Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pertumbuhan ekonomi Selangor pada kadar dua peratus

SHAH ALAM, 2 NOV: Unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun ini dijangka pada kadar dua peratus kesan penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat menyebabkan banyak sektor terjejas sekali gus menjejaskan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Unjuran pertumbuhan ekonomi Selangor dibuat dalam tiga senario. Pertama, jika jangkaan KDNK nasional adalah positif 0.5 peratus, kadar pertumbuhan negeri adalah 2.09 peratus.

“Kedua, jika unjuran nasional pada paras negatif 0.5 peratus, kadar pertumbuhan Selangor adalah 1.07 peratus. Senario paling buruk ialah jika jangkaan nasional paras negatif tiga, jangkaan negeri pula paras negatif 1.47 peratus,” katanya.

Amirudin berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung unjuran pertumbuhan ekonomi KDNK Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKP dan PKPB menjejaskan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi negeri.

Menjawab soalan ADN Pandamaran, Leong Tuck Chee berhubung pendapatan pada tahun ini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mencapai 90 peratus sasaran pendapatan sehingga 26 Oktober.

“Kita menyasarkan pendapatan RM2.2 bilion pada 2020 dan kita berjaya capai sekitar RM1.99 bilion setakat ini. Pendapatan Kerajaan Negeri pada 2017 pula adalah RM1.8 bilion, 2018 (RM1.99 bilion) dan 2019 (2.32 bilion),” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia turunkan pertumbuhan suku kedua Malaysia kepada negatif 4.9 peratus

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Susulan penguncupan lebih ketara berbanding jangkaan pada suku kedua 2020, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada -4.9 peratus, lebih rendah daripada unjuran awal pada -3.1 peratus.

Menerusi kenyataan hari ini, Bank Dunia berkata perubahan unjuran itu menunjukkan ketidaktentuan yang menyelubungi kadar kepantasan dan permulaan pemulihan ekonomi global adalah meningkat, yang akan mempengaruhi keputusan pelaburan dan permintaan luaran.

Selain itu, peningkatan kadar pengangguran dan kelemahan lain dalam pasaran buruh akan terus menjejaskan penggunaan swasta, menurutnya.

Bank Dunia berkata berikutan penutupan sementara kebanyakan ekonomi dan kekurangan operasi perniagaan, pasaran buruh amat terjejas, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus pada suku kedua 2020, angka tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Penyertaan tenaga buruh susut kepada 68.1 peratus pada suku kedua 2020 daripada 68.8 peratus pada suku pertama dan ramai pekerja menghadapi tempoh kerja lebih singkat dan pengurangan gaji.

“Berdasarkan perkembangan ini, kebanyakan komponen permintaan, seperti eksport bersih, penggunaan swasta dan pelaburan swasta diunjurkan berkurangan pada 2020,” menurut Bank Dunia susulan pelancaran laporan ‘From Containment to Recovery: Economic Update for East Asia and the Pacific, October 2020’.

Ekonomi Malaysia terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19, sehingga mencatatkan penguncupan dua digit 17.1 peratus pada suku kedua 2020 susulan kekurangan permintaan domestik apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan untuk membendung jangkitan selain situasi luaran yang turut lemah.

Bank Dunia berkata perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat, terutama disebabkan perbelanjaan pakej rangsangan.

Sementara itu, kemiskinan bagi Garis Kemiskinan Kelas Pendapatan Pertengahan Atas iaitu US$5.50 sehari (berdasarkan Pariti Kuasa Beli 2011 dolar) dijangka meningkat sedikit kepada 0.9 peratus daripada 0.8 peratus pada 2020.

Bank Dunia berkata peningkatan ini disebabkan oleh kadar pengangguran lebih tinggi, tempoh bekerja disingkatkan dan aktiviti perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih perlahan.

Ini berlaku walaupun kesan penguncupan diimbangi menerusi beberapa langkah bantuan dan pemulihan oleh kerajaan, yang mengurangkan impak ke atas penggunaan swasta.

“Kadar Kemiskinan Pariti Kuasa Beli 2011 pada US$5.50 sehari dijangka susut kepada 0.6 peratus pada 2021 dan 0.5 peratus pada 2022,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Bank Pembangunan Asia jangka pertumbuhan Asia 0.1 peratus

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Bank Pembangunan Asia (ADB) menyemak turun jangkaan pertumbuhan terhadap rantau Asia kepada 0.1 peratus pada 2020 daripada 2.2 peratus diunjurkan pada April lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, ADB berkata jangkaan itu merupakan pertumbuhan paling perlahan untuk rantau ini sejak tahun 1961, ia terkandung dalam unjuran terbaharu bank tersebut, tambahan kepada Laporan Unjuran Pembangunan Asia (ADO) 2020 yang dikeluarkan pada April.

Bank telah menyemak turun unjurannya untuk 2020 kerana langkah pencegahan untuk mengatasi pandemik Covid-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi dan melemahkan permintaan luaran.

“Pertumbuhan pada 2021 dijangka akan meningkat kepada 6.2 peratus, seperti diunjurkan pada April. Paras Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 akan kekal di paras rendah dan dan tren sebelum krisis tersebut.

“Ia tidak termasuk negara perindustrian baharu seperti Hong Kong, China; Republik Korea; Singapura; dan Taipei. Asia yang sedang berkembang pesat dijangka akan berkembang 0.4 peratus tahun ini dan 6.6 peratus pada 2021,” katanya.

Ketua ekonomi ADB Yasuyuki Sawada berkata negara di Asia dan Pasifik akan terus terjejas akibat penularan Covid-19 tahun ini walaupun sekatan perjalanan ditamatkan secara perlahan-lahan dan aktiviti ekonomi telah mula beroperasi semula dalam kebiasaan baharu.

“Walaupun kita melihat unjuran pertumbuhan yang lebih tinggi rantau ini pada 2021, ini disebabkan oleh pertumbuhan yang lemah tahun ini, dan ia bukan pemulihan berbentuk V. Kerajaan harus mengambil langkah untuk mengurangi kesan negatif akibat Covid-19 dan memastikan tiada gelombang baharu berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik separuh kedua 2020 – BNM

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Aktiviti ekonomi Malaysia dijangka meningkat perlahan-lahan pada separuh kedua tahun ini selepas langkah-langkah pembendungan penularan Covid-19 dilonggarkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ia akan membolehkan aktiviti ekonomi disambung semula beransur-ansur di negara ini dan menjana permintaan yang lebih baik dalam sektor perkhidmatan.

“Pada separuh kedua 2020, langkah-langkah rangsangan akan meningkatkan pertumbuhan penggunaan dan kita menjangkakan penambahbaikan pertumbuhan global apabila semakin banyak negara akan membukakan semula ekonomi mereka.

“Kita bakal melihat perdagangan global terus bertambah baik dan kitaran teknologi kini berada dalam trend peningkatan, jadi ini adalah antara beberapa faktor yang akan memacu pertumbuhan pada separuh kedua 2020,” katanya pada sidang media maya bersempena dengan pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2020, semalam.

Nor Shamsiah berkata pertumbuhan dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2020 apabila aktiviti ekonomi negara disambung semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei-9 Jun, 2020.

“Pertumbuhan dijangkakan pesat pada 2021, terutamanya apabila rakan dagangan negara juga menyambung semula aktiviti ekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pandemik Covid-19 telah mempercepatkan keperluan teknologi berikutan keperluan penjarakan sosial dan menjangka sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dari segi pembaharuan struktur untuk mengurangkan kerentanan dalam negara.

“Ini kerana sektor E&E akan menyediakan peluang yang amat besar dalam bahagian seperti bekerja dari jarak jauh, pembelajaran maya, e-dagang, membeli belah dalam talian dan hiburan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, bagi industri penjagaan kesihatan, pemain industri negara juga merupakan pengeluar utama barangan guna habis perubatan, seperti pengeluar peralatan perubatan berteknologi tinggi.

Terdahulu, hari ini, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 0.7 peratus dalam suku pertama 2020, pertumbuhan paling perlahan sejak suku ketiga 2009 (-1.1 peratus) disebabkan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Meskipun impak daripada Covid-19 dijangka teruk, beliau menjangkakan penguncupan akan lebih besar pada suku kedua 2020 berbanding 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

“Apa yang kami pasti adalah suku kedua 2020 akan mencatatkan penurunan yang lebih besar sebelum sampai ke tahap terendahnya, dan meningkat semula ketika kita memasuki suku ketiga 2020,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KDNK suku pertama 2020 berkembang sederhana 0.7 peratus

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih sederhana iaitu 0.7 peratus bagi suku pertama 2020 berbanding dengan 4.5 peratus semasa suku yang sama tahun lepas, susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah terjejas berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata selepas mencatatkan pengembangan stabil pada dua bulan pertama tahun ini, aktiviti ekonomi mengalami penyusutan mendadak berikutan PKP mulai 18 Mac.

“Sekatan pergerakan termasuk sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik, pengehadan kerja dan tempoh operasi serta penjarakan sosial wajib telah amat membataskan aktiviti ekonomi.

“Pengeluaran hanya dibenarkan untuk barang dan perkhidmatan penting serta industri penting bersama rantaian bekalan mereka. Sektor berintensifkan pekerja dan berorientasikan pengguna turut terjejas,” menurut bank pusat dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pengumuman prestasi KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020 hari ini.

Semasa tempoh tersebut, BNM berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana pada kadar 0.9 peratus, mencerminkan terutama luputnya baki kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta inflasi barangan harganya yang tidak menentu yang lebih rendah manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.3 peratus.

Bagi perkembangan kadar pertukaran, ringgit menyusut nilai sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku pertama 2020, berikutan aliran keluar portfolio bukan pemastautin yang besar dengan nilai berjumlah RM26.2 bilion (US$6.3 bilion) susulan aktiviti penghindaran risiko yang semakin meningkat di peringkat global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara tahun ini lebih baik

GEORGE TOWN, 5 JAN: Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun lepas dengan adanya pelbagai inisiatif kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berdaulat telah menghadapi cabaran namun kerajaan berusaha untuk menangani isu ekonomi berdasarkan asas ekonomi.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan asas ekonomi kekal kukuh termasuk dari segi fiskal selain mengekalkan keyakinan bukan sahaja pelabur malah agensi antarabangsa.

“Kita boleh lihat pertumbuhan ekonomi negara masih sihat, unjuran pertumbuhan ekonomi pada kira-kira 4.7 peratus, lebih baik berbanding negara-negara lain.

“Sesetengah negara jiran jauh lagi teruk, tetapi kita yakin bahawa tahun ini kedudukan ekonomi akan lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya semasa sidang media mengenai penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 bersama Menteri Kewangan oleh Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di sini, hari ini.

Guan Eng berkata kerajaan telah mengenal pasti lima perkara yang akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Perkara itu ialah harga komoditi termasuk kelapa sawit dan minyak mentah yang telah meningkat; ketegangan perang dagang akan reda dan peningkatan perbelanjaan kerajaan.

“Perkara keempat adalah reformasi institusi yang juga akan mendorong penjimatan, keberkesanan dan kecekapan tercapai.

“Terakhir adalah inisiatif kerajaan yang akan menyuntik dana kepada pasaran, antaranya program e-dompet yang akan dijalankan minggu depan,” katanya.

Guan Eng berkata berlandaskan semua inisiatif yang dilaksanakan dan langkah yang diambil, kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi tahun ini akan lebih baik daripada tahun lepas.

Terdahulu, Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang mengumumkan akan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 bersama Menteri Kewangan pada 25 Januari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari di Pusat Konvensyen Setia Spice.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Pertumbuhan ekonomi, perlindungan sosial perlu selari

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pertumbuhan ekonomi dan perlindungan sosial perlu selari bagi memastikan kemajuan yang mampan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha untuk mencapai kemajuan ekonomi, pemimpin negara perlu terus memikirkan dan menilai semula apa yang dimaksudkan dengan usaha untuk menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua rakyat di bawah kepemimpinannya dapat menjalani kehidupan yang bermakna,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019, di sini hari ini.

Walaupun keajaiban infrastruktur dan pencapaian digital dapat meningkatkan profil negara pada mata dunia, ia tidak boleh dilakukan sehingga boleh menjejaskan ekosistem yang rapuh, kata Perdana Menteri.

“Kita mesti sentiasa menimbang kesan yang dibawa oleh kemajuan berterusan, sebagai contoh, menyumbang kepada kesan buruk kepada perubahan iklim.

“Oleh itu, ketika negara berkembang dan jumlah penduduk semakin meningkat, kewajipan pemimpin untuk mewujudkan persekitaran yang memberangsangkan dan maju untuk rakyat Malaysia, akan menjadi lebih kompleks, kata Dr Mahathir.

Sebaliknya, beliau berkata, majikan dan pekerja berhadapan dengan cabaran yang hampir mustahil apabila perlu membuat penyesuaian pantas untuk bersaing dengan permintaan manusia dan digital dalam pasaran baharu.

“Inilah masa yang sangat mencabar. Jika kita yang mampu dari segi kewangan pun mendapati kesukaran untuk mengekalkan operasi perniagaan, bayangkan tekanan hidup yang semakin meningkat yang perlu ditempuhi mereka yang baru tamat persekolahan, berada dalam kumpulan B40, atau bersara,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak boleh membiarkan kekecewaan ekonomi membawa kepada konflik dan pergolakan.

“Kita perlu melihat tempat seperti Hong Kong, Beirut dan Santiago untuk melihat bagaimana golongan belia yang kecewa terhadap ekonomi, mencetuskan konflik dan gangguan, memburukkan lagi kedudukan ekonomi yang sudah pun tidak stabil,” katanya.

Oleh itu, dalam pada Malaysia berusaha untuk menjadi negara maju, kerajaan mesti memastikan kemakmuran yang perolehnya dikongsi bersama, tanpa membelakangkan sesiapa.

“Untuk itu, kita mesti meluangkan masa untuk membantu mereka yang terdedah ini, terutama generasi muda, bagi mewujudkan pekerjaan yang berkualiti dan bermaruah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan rakyat beri tumpuan pembangunan rakyat luar bandar

anwar belanjawan PR

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) akan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang, mampan dan inklusif.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan penyambungan membabitkan perhubungan internet atau fiskal seperti lebuh raya amat penting bagi mencapai keseimbangan ekonomi.

Katanya, pembinaan lebuh raya Pan-Borneo yang menyambungkan beberapa bandar di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf serta disegerakan, menjelang awal 2014.

“Lokasi kemalangan akan dikenalpasti dan dibaiki, selain pelaksanaan sistem penyelenggaraan berkala untuk manfaat rakyat di kawasan berkenaan.

“PR juga akan mengkaji semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak. Kita akan berusaha menurunkan harga kargo dan barangan yang masuk atau keluar dari negeri berkenaan yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, PR juga akan memastikan penjurusan pembekalan air dan elektrik dapat dicapai 100 peratus untuk kawasan luar bandar dan bandar terutama di negeri wilayah timur berkenaan.

“Usaha ini akan memastikan bekalan air bersih dan elektrik diperbaiki melalui penggunaan teknologi solar, ladang angin serta mikro hidro,” katanya lagi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor Yakin Pertumbuhan Masih Tinggi Walaupun Ekonomi Dunia Lembab

MB sidang DUN julai 2012 02

SHAH ALAM 4 JUL : Walaupun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka mengalami kelembapan, Kerajaan Negeri optimis Selangor akan kekal mendahului kadar tertinggi pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Bercakap di Sidang Dewan Negeri pagi tadi, Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim berkata kadar pertumbuhan Selangor juga sebenarnya adalah lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Memang perkembangan ekonomi negara China yang mengumumkan pertumbuhan sekitar lima hingga enam peratus sahaja, dan ini memberi kesan kepada negara kita.

“Tetapi Selangor pada kebiasaannya akan mencatat peratus pertumbuhan yang lebih tinggi,” ujar Adun Pelabuhan Klang ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan menjadikan sektor perkhidmatan sebagai fokus bagi meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi di Selangor.

“Apa jua keadaan, kita mesti pastikan bahawa rakyat Selangor mendapat pekerjaan dan perkhidmatan yang terbaik,” katanya lagi.