Categories
AGENDA NASIONAL

Sepuluh daerah di Sabah dilanda banjir setakat tengah hari

KOTA KINABALU, 28 JUN: Lima lagi daerah di Sabah dilanda banjir setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlahnya 10 daerah berbanding lima daerah pada 8 pagi tadi, susulan hujan lebat sejak semalam.

Lima daerah terbaru dilanda banjir ialah Tenom, Pitas, Beaufort, Membakut, dan Papar, selain Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran.

“Sebanyak 55 buah kampung yang terjejas di kesemua 10 daerah dan pemantauan sedang giat dijalankan,” kata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setakat tengah hari ini, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu dua di Kota Belud yang menempatkan 81 orang daripada 31 keluarga, satu PPS di Penampang (21 orang daripada enam keluarga) dan satu PPS di Papar (60 orang daripada 19 keluarga).

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat di beberapa daerah kerana proses pemindahan dan pendaftaran mangsa masih giat dilakukan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat jejaskan lima daerah di Sabah

KOTA KINABALU, 28 JUN: Lima daerah di Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Penampang, Keningau dan Tuaran dilanda banjir susulan hujan lebat sejak semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan berkata setakat pagi ini tiga pusat pemindahan sementara dibuka iaitu dua di Kota Belud yang menempatkan 31 mangsa daripada 16 keluarga dan satu di Penampang dengan 18 orang daripada lima keluarga.

Terdahulu, agensi itu melaporkan bencana tersebut menjejaskan 41 buah kampung.

“Sebanyak 19 kampung terjejas di Kota Belud iaitu Kampung (Kg) Siasai Tamu, Kg Kota Belud, Kg Bobot, Kg Ejuk, Kg Menunggui, Kg Lebak Engad, Kg Serimbai, Kg Lingkodon, Kg Dongoi, Kg Marajah, Kg Lebak Moyoh, Kg Sadok-Sadok, Kg Gunding, Kg Linau, Kg Karang Benai, Kg Taun Gusi, Kg Tanjung Pasir, Kg Labuan dan Kg Tanjung Wakap,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, beberapa kampung di Penampang, Keningau, Kota Marudu dan Tuaran juga dinaiki air, namun tiada PPS dibuka setakat pagi ini.

“Pemantauan sedang dibuat di kawasan-kawasan panas di daerah-daerah berkenaan dan segala maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Datuk Richard Jomiji ketika dihubungi berkata beberapa jalan raya terjejas dan tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh susulan hujan lebat lebih tiga jam semalam.

“Kawasan yang terjejas teruk ialah di Km41 Jalan Keningau Kimanis yang mengalami kejadian tanah runtuh pada 6.30 petang semalam.

“Namun syarikat konsesi telah diarah menjalankan kerja-kerja pembersihan malam tadi dan kini jalan itu boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Sabah semakin pulih, dua PPS dijangka tutup hari ini

KOTA KINABALU, 26 DIS: Banjir di Sabah semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sook, Keningau sejak semalam, kekal 95 orang daripada 19 keluarga setakat jam 8 pagi ini.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan, kedua-dua PPS berkenaan juga dijangka ditutup hari ini berikutan keadaan banjir semakin pulih.

PPS itu dibuka selepas Kampung Rancangan Belia Tiulon dan Kampung Sook Pusat dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak 23 Disember lepas.

Jalan utama ke Kampung Rancangan Belia Tiulon turut terjejas, bagaimanapun ketika ini air sudah mulai surut.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri hantar misi bantuan kemanusiaan ke Sabah (kemaskini)

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 OKT: Kesengsaraan mangsa banjir di Sabah mendapat perhatian Kerajaan Negeri yang menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Sabah hari ini.

Menyertai misi itu, seramai tujuh orang dari Pasukan Tindakan Segera (Pantas) yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

daroyahExco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata kumpulan berkenaan terbabit dalam membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kawasan perumahan yang terjejas selain mengagihkan bantuan bakal disalurkan ke sana.

“Bantuan yang bakal disalur adalah berupa barangan, bekalan makanan dan peralatan sewaktu berada di pusat pemindahan sementara banjir serta beberapa keperluan lain, ia perlu diagihkan secara sistematik agar mangsa bencana dapat memanfaatkannya secara menyeluruh.

IMG-20141009-WA0006

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung ribuan mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kepada semua mangsa, katanya, semoga terus sabar, tabah dan redha dengan ujian dan ketentuan selain mereka diingatkan agar tidak mengabaikan aspek kesihatan dan kebersihan dalam kerja pembersihan serta penyediaan makanan dan minuman.

“Aspek kesihatan dan kebersihan perlu diutamakan bukan sahaja mangsa tetapi sukarelawan misi kemanusiaan memandangkan penyakit berjangkit biasanya melanda ketika bencana banjir,” katanya.

IMG-20141009-WA0004

Semalam, Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Sabah.

Kejadian hujan lebat yang berlaku kelmarin menyebabkan daerah di sekitar Kota Kinabalu, Papar dan Kota Belud mengalami banjir serta beberapa sekolah ditutup berikutan kejadian berkenaan.

Bagi membantu mangsa, beberapa pusat penempatan sementara dibuka.

IMG-20141009-WA0005

HM