Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

RM145 juta atasi banjir lumpur di Kajang

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 7 FEB: Peruntukan RM145 juta sudah dipohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah banjir lumpur yang kerap melanda kawasan Bukit Dukung, Kampung Sungai Sekamat dan Kampung Sungai Jernih, di sini.

Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kelulusan peruntukan berkenaan bergantung kepada belanjawan tahun hadapan kerana Sungai Langat berada di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberikan peruntukan bagi menangani masalah itu tetapi jumlah jangka panjang perlu diselesaikan Kerajaan Persekutuan.

“Ia tidak memadai untuk melaksanakan perancangan menyeluruh. Masalah pembangunan di sekitar kawasan ini juga perlu diambil kira demi keselesaan penduduk.

“Saya sudah membuat perjumpaan dengan pihak Jabatan Pengairan Saliran Selangor, Majlis Perbandaran Kajang, Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Langat dan wakil penduduk supaya langkah menyeluruh dapat diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu, pihak bertanggungjawab juga sudah menjalankan tugas dengan baik sekali dalam mengatasi perkara ini,” katanya selepas melawat kawasan sungai yang terbabit dengan banjir, di sini, hari ini.

Difahamkan, banjir teruk berlaku di kawasan terbabit pada April, Mei, September 2017 dan terbaharu, pada 23 Januari lalu.

Masalah itu berlaku antaranya disebabkan beberapa kerja pembinaan dan pembagunan yang sedang dilaksanakan, di kawasan terbabit.

 

Categories
SELANGOR

Penduduk Kajang lega RM5.5 juta atasi banjir, isu sampah perlu fokus

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 DIS: Pemimpin masyarakat di Kajang menyambut baik pengumuman Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali meluluskan RM5.5 juta mengatasi masalah banjir di beberapa tempat di Daerah Hulu Langat.

Ketua Kampung Sungai Kantan, Khalid Ridhuan berkata, ini berikutan masalah banjir yang sekian lama berlarutan di Kajang wajar diselesaikan secepat mungkin bagi kesejahteraan penduduk.

Turun Padang MB ke Daerah Hulu Langat (5)“Dulu bila mengadu pada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mereka kata tiada bajet – suatu alasan yang sukar diterima kerana ini melibatkan kepentingan penduduk yang sepatutnya diutamakan.

“Sekarang Alhamdullilah peruntukan diluluskan dan saya harap digunakan sepenuhnya RM5.5 juta ini untuk atasi masalah banjir.

“Saya harap RM5.5 juta ini termasuk permohonan RM1 juta Jabatan Parit dan Saliran (JPS) untuk menaikan taraf Sungai Merbau di kampung ini,” kata Khalid ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis MPKj, Radhuan Ahmad pula berharap selain isu banjir yang perlu diatasi segera, Kerajaan Negeri juga perlu menyelesaikan isu sampah yang semakin buruk di Kajang.

“Terima kasih kepada Menteri Besar baru kita kerana walaupun isu ini sepatutnya dah lama diatasi.

Turun Padang MB ke Daerah Hulu Langat (7)“Cuma saya harapkan bukan masalah banjir sahaja yang jadi masalah di sini tetapi isu sampah juga perlu diatasi segera,” kata Radhuan.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dalam program turun padang di Daerah Hulu Langat berkata Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan segera RM5.5 juta bagi kerja menaik taraf sungai sekitar Kajang.

Beliau menjangkakan kerja menaik taraf akan dimulakan seawal Mac 2015 nanti sebaik selesai proses tender dijalankan.

Kerja menaik taraf itu melibatkan kerja melebarkan sungai dari lapan meter ke 12 meter selepas beberapa gerai yang dibina di atas tanah rizab sungai itu dipindahkan ke sebuah tanah rezab Kerajaan Negeri.

Sementara itu kerja penambahbaikan juga sudah dimulakan dengan mendirikan tembok penahan banjir di hadapan Pasar Kajang dan mendalamkan sungai bagi mengurangkan kesan bencana alam itu.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: RM5.5 juta atasi banjir di Kajang, projek mula segera

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 12 DIS: Masalah banjir yang kerap berlaku di bandar Kajang dijangka dapat diselesaikan berikutan keputusan Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan RM5.5 juta hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali meninjau sendiri salah satu lokasi yang sering terlibat dengan kejadian banjir di Pasar Kajang.

Turun Padang MB ke Daerah Hulu Langat (7)“Kita melihat tapak lokasi punca sebahagian masalah banjir Kajang bersama Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan selepas mendengar taklimat diberikan kita mengambil keputusan bersetuju menerima cadangan JPS menaik taraf sungai di kawasan itu.

“Ini melibatkan kos sebanyak RM5.5 juta dan saya sudah beritahu kepada Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meluluskan peruntukan yang dipohon JPS.

“Tender akan bermula segera kerana kita mahu kerja dimulakan pada awal 2015 iaitu hanya beberapa minggu sahaja lagi,” kata Mohamed Azmin selepas beliau mengadakan tinjauan di lokasi terbabit.

Beliau menjangkakan kerja menaiktaraf akan dimulakan seawal Mac 2015 nanti sebaik selesai proses tender dijalankan.

Tambah Mohamed Azmin, kerja menaiktaraf itu melibatkan kerja melebarkan sungai dari lapan meter ke 12 meter selepas beberapa gerai yang dibina di atas tanah rizab sungai dipindahkan ke sebuah tanah rizab Kerajaan Negeri.

Kata Mohamed Azmin, sementara itu kerja penambahbaikan juga sudah dimulakan dengan mendirikan tembok penahan banjir di hadapan Pasar Kajang dan mendalamkan sungai bagi mengurangkan kesan bencana alam itu.

EZY