Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor peruntuk RM2.4 juta baik pulih padang, gelanggang sukan

SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memfokus untuk membaik pulih kira-kira 50 padang permainan dan gelanggang sukan membabitkan peruntukan RM2.4 juta tahun ini.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata dana itu diluluskan Kerajaan Negeri bagi memberi keselesaan kepada warga negeri ini untuk bersukan dan rekreasi.

Menurut Mohd Nizam Marjugi, kemudahan di mukim dan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu antaranya padang bola sepak, gelanggang futsal, sepak takraw, bola keranjang dan taman permainan.

“Kita berharap dapat menyiapkan 50 kerja baik pulih pada tahun ini, namun tempoh itu turut bergantung kepada perkembangan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Mohd Nizam berkata pihaknya berharap kerajaan Pusat dapat memberi kebenaran bagi menjalankan projek di bawah kelulusan MSN Selangor seperti bagi kerja di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekarang ini kerja tidak boleh dilakukan kerana tidak mendapat kebenaran dan tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu.

“Tetapi projek itu juga perlu dibenarkan kerana ada diantara strukturnya usang dan membahayakan penduduk, contohnya ada pagar gelanggang futsal hampir roboh, kalau tidak dibaiki bahaya kepada sesiapa melaluinya,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor: 30 sertai pertandingan cipta logo PeBS

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 30 individu menyertai pertandingan reka bentuk logo Penggerak Belia Tempatan Selangor (PeBS), kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pemenang tunggal pertandingan yang menawarkan hadiah wang RM2,000 bakal diumum dalam tempoh dua minggu.

“Pemilihan logo diputuskan jawatankuasa tetap generasi muda yang dipengerusikan EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Logo mesti mengandungi nama PeBS, elemen orang muda dan lokasi ikon di Selangor selain mempunyai dua warna iaitu 70 peratus biru royal dan 30 peratus merah kuning,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata pertandingan mencipta logo anjuran Kerajaan Negeri dan MSN Selangor itu antara langkah penjenamaan semula PeBS yang sebelum ini dikenali Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

Penyertaan pertandingan yang bermula 25 Januari hingga Jumaat lepas turut menerima sijil penyertaan.

Kerajaan Negeri menubuhkan PeBT pada 2009 bertujuan melahirkan pemimpin muda, menggerakkan belia setempat dan agenda pembangunan serta merapatkan hubungan belia dan masyarakat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Atlet diingatkan patuh arahan PKPB, elak tempat sesak

SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengingatkan semua atlet menangguhkan sementara sesi latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah eksekutifnya berkata latihan bersendirian masih boleh dilakukan di rumah ketika ini mengikut arahan yang ditetapkan jurulatih masing-masing.

“Kita minta semua atlet untuk patuh dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan terutama membabitkan sentuhan sepanjang PKPB.

“Langkah ini juga untuk kebaikan kita bersama bagi membendung penularan Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan atlet juga tidak digalakkan untuk berada di tempat yang sesak kecuali atas urusan penting sahaja dalam tempoh PKPB ini kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Mohamad Nizam berkata walaupun PKPB akan menjejaskan persiapan atlet untuk beberapa kejohanan sukan terutamanya Sukan Malaysia (Sukma) namun peningkatan kes kebelakangan ini perlu diberi perhatian.

Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan semalam mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara sepanjang tempoh PKPB yang bermula hari ini.

Bagaimanapun tatacara operasi piawai (SOP) MKN membenarkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor anjur pertandingan mural #SelangorPower

SHAH ALAM, 22 SEPT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mempelawa orang ramai menyertai pertandingan mural #SelangorPower dengan tema Kecemerlangan Sukan, Atlet Dan Generasi Muda Selangor.

Menurut Facebook MSN negeri pertandingan terbuka kepada warganegara berumur 19 hingga 40 tahun manakala tarikh tutup penyertaan pada 9 Oktober.

Peserta diminta menghantar idea lukisan mural bersaiz A4 (format PDF) berdasarkan skala mural berukuran 2.5 meter tinggi x 5 meter lebar ke e-mel [email protected].

Senarai 15 peserta terpilih ke peringkat akhir diumum pada 13 Oktober sementara pertandingan akhir bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober.

Pemenang hadiah pertama bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, kedua (RM800), ketiga (RM600), keempat (RM400), tempat kelima hingga ke-10 (RM200) dan ke-11 hingga ke-15 (RM100).

Keterangan lanjut boleh layari www.msnselangor.gov.my atau imbas Kod QR yang tertera.

Categories
AGENSI SELANGOR

SUKMA 2021: Selangor kekal sasar 45 emas, yakin prestasi naik

SHAH ALAM, 31 OGOS: Selangor kekal dengan sasaran 45 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihak yakin prestasi atlet meningkat walaupun mengakui beberapa individu menurun prestasi susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang.

“Buat masa ini semua atlet menjalankan latihan seperti biasa dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP), tahap prestasi atlit memuaskan walaupun terdapat atlet prestasinya sedikit menurun akibat latihan terhenti sepanjang PKP.

“Namun begitu prestasi majoriti atlet meningkat sejak latihan dibenarkan pada Julai dan kita harap momentum ini dapat dikekalkan terutama melibatkan sukan penyumbang pingat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RiDE: Sambutan luar jangka, borang dimuat turun 15,000 kali

SHAH ALAM, 29 OGOS: Borang permohonan inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dimuat turun sebanyak 15,000 kali setakat semalam, kata Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata jumlah tersebut di luar jangkaan dan pemilihan peserta dibuat berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ bagi mengisi 3,000 kuota ditetapkan.

“Walaupun 15,000 borang dimuat turun, tetapi kita baru menerima lebih 300 borang permohonan dan kita jangkakan lebih banyak borang permohonan dihantar pada minggu depan.

“Pemohon perlu mendapatkan pengesahan pemastautin tetap melebihi 10 tahun di Selangor menerusi pejabat wakil rakyat kawasan masing-masing dan menghantar sendiri ke pejabat MSN negeri,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata syarat lain ialah pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal berjumlah RM350, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial berjumlah RM70 setahun.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

24 pasukan meriahkan Bola Sepak Pantai Terbuka Selangor

BANTING, 16 SEPT: Kejohanan Bola Sepak Pantai Terbuka Selangor Pesta Sukan Gen-S 2019 yang diadakan di tapak Pesta Pantai Morib berlangsung meriah apabila disertai 24 buah pasukan.

Kejohanan anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda Dan Sukan Selangor, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan Penggerak Belia Tempatan Kuala Langat itu berlangsung pada Sabtu lalu hingga semalam.

Kejuaraan membabitkan rakyat tempatan berumur 16 hingga 30 tahun itu turut disertai beberapa pasukan luar Selangor.

Sementara itu pada perlawanan akhir yang dilangsungkan semalam, pasukan Cherating A muncul juara selepas menewaskan KLM FC dua berbalas satu.

Selaku juara, Cherating A membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, medal, piala dan sijil kejohanan.

Sementara itu, KLM FC (naib juara) dan Omm Bak FC (ketiga) masing-masing meraih wang tunai RM2,000 serta RM1,000 termasuk medal dan sijil kejohanan.

Hadiah disampaikan Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Categories
SUKANKINI

SUKMA 2020: MSN Selangor cari atlet e-sukan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JUL: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan mengadakan pemilihan atlet Selangor ke Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 bagi acara sukan elektronik (e-sukan) bermula 26 Julai sehingga 31 Ogos.

MSN Selangor dalam paparannya di Facebook memaklumkan kriteria atlet yang dicari adalah berusia 20 tahun dan ke atas; berasal atau menetap, belajar atau bekerja di Selangor sama ada berkumpulan atau persendirian.

Permainan yang dipertandingkan adalah Dota2, Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dan Pro Evolution Soccer (PES).

Peringkat saringan bagi Dota2 akan berlangsung di Eblue Fourlife Bangi pada 24 Ogos dan Eblue Repulze Shah Alam, 25 Ogos.

Bagi saringan PES pula, ia akan berlangsung selama dua hari di RB Gaming Hub Shah Alam pada 17 dan 18 Ogos di Chillax Studio Bangi.

Manakala, saringan permainan MLBB pula diadakan secara dalam talian (online) pada 3 Ogos dan semua peringkat akhir tiga permainan itu akan dilangsungkan pada 31 Ogos di Pantheon USJ, The Square @One City, Subang Jaya.

Yuran komitmen sebanyak RM15.00 hanya dikenakan untuk permainan PES sahaja.

Mereka yang berminat boleh menghubungi (+6011 1771 3707) dan Ery (+6010 895 0314) menerusi applikasi WhatsApp.

 

Categories
SUKANKINI

Anugerah Sukan Negeri Selangor 28 Mac

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor hari ini memaklumkan Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2018 akan diadakan pada 28 Mac (Khamis) ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjuran majlis itu tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada penggiat sukan yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, antara objektif lain majlis itu adalah sebagai pemangkin semangat kepada atlet baharu bagi meningkatkan kualiti sekali gus mengharumkan Selangor ke peringkat tertinggi.

“Diharap juga, majlis ini akan mengeratkan hubungan antara penggiat sukan dengan wakil media.

“Selain itu, ia juga mempertemukan atlet baharu dan bekas atlet di samping memberi ruang mereka bertukar pendapat serta idea dalam mempertingkat kualiti diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, penyampaian hadiah pada majlis itu akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis itu bakal dilangsungkan di Dewan Perdana, Hotel Grand Bluewave Shah Alam, pada jam 3 petang.

Sebanyak lapan anugerah bakal disampaikan iaitu, anugerah Olahragawan, Olahragawati, Olahragawan Harapan, Olahragawati Harapan, Tokoh Kepimpinan Sukan, Jurulatih Terbaik, Juri dan Pasukan Terbaik.

Dianggarkan seramai lebih kurang 500 orang tetamu hadir pada majlis berkenaan.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

MSN Selangor anjur ‘FIFA19 Challenge’, kembang potensi e-Sport

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerusi Bahagian Pembangunan Generasi Muda berjaya menganjurkan Kejohanan ‘FIFA19 Challenge’ di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, pada 6 Oktober lalu.

Edisi sulung penganjuran sukan berasaskan e-Sport itu turut mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada School of Gamers (SOG).

Timbalan Pengarahnya, Jestin Raj Savarimuthu berkata, kejohanan itu bertujuan memberi pendekatan lebih dekat kepada generasi muda, memandangkan e-Sport adalah ‘niche market’ yang bergerak seiring dengan keperluan perkembangan teknologi semasa.

“Permainan digital adalah satu trend baru anak-anak muda yang semakin meningkat, bahkan perusahaan melalui digital ini juga sedang giat membangun di Malaysia dan menerima galakan serta sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan.

“Program e-Sport juga dilihat semakin relevan dan diterima umum kerana ia tiada tarikh luput, selain keperluan teknologi mengikut masa yang kian berubah jelas membuktikan bahawa setiap permintaan itu pasti akan ada penyampaian,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Kejohanan itu menawarkan hadiah utama Sony Playstation 4, RM 300 (kedua), RM 200 (ketiga), RM100 (keempat) dan RM50 (kelima).

Mengulas lanjut, Jestin berkata, Kerajaan Negeri komited dalam usaha membangun dan meningkatkan potensi industri e-Sport, khususnya kepada golongan belia di Selangor.

Katanya, ia turut memberi pendedahan secara meluas mengenai perkembangan teknologi komputer dengan perisian terkini.

“Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan di hadapan jika ia melibatkan industri e-sport. Hal ini dibuktikan melalui penganjuran Selangor Cyber Games oleh MSN untuk tempoh lima tahun berturut-turut, baru-baru ini.

“Sudah tentu program seperti ini antara yang dinanti penggemarnya kerana menawarkan hadiah lumayan dan memberi peluang kepada mereka yang mahu menjadikan e-Sport sebagai sumber pendapatan.

“Malah,sudah ramai menjadi jutawan dengan menjadi pemenang e-Sport,” katanya.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Selangor Cyber Games 2018 medan tumpuan pemain eSports

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 SEPT: Selangor Cyber Games 2018 bakal menjadi tumpuan pemain eSports dari seluruh negara untuk merebut hadiah keseluruhan RM250,000.

Pertandingan edisi kelima anjuran Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bakal menyaksikan kehadiran lebih 2,000 peserta untuk bersaing di Empire City, Petaling Jaya, pada 27 dan 28 Oktober ini.

Selangor Cyber Games kian popular dalam kalangan pemain eSports dan kualiti penganjuran terus dipertingkatkan saban tahun dengan pelbagai pembaharuan termasuk jumlah hadiah ditawarkan.

Edisi kali ini mempertandingkan enam acara iaitu Dota 2 dengan hadiah RM70,000, Player’s Unknown Battleground (RM20,000), Fifa 19 (RM60,000), Pes 19 (RM20,000), Tekken 7 (RM30,000) dan Mobile Legends Bang Bang (RM50,000).

Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Generasi Muda MSN Selangor, Jestin Raj Savarimuthu berkata, Selangor Cyber Games dijayakan MSN Selangor dengan kerjasama Mineski Events Team Malaysia dan Big Machinez, sejak 2014 seterusnya menjadi acara tahunan.

“MSN Selangor meletakkan eSports sebagai medan alternatif bagi kumpulan Millennials dan Generasi Z dengan ia memberi peluang untuk mencapai demografi lebih terperinci melalui mereka yang mungkin tidak berkaitan dengannya dapat mengalami dalam kehidupan biasa,” katanya.

Pengarah Mineski Events Team Malaysia, Firdaus Hashim merakamkan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri dengan menjelaskan tanpa kerjasama diberikan, pertandingan itu mungkin tidak dapat diwujudkan.

“Ia acara ditunggu pemain eSports di Malaysia dan saya harap ia menjadi medium utama anak muda mengembangkan bakat,” katanya.

Pertandingan mendapat sokongan Penggerak Belia Tempatan dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu juga buat pertama kali akan memperkenalkan acara Push The Limit Lan Party by ZOTAC yang akan mengumpulkan lebih 300 pemain eSports selama 48 jam.

Pendaftaran bagi menyertai Selangor Cyber Games 2018 kini dibuka dan boleh diakses di laman sesawang www.selangorcybergames.net

Categories
SELANGOR

Pelan dua ‘I’ lahir atlet Selangor berdaya saing

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pelan perancangan pembangunan sukan dengan konsep dua ‘I’ dijadikan sebagai agenda
mengembalikan semula kegemilangan atlet Selangor di persada negara.

Pengarah Esekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Zubir Idrus, berkata pelan pembangunan jangka panjang itu bertujuan melahirkan atlet berkualiti serta berdaya saing di peringkat tertinggi.

“Awal tahun ini kita adakan simposium sukan sebagai medium menyampaikan hasrat pembangunan jangka panjang untuk tempoh lima tahun akan datang.

ZUBIR“Antara usaha lain termasuklah ‘blue print’ pelan perancangan pembangunan sukan dengan konsep dua ‘I’.

“Ia bermaksud ‘incomprehensive’ dan ‘intergrating’ yang akan menjadi pelan untuk melahirkan atlet cemerlang dalam kejohanan sukan besar selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata inisiatif pembangunan sukan negeri boleh diterapkan secara efektif menerusi gagasan Smart Selangor.

Beliau berkata, fungsi Smart Selangor boleh diterapkan secara berkesan dengan memberi tumpuan kepada perubahan pengukuhan MSN Selangor ke arah melahirkan atlet berdaya saing di peringkat global.

“Kita menyambut baik usaha Kerajaan Negeri secara konsisten mewujudkan dasar peduli rakyat yang turut memberi tumpuan kepada bidang sukan.

“Fungsi pembangunan sukan boleh ditingkatkan lebih efektif pada masa depan dengan mengaplikasikan dasar Smart Selangor itu.

“Saya percaya pelaksanaan gagasan ini membuka peluang besar kepada pembangunan sukan negeri selepas ini,” katanya.

-AA-