Categories
NASIONAL

Tabung Amal Bantu Penduduk Palestin Sempena Ramadan Dilancar

aqsa3

fauziahSHAH ALAM, 3 JUN : Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aqsa Syarif Berhad melancarkan tabung kutipan dana untuk disumbangkan kepada penduduk di Palestin sebagai persedian sambutan Ramadan pada Julai nanti.

Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, sumbangan itu nanti akan diberikan dalam bentuk makanan dan keperluan harian, di mana nilainya adalah RM150 setiap satu keluarga.

Menurutnya, sumbangan itu akan disasarkan kepada golongan wanita dan ibu tunggal yang menjadi tulang belakang keluarga supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

“Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban serta membantu penduduk di sana walaupun nilanya tidaklah begitu besar,” katanya sempena program Women March for Palestinian Women and Children di tapak Bazarena, pekarangan Stadium Malawati di sini.

Beliau turut mengalu-alukan seluruh rakyat untuk membuat sumbangan ikhlas selain menyertai upacara menandatangani petisyen sebagai bantahan terhadap keganasan rejim zionis Israel.

Katanya, petisyen itu nanti akan diserahkan kepada United Nation Human Rights Chapter dan Kerajaan Israel untuk memberi tekanan kepada mereka.

aqsaSementara itu, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail menyambut baik usaha Aqsa Syarif yang memberi komitmen tehadap pembelaan wanita di Palestin yang kebanyakannya masih menjadi tahanan di penjara Israel.

Jelasnya, penubuhan Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang dilancarkan Kerajaan Negeri Selangor juga telah menjadi inspirasi buat pimpinan Palestin untuk membina dua buah pusat komuniti di negara itu khusus bagi pengedaran makanan secara percuma kepada penduduk.

“Dalam satu lawatan pimpinan Palestin tahun lalu, mereka telah mengangkat beberapa program PWB untuk dibawa ke sana khusus untuk penyediaan makanan secara berkebajikan.

“Projek ini memerlukan sedikit dana, maka saya ingin menyeru kepada semua rakyat Selangor untuk memberikan sedikit sumbangan supaya projek ini dapat dimulakan sempena Ramadan akan datang,” katanya.

Selain melancarkan tabung amal, pertubuhan itu juga turut membuat tarian ‘flashmob’ dengan disertai kira-kira 30 peserta di tapak bazar sebagai simbolik membantah kekejaman Israel.

aqsa2