Categories
RENCANA

Cukup ucapan terima kasih, semoga Pulau Pinang bangkit

OLEH NAZLI IBRAHIM

TIGA hari bersama Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini memang agak memenatkan.

Pada Sabtu 11 November, tepat jam 7.00 pagi konvoi kami sudah bergerak ke Kampung Belah Dua bagi memulakan liputan hari keenam misi itu.

Setiba di kawasan berkumpul, sudah ramai anggota misi yang terdiri daripada Skuad Pantas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah berkumpul di bawah kanopi bagi menantikan ketibaan Dato’ Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam misi kali ini, Skuad Pantas PBT yang kebanyakkannya sudah memiliki pengalaman menyertai misi seumpama ini di Kelantan, Perak dan beberapa tempat lain termasuk di Selangor sendiri menghantar kekuatan 185 anggota yang dipecahkan ke beberapa kawasan.

Turut terlibat dalam misi kali ini, kira-kira 200 anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Misi Kemanusiaan Selangor (PANTAS) dan lebih 150 sukarelawan Univerisiti Selangor (UNISEL) yang masing-masing dipecahkan di beberapa kawasan dengan tugasan berbeza.

Di bahu-bahu jalan, pelbagai jentera seperti jengkaut, lori pemampat, lori pengangkut sampah pukal dan deretan kenderaan pacuan empat roda yang membawa pelbagai mesin dan peralatan juga sudah tersedia.

Selesai acara ringkas penyerahan cek sumbangan, sarapan dihidangkan. Hanya sebungkus nasi lemak dan minuman panas untuk membekalkan tenaga sehingga tengah hari nanti.

Perut sudah diisi. Maka tugasan hari keenam Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin pun bermula. Dari satu rumah ke satu rumah, satu kampung ke satu kampung mereka kunjungi bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa banjir.

Ternyata kedatangan anggota misi menghulurkan bantuan sangat dialu-alukan mangsa banjir. Kata-kata penghargaan dan terima kasih tidak putus-putus diterima.

 

Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul 

Prinsip ringan sama dijinjing, berat sama dipikul memang banyak membantu melancarkan lagi kerja-kerja bantuan kepada mangsa.

Jelas, setiap anggota misi tahu peranan masing-masing seperti mana yang dirancang awal sebelum itu.

Tidak terkecuali, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain dan beberapa pegawai tinggi Kerajaan Negeri yang meletakkan kedudukan mereka sama seperti anggota misi lain.

Menjelang tengah hari, masing-masing mula kepenatan. Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin berhenti berehat di sebuah wakaf berhampiran bendang yang sebelumnya turut ditenggelami banjir. Sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membawa sekali bau lumpur menusuk hidung anggota misi.

Ketika menantikan hidangan nasi bungkus tiba, walaupun mereka keletihan namun penulis melihat tanda kepuasan terpancar di wajah setiap anggota misi bantuan.

Sementara itu, di Yayasan Aman, anggota NGO PANTAS yang diberikan tanggungjawab menjaga kebajikan anggota misi sudah bertungkus lumus menyediakan bekalan makanan sebelum fajar menyinsing lagi.

Belum sempat kepenatan menyediakan sarapan pagi reda, tugasan memasak untuk hidangan tengah hari menanti dan diikuti pada petangnya, tugasan menyediakan hidangan malam pula.

Tanggungjawab memastikan kebajikan lebih 500 anggota misi secara keseluruhan terurus memang tidak mudah. Kesilapan sudah pasti mengundang kegagalan misi.

Selepas seminggu berkampung di Pulau Pinang, masing-masing sudah pun kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Pengalaman membantu mangsa bencana banjir di Pulau Pinang menjadi satu pengalaman berharga bagi setiap anggota Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin.

Walaupun memenatkan namun ianya satu pengalaman yang tidak boleh dibeli. Bagi anggota misi cukuplah ucapan terima kasih, semoga Pulau Pinang bangkit.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Konvoi PBT Selangor jadi bualan netizen

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 7 NOV: Netizen melahirkan rasa gembira dengan komitmen Kerajaan Selangor yang menggerakkan anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri bagi membantu operasi pembersihan di Pulau Pinang ekoran banjir teruk, sejak 4 November lalu.

Aznil Hisyam Zabri dalam komen di laman facebook Penang La Nii berkata, beliau gembira kerana dapat turun padang dalan operasi pembersihan bersama PBT Selangor, semalam.

“Alhamdulillah, semalam ops bencana antara MBPP beserta PBT dari Selangor saya terlibat secara langsung dari menyambut kedatangan sehingga kerja pembersihan sekitar bandaraya Pulau Pinang.

“Pengalaman yang tak dapat dilupakan. PBT Selangor terima kasih sudi hulur bantuan,” katanya.

Sementara itu, laman facebook Penang La Nii turut memaparkan komen seorang lagi netizen, Kamarul Al’rauf, berhubung kehadiran konvoi PBT Selangor, di Pulau Pinang.

“Nampaknya seperti bantuan telah mula tiba dari Selangor. Terima kasih MBSA !!! Terima kasih MBPJ!!!

“Lokasi di depan The Light Hotel, Seberang Jaya,” tulis laman itu.

Siti Naqiyah Osman pula berkata, bantuan yang diterima amat bermakna untuk rakyat Pulau Pinang.

“Wooii terbaik la… bantuan yang tidak ternilai untuk warga penduduk penang.. tq kerajaan selangor.. terharu sangat-sangat tengok macam ni,” katanya.