Categories
SELANGOR

RM5 juta Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat menerima peruntukan berjumlah RM5 juta tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan ini adalah untuk meneruskan Program Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Peringkat Diploma dan Ijazah di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Katanya, program itu memberi manfaat kepada 352 pelajar.

“Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan positif Maahad Tahfiz dalam melahirkan para huffaz yang menyuntik nilai kerohanian dalam masyarakat.

“Pendekatan mengintegrasikan pendidikan Al-Quran dengan sains dan teknologi amat penting selari dengan tuntutan dan cabaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan juga dikembangkan untuk dua program lain iaitu Program Dermasiswa Huffaz yang melibatkan lebih kurang 1,000 pelajar di Maahad Tahfiz Swasta di Selangor dan Program Ithbat Hafazan Selangor yang melibatkan 200 peserta.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM42.9 juta untuk membina, menaiktaraf dan membaikpulih Sekolah Rendah Agama (SRA) di Selangor,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM10 juta laksanakan Program Peduli Siswa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Pengajian anak Selangor di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor bakal dibiayai Kerajaan Negeri menerusi program Peduli Siswa dengan peruntukan RM10 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia terbuka kepada pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Katanya, ia adalah pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan akademik.

“Sebagai sebuah negeri maju yang berteknologi tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja berkemahiran dan berilmu.

“Gagasan ini perlu didukung dengan sokongan dan bantuan pendidikan untuk pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada pembentangan Bajet Persekutuan 2017, peruntukan sektor pendidikan tinggi dipotong daripada RM13.38 bilion pada 2016 kepada RM 12.13 bilion.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan bagi sektor pengajian tinggi mengalami penurunan sebanyak sembilan peratus sekaligus menyebabkan hampir kesemua universiti mengalami pengurangan peruntukan.

“Semua IPTA di Selangor mengalami pemotongan antara 17 hingga 23 peratus bagi 2017.

“Penguncupan belanjawan dalam sektor pendidikan akanmenggasir kesungguhan pengurusan universiti untuk meningkatkan kecemerlangan akademik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pembangunan Pasar Rakyat jana hasil pertanian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Pembangunan Pasar Rakyat bagi memasarkan pengeluaran produk dan hasil tani negeri diperkenalkan menjelang 2017 yang diyakini mampu membantu meningkatkan jaringan ekonomi petani negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, golongan petani boleh secara terus memasarkan hasil tani tanpa menggunakan khidmat orang tengah.

“Kerajaan Negeri mencadangkan pembangunan ‘Pasar Rakyat’ untuk menemukan pengeluar produk yang terdiri dari petani dan peniaga dengan pengguna tanpa khidmat orang tengah.

“Selain daripada kemudahan, prasarana dan reka bentuk moden, pasar ini juga dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan harian rakyat seperti kemudahan perbankan dan khidmat pos,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri mencadangkan lima PBT diseluruh negeri memulakan inisiatif tersebut dengan menggunakan peruntukan sedia ada.

PBT terbabit termasuklah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Pembangunan Pasar Rakyat mesti dimulakan seawal 2017 dengan menggunakan peruntukan pembangunan PBT masing-masing,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Ikatan Desa jaminan keselamatan penduduk luar bandar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Penyediaan pasukan keselamatan di kawasan pinggir bandar dan desa diperlukan bagi memastikan isu keselamatan penduduk terus terjamin dan sejahtera.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata tumpuan mengenainya dizahirkan Kerajaan Negeri menerusi peruntukan RM3.68 juta dengan penubuhan pasukan Ikatan Desa melibatkan 368 kampung seluruh negeri.

Beliau berkata, peruntukan tersebut meliputi bantuan kewangan dan sesi latihan kepada anggota pasukan berkenaan yang akan mengawal isu keselamatan warga desa.

“Kerajaan Negeri ingin mewujudkan pasukan keselamatan yang dinamakan ‘Ikatan Desa’ dengan peruntukan berjumlah RM 3.68 juta setahun.

“Ia merangkumi bantuan kewangan untuk latihan keselamatan dan peralatan yang memberi manfaat kepada 368 kampung.

“Pasukan Ikatan Desa ini akan terus bekerjasama dengan PDRM, JKKK dan Pejabat Daerah,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) pernah
diwujudkan pada 2013 dihidupkan semula menerusi peruntukan RM2.4 juta bagi semua kampung di Selangor.

“Kerajaan Negeri melihat keperluan pasukan ini dihidupkan semula dengan sokongan kuat Kerajaan Negeri memandangkan keselamatan rakyat termasuk di kampung dan desa semakin tercabar ekoran kegawatan
ekonomi semasa,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM19.5 juta bangunkan komuniti bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Sejumlah RM19.5 juta diperuntukkan untuk pembangunan komuniti bandar, umum Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, ia merangkumi RM5 juta untuk pembangunan kemudahan asas pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penyelenggaraan medan selera sementara RM10 juta untuk menaiktaraf serta membaikpulih dewan orang ramai.

Katanya, kemudahan infrastuktur PBT termasuk kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penyediaan tong sampah pula menerima peruntukan sebanyak RM4.5 juta.

“Berdasarkan penyata kewangan PBT diaudit bagi 2015, 12 PBT di Selangor mempunyai rizab RM1.93 bilion, dengan beberapa darinya mempunyai rizab tinggi.

“Untuk mendukung usaha Kerajaan Negeri membangunkan kawasan perbandaran dengan perkhidmatan cekap dan program pengupayaan komuniti, PBT yang berkenaan digesa menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripadarizab PBT untuk maksud ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut mencadangkan pembinaan tiga dewan banquet lengkapi dengan kemudahan dan teknologi moden di Taman Melawati, Hulu Klang; Taman Bukit Mahkota, Kajang; dan Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

“Pelaksanaan pembangunan ini dilaksanakan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) secara pembangunan usahasama antara PBT dan pihak swasta,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM72.16 juta pembangunan luar bandar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukan RM72.16 juta untuk pembangunan luar bandar bagi memastikan masyarakat desa berada dalam arus perdana pembangunan dan menikmati kemudahan dan mutu kehidupan setara dengan kehidupan moden masyarakat bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri akan memastikan supaya watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong royong, berkerjasama, harmoni dan lestari dengan kehijauan semulajadi tetap dikekalkan.

“Daripada jumlah ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18 juta untuk sektor pertanian dengan tumpuan pembangunan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan untuk warga tani yang dijangka menelan kos RM 5.3 juta,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2017 Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelas Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri komited mendukung usaha menjadikan sektor pertanian bukan sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi sebagai sektor peneraju ke arah menjadikan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.

Katanya, sebanyak RM7.3 juta diperuntukkan bagi menjayakan Program Belia Tani, pembangunan industri padi dan Taman Agroteknologi turut diberikan perhatian.

“Antara keutamaan bagi 2017 untuk menaiktaraf kemudahan awam termasuk menaiktaraf balai raya yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan pembangunan kampung baru dengan peruntukan berjumlah RM15 juta.

“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM15 juta untuk kerja menaiktaraf dan membaikpulih jalan kampung. Ini tidak termasuk peruntukan MARRIS berjumlah RM30 juta untuk tujuan penyelenggaraan jalan kampung,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM135 juta selenggara saliran & tebatan banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Peruntukan pembangunan untuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dinaikkan sebanyak 68.7 peratus kepada RM135 juta pada 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu bagi bagi menampung pelaksanaan 85 projek yang sudah dikenalpasti.

“Antara lain Projek Tebatan Banjir di Sungai Kandis, Klang berjumlah RM7.5 juta, Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Subang bernilai RM6 juta dan Projek Tebatan Banjir di Sungai Labu, Sepang bernilai RM3 juta.

“Peruntukan ini juga bagi melaksanakan Projek Pembangunan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Langat serta menaiktaraf saliran, menaiktaraf kolam takungan dan pembangunan pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Pada 2016, peruntukan pembangunan untuk JPS hanya berjumlah RM80 juta.

EZY

Categories
SELANGOR

RM7.3 juta urus tapak perlupusan sampah lebih sistematik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Penyediaan tapak pelupusan sampah sempurna daripada aspek pembinaan serta pengurusan bersepadu dan sistematik penting bagi memastikan impak negatif alam sekitar dditangani.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan RM7.3 juta bagi penambahbaikan tapak pelupusan sampah di seluruh negeri.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga merangkumi sejumlah perbelanjaan dengan penggunaan teknologi baru untuk menguruskan sisa pepejal sampah.

“Selangor perlu melangkah ke hadapan dalam mengurus sisa pepejal dengan penggunaan teknologi baru.

“Pada ketika ini, sebanyak 6,000 tan sisa pepejal dihasilkan sehari oleh rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri mengajak rakyat bersedia menerima teknologi baru yang selamat dan terbukti dapat menghasilkan produk sampingan seperti penjanaan tenaga,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram, dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata salah satu fokus Belanjawan 2017 turut mensasarkan kepada pusat pengumpulan yang lebih sistematik demi kesejahteraan bersama.

Beliau berkata, ini termasuklah komitmen Kerajaan Negeri memerangi pusat pengumpulan sampah secara haram khususnya di kawasan pinggir bandar.

EZY

Categories
SELANGOR

Inisiatif Skim Smart Sewa bantu rakyat miliki kediaman sendiri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Skim Smart Sewa kepada orang awam untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank di seluruh negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim berkenaan mensasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki kediaman sendiri menerusi peruntukan RM100 juta.

“Peruntukan RM100 juta dikeluarkan melalui Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera dan Pengecualian Sumbangan Pembinaan Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana bagi mengembangkan lagi Skim Smart Sewa.

“Penyewa mendapat balik 30 peratus daripada jumlah sewaan dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan.

“Pengembalian 30 peratus wang sewaan boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri (DNS), di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, tempoh sewaan bagi milikan kediaman perumahan adalah selama dua tahun dengan status sewaan maksima sehingga lima tahun.

“Skim ini diyakini mampu membantu orang awam berpendapatan sederhana menyewa dan akhirnya berupaya memiliki rumah di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, wujudnya halangan daripada pembeli Rumah Selangorku yang gagal mendapatkan pemilikan rumah berkenaan selepas gagal mendapat pembiayaan pinjaman daripada bank susulan prosedur ketat Bank Negara.

EZY

Categories
SELANGOR

RM17 juta jamin kesinambungan sumber & bekalan air

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM17 juta
bagi menjamin kesinambungan bekalan air dan sumber air di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagi melaksanakan operasi pembenihan awan bagi membolehkan hujan turun di kawasan tadahan dan lembangan sungai.

Katanya, ia juga meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa menjejaskan kualiti sumber air berkenaan.

“Fenomena pemanasan global dan perubahan iklim dunia mengakibatkan cuaca panas ekstrim dan kering, ancaman ‘water stress’ serta banjir kilat dan
air laut pasang besar perlu ditangani dengan kepakaran kejuruteraan dan pengurusan yang bersepadu.

“Oleh itu, kita perlu mengambil langkah proaktif menanganinya seterusnya memastikan bekalan air berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata sejumlah RM2 juta turut disalur kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air.

“Ia termasuk pembangunan stesen pemantauan kualiti dan kuantiti secara online dan pemantauan ‘aerial surveillance’ menggunakan ‘drone’ untuk memantapkan pemantauan in situ bagi mengenalpasti punca pencemaran,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM55 juta untuk Ceria, selenggara rumah pangsa kos rendah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Peruntukan bagi penyelenggaraan lif dan pengindahan tumah pangsa kos rendah dinaikkan daripada RM25 juta kepada RM55 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan di bawah Program Ceria itu dibuat bagi pembinaan komuniti bandar ceria penghuni rumah kos rendah.

“Pertimbangan ini adalah atas kesedaran Kerajaan Negeri untuk pembinaan komuniti bandar yang dinamik dan ceria sebagai dimensi pembangunan bangsa.

“Langkah ini akan memastikan lif di kawasan pemajuan tersebut sentiasa diselenggara untuk menjamin keselamatan dan keselesaan penghuni rumah pangsa serta menceriakan blok perumahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan skim itu juga dibuat berpandukan kepada keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rungutan pemilik kediaman rumah kos rendah.

“Kerajaan Negeri sering mendengar keluhan pemilik dan penghuni rumah pangsa kos rendah yang tidak mampu menyelenggara lif dan menceriakan blok masing-masing.

“Kos penyelenggaraan lif adalah tinggi dan di luar kemampuan pemilik, penghuni dan Badan Pengurusan Bersama (JMB),” katanya.

Justeru katanya, peruntukan tersebut dilaksanakan sebagai jaminan berterusan memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri berkebajikan sekali gus merealisasikan dasar peduli rakyat.

EZY

Categories
SELANGOR

RM324 juta tingkat prasarana bekalan air

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Sejumlah RM324 juta diperuntukkan untuk mengatasi masalah paip pecah dan program penggantian paip lama bagi tempoh tiga
tahun mulai 2016.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerja penggantian merangkumi 84 kawasan hotspot yang meliputi 422.5 kilometer.

“Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar air tidak terawat (NRW) daripada 35 peratus kepada 29 peratus pada 2019.

“Untuk mencapai sasaran ini, maka kita peruntukan perbelanjaan khas bagi mengatasi masalah paip pecah dan penggantian paip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM100.6 juta kepada Air Selangor bagi kerja penggantian paip.

EZY