Categories
PBT SELANGOR

301 kakitangan MBSA mangsa bah terima bantuan wang tunai, peralatan elektrik

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 301 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang terjejas dalam insiden banjir Disember lalu, menerima sumbangan wang tunai dan peralatan elektrik daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Jurucakap Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata turut menerima sumbangan adalah Ahli Majlis yang terkesan dengan bencana berkenaan.

“MBSA telah memberikan sumbangan bantuan bencana kepada kakitangan terlibat iaitu RM1,000 kepada kakitangan yang berkahwin manakala RM500 kepada kakitangan yang bujang.

“Pihak MBSA juga turut memberikan sumbangan barangan peralatan elektrik seperti periuk nasi, dapur masak dan kipas elektrik kepada semua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap sumbangan Bantuan Bencana Banjir MBSA itu dapat meringankan beban warga kerjanya yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda tahun lalu.

Kesemua sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor pada Majlis Perhimpunan Bulanan MBSA Kali Pertama bagi tahun 2022 pada 9 Februari lalu.

Ia diserahkan kepada Naib Pengerusi Majlis Bersama Jabatan, Mustakim Mairin @ Kunting yang mewakili kakitangan MBSA.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan, Ahli-Ahli Majlis dan pengarah-pengarah jabatan MBSA.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan RM92,000 buat 184 mangsa ribut Sepang

SEPANG, 27 APRIL: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan sebanyak RM92,000 kepada mangsa ribut sekitar Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang terkesan Mac lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan tunai berjumlah RM500 kepada setiap 184 keluarga bertujuan meringankan beban mangsa.

“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan membantu sedikit sebanyak untuk membaik pulih rumah yang terkesan susulan bencana yang berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tersebut di Balai Raya Taman Seroja menerusi Jelajah Ramadan Kita Selangor di sini semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Kerajaan Negeri di Balai Raya Taman Seroja, Sepang pada 26 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata Kerajaan Selangor juga membelanjakan sejumlah RM416,000 untuk membaiki kerosakan bumbung di tiga blok Pangsapuri Dahlia di situ yang turut terjejas.

“Kita sedang dalam proses menyiapkan bumbung ini dan insya-Allah tidak lama lagi penduduk dapat tinggal di sini seperti sedia kala.

“Malah, kita juga bercadang untuk membaiki bumbung di Tabika Perpaduan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Pada 6 Mac, lebih 100 rumah sekitar BBST dan Pekan Salak rosak selepas dilanda ribut akibat hujan lebat kira-kira jam 5 petang.

Kawasan perumahan terjejas adalah Taman Seroja melibatkan 17 rumah, Taman Dahlia (19), Aparment Casa Dahlia (28), Taman Mawar Perdana, Kampung Salak Tengah (7) dan Kampung Baru Pekan Salak (20).

Turut mengalami kerosakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seroja, SK Salak, SK KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi.

Difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku melibatkan taman perumahan di BBST selain disifatkan sebagai terburuk.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 600 permohonan bantuan bencana diterima setakat ini

HULU LANGAT, 7 NOV: Kerajaan Negeri sudah menerima 600 permohonan bantuan bencana daripada mangsa banjir di Taman Sri Nanding di sini setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan RM500 akan disampaikan kepada setiap mangsa selepas semakan dibuat.

“Di kampung ini sahaja kita edar kira-kira 1,000 borang bantuan dan difahamkan 600 sudah dikembalikan kepada wakil komuniti yang bertanggungjawab menguruskannya.

“Apabila siap (semakan) kita akan selaraskan penyampaian sumbangan tersebut secepat mungkin kepada penduduk yang terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding hari ini.

Pada 4 November lalu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan menyalurkan sumbangan dalam masa terdekat bagi meringankan beban sekali gus memastikan kebajikan mangsa terjaga.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB sedia kaji semula nilai bantuan kecemasan bencana

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Selangor bersedia mengkaji semula bantuan kecemasan kepada mangsa bencana bagi memastikan jumlahnya sepadan dengan nilai kerugian.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut akan diberi perhatian dan ditambah baik melalui jawatankuasa pengurusan bencana kendaliannya.

“Saya turun di Permatang, Felda Suharto dan kawasan Hulu Bernam yang dilanda ribut serta mendapati kerosakan tidak padan dengan nilai bantuan RM500, tetapi jumlah itu mengikut skala diberikan.

“Apabila banjir, air akan masuk ke dalam rumah dan memusnahkan barang penduduk, justeru ia (nilai bantuan) perlu ditambah baik dan dikaji semula,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sementa Dr Daroyah Alwi berhubung cadangan mengkaji semula bantuan kecemasan bencana.