Categories
NASIONAL

Kaji semula proses representasi – Badan Peguam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Badan Peguam menggesa pendakwa raya mengkaji semula proses representasi kerana mungkin membahayakan keadilan dan kecekapan dalam prosiding jenayah.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, prosedur baru yang dimulakan pendakwa raya awal Mei ini juga membawa kepada kesukaran dalam bidang jenayah.

Katanya, proses itu perlu dibaikpulih ekoran keputusan pendakwa raya yang menghentikan atau menarik balik prosiding beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini.

“Badan Peguam menggesa pendakwa raya melakukan kajian lanjutan ke atas prosedur itu demi mempromosikan system pentadbiran keadilan yang cekap dan berkesan.

“Prosedur membincangkan representasi sebaliknya harus dibuat oleh sebuah jawatankuasa. Kes-kes membabitkan hukuman mati boleh dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pegawai berjawatan tinggi di Jabatan Peguam Negara.

“Manakala satu lagi jawatankuasa yang terdiri daripada timbalan pendakwa raya kanan negeri dan pegawai-pegawai kanan dari Putrajaya boleh menangani kes-kes lain,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Fareed berkata, Jabatan Peguam Negara juga tida seharusnya membantah Timbalan Pendakwa Raya yang bersetuju dengan permintaan penangguhan yang munasabah sementara menunggu hasil pertimbangan representasi sesebuah jawatankuasa.

Terdahulu, dalam satu pekeliling baru-baru ini, Peguam Negara Tommy Thomas, yang juga pendakwa raya berkata, prosedur baru untuk mempertimbangkan representasi melibatkan peguam cara negara III, peguam cara negara II dan peguam cara, adalah ‘berlapis-lapis’ dan akan ‘mengambil masa’.

Beliau juga berkata, tidak perlu penangguhan perbicaraan sementara representasi sedang dipertimbangkan.

Peguam, mewakili orang yang dituduh, membuat representasi kepada pendakwa raya untuk menarik balik atau mengurangkan dakwaan berdasarkan fakta dan keadaan tertentu.

Permohonan sedemikian dibuat kepada peguam negara yang mempunyai budi bicara bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding dalam kes jenayah.

 

Categories
NASIONAL

Peguam, Media & Ahli Parlimen jalan 1km bantah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR 16 OKT: Lebih 500 peguam hari ini bersut hitam berarak kira-kira satu kilometer menuju ke Parlimen mendesak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan.

Perarakan yang digelar ‘Perarakan untuk Keamanan dan Kebebasan 2014’ bermula peserta mula berkumpul sejak jam 10.00 pagi tadi.

jalanIa dianjurkan Badan Peguam Malaysia turut mendapat sokongan persatuan dan badan peguam dari luar negara.

Turut bersama mereka termasuk Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang juga pengamal undang-undang yang turun dari Dewan Rakyat untuk menyatakan solidariti kepada perjuangan memansuhkan akta itu.

Mereka membawa plakad antaranya bertulis “Mansuh Akta Hasutan”, “Senyap tidak akan melindungi anda” dan “Harmoni, hormat menghormati perpaduan”.

1174528_10152296005576152_1829244072612621086_nSelain peguam, turut bersama dalam perarakan itu, kumpulan pengamal media yang tidak mahu akta itu disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Antara yang hadir ialah Presiden Majlis, Christopher Leong, yang kelihatan menyambut ketibaan para peserta, dan bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga; Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan dan ahli Parlimen pembangkang – Teo Nie Ching, Nga Kor Ming, dan Gobind Singh Deo.

Hanya 10 ahli Majlis Peguam dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen dan disambut oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Christoper menyerahkan memorandum terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong selaku wakil kerajaan di Bilik Jawatankuasa 2, Bangunan Parlimen.

Antara isi kandungan memorandum berkenaan adalah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan.

“Kami menghargai sokongan Ahli Parlimen terhadap pandangan kami supaya akta ini dimansuhkan,” katanya.

EZY