Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis mahu lihat Akuan Berkanun Azilah Hadri

SHAH ALAM, 16 DIS: Polis akan meneliti Akuan Berkanun (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mendakwa menerima arahan untuk membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis perlu membuat pengesahan terhadap SD itu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Kami belum tengok lagi (SD)… kecuali jika kamu membawa SD itu kepada polis. Kami akan tengok dan membuat keputusan kemudian,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau ditanya jika polis akan membuka semula siasatan pembunuhan Altantuya berdasarkan SD yang dibuat oleh Azilah.

Azilah dijatuhkan hukuman mati atas sabitan kesalahan membunuh Altantuya pada 2006.

Malaysiakini hari ini melaporkan mengenai SD itu yang mendakwa dia dan seorang lagi bekas anggota UTK, iaitu, Sirul Azhar Umar diarah untuk membunuh Altantuya oleh Najib.

Perincian itu antara permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Keputusan rayuan kes bunuh Altantuya pada Jumaat

ALTANTUYA

Keputusan rayuan dua anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu akan dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini.

Malaysiakini.com melaporkan salah seorang peguam yang mewakili Sirul Azhar, Hasnal Rezua Merican, mengesahkan perkara itu lewat petang semalam.

“Ya benar. Pendaftar telah memaklumkan kepada kami bahawa keputusan akan dihantar pada 9 pagi pada Jumaat,” kata Hasnal Rezua yang dipetik dari portal media tersebut.

Koperal Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda,yang juga rakan baik Perdana Menteri sekarang yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.