Categories
PBT SELANGOR

PBT kenal pasti bangunan terbiar di Hulu Selangor

SHAH ALAM: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengenal pasti pemilik bangunan, premis dan rumah terbiar di daerah ini.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata notis amaran dihantar selain tindakan lebih tegas diambil jika struktur binaan atau tanah masih gagal diuruskan dengan baik.

“Kita jalankan semakan segera sama ada terdapat bangunan milik kerajaan negeri atau pusat terbiar, kalau ada keperluan untuk ambil alih bangunan bagi dibangunkan, kita tengok sama ada boleh lakukan atau tidak.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sering berdepan masalah melibatkan struktur binaan di atas tanah persendirian tidak diuruskan dengan baik sehingga memudaratkan penduduk setempat, terutama penyebaran penyakit,” katanya kepada SelangorKini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam, Dato’ Menteri Besar mengarahkan PBT mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bangunan atau premis terbiar di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar berkata penguatkuasaan perlu segera diambil bagi mengelak penyebaran penyakit dan menjadi tempat kegiatan tidak berfaedah.