari ini melalui peguam panel ANAK, Haris Abdullah kerana dipercayai terdapat unsur penyelewengan atau rasuah di dalam mesyuarat agung khas (EGM) KPF itu.

Katanya, pihaknya juga mendapat maklumat yang EGM dirancang KPF itu melibatkan sejumlah bajet yang tinggi dipercayai bagi mempengaruhi perwakilan supaya menjayakan agenda mereka menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Beliau menambah, Anak juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dan pemantauan dapat dilakukan pihak berkuasa tersebut.

“Kita akan minta SPRM untuk memantau sebelum dan semasa perjalanan mesyuarat agung ini. Saya difahamkan bahawa kos untuk mengadakan mesyuarat agung ini adalah dipercayai mencecah RM1 juta pada 22 Februari ini. Saya tidak pasti untuk apa kos sebegitu besar,” Mazlan berkata di satu sidang media di sini.

Beliau berkata, difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri akan merasmikan mesyuarat agung khas ini.

“Kebimbangan kita ialah akan wujud sogokan-sogokan dilakukan terhadap perwakilan-perwakilan bermula daripada perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Saya fikir mungkin meliputi belanja mereka untuk datang, penginapan mereka dan layanan yang akan dibuat kepada perwakilan ini yang saya percaya ada kaitan supaya perwakilan memberi sokongan terhadap usul-usul di dalam mesyuarat agung ini.

Kalau ini berlaku maknanya satu unsur rasuah bagi membolehkan kehendak dan agenda mereka untuk tujuan penyenaraian Felda Global Ventures ini akan berlaku,” katanya kepada pihak media di sini.”

Berdasarkan itu, Mazlan berkata, mesyuarat itu perlu dihalang daripada diadakan sepertimana mesyuarat agung sebelumnya yang tidak dapat dijalankan pada 5 Januari lalu apabila ANAK mengemukakan injuksi.