Categories
NASIONAL SELANGOR

Keputusan rayuan kes bunuh Altantuya pada Jumaat

ALTANTUYA

Keputusan rayuan dua anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu akan dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini.

Malaysiakini.com melaporkan salah seorang peguam yang mewakili Sirul Azhar, Hasnal Rezua Merican, mengesahkan perkara itu lewat petang semalam.

“Ya benar. Pendaftar telah memaklumkan kepada kami bahawa keputusan akan dihantar pada 9 pagi pada Jumaat,” kata Hasnal Rezua yang dipetik dari portal media tersebut.

Koperal Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda,yang juga rakan baik Perdana Menteri sekarang yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.