Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM, isteri terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ke-15 hari ini.

Perdana menteri dan isteri masing-masing menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif) yang disampaikan oleh Rektor Aswara Prof Madya Sahar Sa’ di Hashim di Akademi ASWARA di sini.

Penganugerahan itu sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi terhadap Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membangun serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Istiadat konvosyen itu menyaksikan 171 graduan daripada tujuh fakulti menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan Diploma manakala lima graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah menerima Ijazah Sarjana Seni Kreatif dan Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif.

ASWARA terdiri daripada Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Penulisan Kreatif dan Filem, Tari, Teater, Muzik, Animasi dan Multimedia dan Rekaan Komunikasi Visual.

ASWARA yang beroperasi selama 25 tahun merupakan institusi pengajian tinggi khusus dalam bidang seni yang menawarkan 28 program akademik di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah doktor falsafah.

Kesemua program itu mendapat pengiktirafan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBI sokong usaha ‘Upcycle Fabric Synthetic’ ASWARA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JAN: Kurang kesedaran berhubung isu sisa fabrik dengan lebih 2,000 tan terhasil, di negara ini mendorong pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) memperkenalkan inisiatif ‘Upcycle Fabric Synthetic’.

Kagum dengan usaha projek tahun akhir pelajar berkenaan, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) turut menyumbangkan dana bagi merealisasikan hasrat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman berkata, usaha itu disokong sepenuhnya dan perlu diketengahkan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita memerlukan sokongan pihak swasta, kerajaan, badan budan kerajaan, pelajar atau sesiapa sahaja untuk bersama menyelesaikan isu ini.

“Oleh itu, jika ada pihak yang berminat membantu, pastinya usaha sebegini akan disokong,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, industri fesyen semakin hebat dan berkembang pantas, namun tidak dinafikan ia juga merupakan pencemar terbesar.

Justeru, katanya, kesedaran masyarakat untuk menangani isu sisa fabrik itu sangat penting dan perlu dipupuk dari rumah.

Sementara itu, pengurus acara projek terbabit, Iffah Nadhilah Mohamed berkata, langkah mengitar semula pakaian dan tekstil adalah cara paling bermanfaat bagi mengelakkan pencemaran serta pengeluaran intensif tenaga pakaian baru.

“Dalam kerancakan perkembangan dunia fesyen yang turut mewarnai kehidupan mahasiswa, ramai terlepas pandang mengenai isu sisa fabrik yang dihasilkan.

“Pakaian yang tidak boleh digunakan boleh diolah semula menjadi aksesori fabrik lain atau pelbagai kegunaan lain, justeru kami berbesar hati dan bersyukur kerana MBI sudi menyumbang dalam projek ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, masyarakat tahu berkenaan kitar semula plastik, aluminium, botol dan kertas, namun kurang pengetahuan dalam sisa fabrik.

 

 

Categories
SELANGOR

MPK Angkat Martabat Seni Grafiti

KLANG 31 MEI : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjadikan kawasan sekitar Klang terutamanya Jambatan Kota dihiasi dengan pelbagai hasil seni grafiti yang menarik.

Dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Program Klang Grafiti 2012 yang dijalankan baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Melalui program ini juga memberi peluang kepada penduduk setempat terutama golongan belia mengembangkan bakat masing-masing pada program berkenaan.

Pengarah Jabatan Taman Dan Rekreasi MPK, Muhammad Hijaz Sanusi berkata program itu bertujuan untuk mengangkat seni grafik yang sering dianggap negatif oleh masyarakat sejak dulu.

“Apa yang membanggakan ialah penyertaan kali ini turut melibatkan ibu bapa bersama anak-anak mereka menyertai program ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Seni Halus Aswara, Mohd.Bakir Baharum berkata, pihaknya berbangga kerana dapat mengadakan kerjasama dengan MPK dan program itu sememangnya memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mempersembahkan bakat mereka.

Katanya, program itu juga akan memberi impak positif terutama dalam pengindahan dan keceriaan kawasan ini yang sememangnya menjadi tumpuan pelancong tidak kira dari dalam dan luar negeri sejak dulu lagi.

“Keindahan Bandar Diraja akan terserlah jika warganya bijak dan kreatif mengetengahkan nilai yang ada untuk tatapan masyarakat dan juga pelancong dari luar,” katanya.