Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kerja baik pulih paip pecah selesai kurang 24 jam

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerja pembaikan paip pecah di kawasan pembinaan Worldwide, Seksyen U11 di sini siap sepenuhnya jam 9 malam ini, kurang 24 jam selepas insiden berlaku.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pembaikan yang dibuat sejurus insiden yang dikesan berlaku sebelum jam 12 tengah hari, siap sejam lebih awal dari masa yang dijadualkan.

“Bekalan air mula disalurkan dan pemulihan ke 59 kawasan terjejas adalah secara berperingkat-peringkat mengikut jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Bekalan air di kawasan terlibat dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 pagi 17 Oktober (esok),” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Hari ini, pengguna di Shah Alam, Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah berpunca daripada tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan itu.

Terdahulu, Elina berkata kerja pembaikan giat dijalankan dan dijangka siap pada jam 10 malam ini, namun ia siap pada jam 9 malam.

Perkembangan kerja pembaikan akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja baik pulih paip pecah kawasan tanah mendap selesai

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pembaikan paip pecah di kawasan tanah mendap di Jalan Klang-Banting di Kampung Johan Setia, siap sepenuhnya jam 4 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata tempoh menyiapkan kerja berkenaan selesai lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Bekalan air mula disalurkan ke dua kawasan di wilayah Klang dan lapan kawasan di wilayah Kuala Langat dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi esok, 23 Julai,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Bagi kawasan yang masih dalam proses pemulihan, bantuan air melalui lori tangki terus digerakkan bagi membantu pengguna terjejas. Mereka disarankan menggunakan air secara berhemat.

Semalam dilaporkan, beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip pecah di lokasi tanah mendap di tapak kerja Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) GS10.