Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, iringi prestasi pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Bursa Malaysia dibuka rendah yang hampir merentasi semua papan hari ini, seiring dengan prestasi penyusutan pasaran saham Asia lain berikutan penurunan ketara yang dialami oleh Wall Street semalam.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.62 mata kepada 1,491.99 daripada 1,494.61 sewaktu ditutup pada Isnin selepas dibuka susut 2.50 mata kepada 1,492.11.

Pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 212 berbanding 137 manakala 264 kaunter lain tidak berubah, 1,558 tidak didagangkan dan 42 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 286.05 juta unit bernilai RM146.28 juta.

Menurut seorang penganalisis, pasaran susut semalam selepas Washington terbukti gagal memuktamadkan perkara berhubung pakej rangsangan, sekali gus menyukarkan sebarang usaha mencapai persetujuan sebelum pemilihan presiden negara itu pada 3 November ini.

“Oleh itu, aktiviti mencari saham-saham berharga rendah dijangka berlaku pada tengah hari ini ketika pasaran tempatan terus menjejaki pergerakan pasaran global,” katanya.

Menurut media kewangan Bloomberg, saham-saham di Jepun, Australia dan Korea Selatan susut ketika pasaran dibuka hari ini apabila kontrak S&P 500 terus susut dan mencatat penurunan terbesarnya dalam tempoh sebulan.

Keadaan itu disebabkan oleh sentimen suram terhadap prospek pakej rangsangan dapat diwujudkan bagi menangani Covid-19 di AS sebelum pilihan raya pada November itu.

Sementara itu di KLCI, Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM5.93, Sime Darby Plantation turun lapan sen kepada RM4.89 manakala MISC berkurangan tujuh sen kepada RM6.75.

Top Glove sebaliknya menokok satu sen kepada RM8.71 dan Hartalega tidak berubah pada RM17.68.

Kaunter-kaunter berkaitan pengguna dan teknologi menyaksikan dagangan aktif pada awal dagangan dengan Dataprep dan Kanger International masing-masing menambah satu sen kepada 19.5 sen dan 18.5 sen.

Di papan indeks memaparkan prestasi Indeks FBM Emas yang susut 10.89 mata kepada 10,798.65, Indeks FBMT 100 kehilangan 11.99 mata kepada 10,607.55 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 15.30 mata kepada 12.928.23.

FBM 70 sebaliknya naik 9.69 mata kepada 14.205.65 manakala FBM ACE turun 6.72 mata kepada 10.216.74.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 12.53 mata kepada 12,293.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.41 mata kepada 143.82, Indeks Perladangan turun 24.74 mata kepada 6,935.63 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat sebanyak 5.94 mata kepada 4.009.79.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Bank Pembangunan Asia jangka pertumbuhan Asia 0.1 peratus

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Bank Pembangunan Asia (ADB) menyemak turun jangkaan pertumbuhan terhadap rantau Asia kepada 0.1 peratus pada 2020 daripada 2.2 peratus diunjurkan pada April lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, ADB berkata jangkaan itu merupakan pertumbuhan paling perlahan untuk rantau ini sejak tahun 1961, ia terkandung dalam unjuran terbaharu bank tersebut, tambahan kepada Laporan Unjuran Pembangunan Asia (ADO) 2020 yang dikeluarkan pada April.

Bank telah menyemak turun unjurannya untuk 2020 kerana langkah pencegahan untuk mengatasi pandemik Covid-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi dan melemahkan permintaan luaran.

“Pertumbuhan pada 2021 dijangka akan meningkat kepada 6.2 peratus, seperti diunjurkan pada April. Paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 akan kekal di paras rendah dan dan tren sebelum krisis tersebut.

“Ia tidak termasuk negara perindustrian baharu seperti Hong Kong, China; Republik Korea; Singapura; dan Taipei. Asia yang sedang berkembang pesat dijangka akan berkembang 0.4 peratus tahun ini dan 6.6 peratus pada 2021,” katanya.

Ketua ekonomi ADB Yasuyuki Sawada berkata negara di Asia dan Pasifik akan terus terjejas akibat penularan Covid-19 tahun ini walaupun sekatan perjalanan ditamatkan secara perlahan-lahan dan aktiviti ekonomi telah mula beroperasi semula dalam kebiasaan baharu.

“Walaupun kita melihat unjuran pertumbuhan yang lebih tinggi rantau ini pada 2021, ini disebabkan oleh pertumbuhan yang lemah tahun ini, dan ia bukan pemulihan berbentuk V. Kerajaan harus mengambil langkah untuk mengurangi kesan negatif akibat Covid-19 dan memastikan tiada gelombang baharu berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Donald Trump lawat Asia November ini

GLOBAL 1 OKT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan me­ngadakan lawatan rasmi ke beberapa negara Asia termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam dan Filipina pada November depan yang merupakan kunjungan kali pertama sejak mengambil alih pentadbiran AS, kata White House.

Trump akan turut membawa isterinya, Melania dalam lawatan yang dijangka pada 3 hingga 14 November ini, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Beliau akan hadir pada dua sidang kemuncak, Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Vietnam dan Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Asia Tenggara di Filipina.

Seorang pegawai AS berkata, beberapa pemimpin Asia yang menemui Trump pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu lalu memintanya supaya mengunjungi negara-negara sekutunya.

Sementara itu, seorang diplomat Asia menyambut baik keputusan Trump untuk melawat Manila kerana ia memberi jaminan kepada wilayah tersebut bahawa dasar Asia bukan sahaja tertumpu mengenai Korea Utara sebaliknya ia membabitkan semua negara Asia Tenggara.

Setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano berkata bahawa Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berhasrat untuk bertemu dengan Trump walaupun hubungan antara kedua-dua negara berkenaan terjejas susulan daripada kempen perang terhadap dadah.

“Penglibatan Trump mampu memperkukuhkan penyelesaian antarabangsa terutamanya ancaman Korea Utara,” kata White House ketika mengumumkan mengenai lawatan Trump itu.

=EZY=