Categories
AGENDA SUKANKINI

Pegawai, pemain hoki langgar SOP Covid-19 disenarai hitam

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini memberi amaran keras kepada pemain dan pegawai yang terlibat dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pendekatan berasaskan kuarantin yang dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata individu didapati melanggar gelembung MHL dengan keluar dari kawasan ditetapkan, akan disenarai hitam dan perlu meninggalkan gelembung itu serta-merta.

Anil Jeet berkata sepanjang liga itu yang masing-masing bermula pada 11 dan 15 Mac bagi liga lelaki dan wanita sebelum berakhir pada 4 April, kira-kira 600 pemain dan pegawai akan ditempatkan dalam gelembung MHL di sebuah hotel atau asrama yang akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Pasukan petugas akan bertanggungjawab memantau pasukan serta pegawai. Sebaik sahaja mereka memasuki gelembung itu, mereka tidak akan dibenarkan keluar. Bukan mudah bagi kami hendak mendapatkan kebenaran dan melangsungkan liga di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19 ini, justeru kami harap semua orang akan patuh pada peraturan. Kita tidak mahu ada masalah ketika liga berlangsung.

“Bagaimanapun, pengecualian akan diberikan sekiranya wujud situasi kecemasan seperti kematian atau isteri bersalin,” katanya pada sidang media di pejabat konfederasi itu di Stadium Hoki Nasional di sini hari ini.

Anil Jeet berkata setiap anggota pasukan melepasi ujian polymerase chain reaction (PCR) tiga hari sebelum memasuki gelembung itu pada 10 Mac, sementara ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK) akan dijalankan semasa liga berlangsung.

Beliau turut mengesahkan MHC akan menanggung semua kos untuk gelembung tersebut termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan ke Stadium Hoki Nasional yang dianggar sekitar RM300,000.

“Setakat ini semua pasukan bersetuju dengan tarikh-tarikh berkenaan serta SOP. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan liga ini diadakan dan Lembaga Eksekutif MHC akan menanggung kos tambahan,” katanya.

MHL 2021 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 14 Januari hingga 20 Februari namun ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuat kuasa dari 14 Jan hingga 18 Feb bagi mengekang penularan Covid-19.

Pasukan lelaki yang mengesahkan penyertaan mereka ialah juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah.

Liga wanita pula disertai PKS UniTen, PDRM The Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Liga Hoki Remaja Malaysia tunda

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Satu demi satu acara sukan terpaksa ditangguh atau dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19, dan terbaharu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penangguhan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2020.

Saingan liga remaja itu dijadual bermula 25 Mac dan berakhir pada 19 April ini, membabitkan kategori lelaki bagi Divisyen Satu dan Dua itu ditunda sehingga ke satu tarikh ditentukan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata langkah itu diambil selepas perbincangan antara KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN), demi keselamatan pemain.

“Ia selaras ketetapan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April. Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila ia diadakan semula namun ia bukan dibatalkan.

“Secara keseluruhannya hampir 90 peratus persediaan dilakukan untuk LHRM 2020 tetapi kami mendapat notis daripada Kementerian Pendidikan segala aktiviti luar tidak digalakkan untuk pelajar,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Anil Jeet berkata, menerusi perbincangan dengan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, tiada jangka masa maksimum tempoh penundaan itu ditetapkan sebaliknya tarikh baharu hanya akan dimuktamad selepas mendapat ‘lampu hijau’ dari KBS dan Kementerian Pendidikan.

-BERNAMA