Categories
SUKANKINI

Atlet e-sukan boleh terima anugerah ASNS akan datang

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri terbuka untuk memberi anugerah kepada atlet sukan elektronik (e-sukan) jika berkelayakan di Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) pada masa akan datang.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, ketika ini kegiatan e-sukan mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri.

“E-sukan adalah antara sukan yang Kerajaan Negeri sokong sepenuhnya.

“Jadi cadangan memberi anugerah pada atlet e-sukan di ASNS adalah suatu cadangan baik dan boleh dilaksanakan pada tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, antara kriteria utama untuk menerima anugerah adalah daripada segi kepimpinan, sumbangan dalam sukan dan kebolehan mengendali pelbagai sukan.

Sementara itu, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bakal mengadakan ASNS 2018 pada 28 Mac (Khamis) ini di Dewan Perdana, Hotel Grand Bluewave Shah Alam, bermula jam 3 petang.

Sebanyak lapan anugerah bakal disampaikan di ASNS iaitu, anugerah Olahragawan, Olahragawati, Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Tokoh Kepimpinan Sukan, Jurulatih Terbaik, Juri dan Pasukan Terbaik.

Terdahulu, Khairuddin berkata, Selangor berpotensi menjadi hub e-sukan di Malaysia dan antarabangsa.

Categories
SUKANKINI

Anugerah Sukan Negeri Selangor 28 Mac

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor hari ini memaklumkan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2018 akan diadakan pada 28 Mac (Khamis) ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjuran majlis itu tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada penggiat sukan yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, antara objektif lain majlis itu adalah sebagai pemangkin semangat kepada atlet baharu bagi meningkatkan kualiti sekali gus mengharumkan Selangor ke peringkat tertinggi.

“Diharap juga, majlis ini akan mengeratkan hubungan antara penggiat sukan dengan wakil media.

“Selain itu, ia juga mempertemukan atlet baharu dan bekas atlet di samping memberi ruang mereka bertukar pendapat serta idea dalam mempertingkat kualiti diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, penyampaian hadiah pada majlis itu akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis itu bakal dilangsungkan di Dewan Perdana, Hotel Grand Bluewave Shah Alam, pada jam 3 petang.

Sebanyak lapan anugerah bakal disampaikan iaitu, anugerah Olahragawan, Olahragawati, Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Tokoh Kepimpinan Sukan, Jurulatih Terbaik, Juri dan Pasukan Terbaik.

Dianggarkan seramai lebih kurang 500 orang tetamu hadir pada majlis berkenaan.