Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MP Pakatan keluar dewan protes belanjawan Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Belum sempat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghabiskan pembentangan Belanjawan 2017, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (Pakatan) bertindak meninggalkan Dewan Rakyat.

Tindakan yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu dibuat sebagai tanda protes terhadap Belanjawan 2017 yang didapati langsung tidak menyentuh usaha memerangi rasuah di negara ini.

Antara Ahli Parlimen terlibat, Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

cfd2bc22-adcc-4e07-b66a-60a001569ccaSelain itu turut kelihatan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Mereka kemudiannya turut mengangkat plakad #siapaMO1 yang merupakan skandal rasuah terbesar pernah berlaku.

MO1 merujuk kepada kenyataan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang menamakan MO1 sebagai salah seorang individu terlibat dengan kes rasuah 1MDB.

-nR-

Categories
NASIONAL

Najib singgung Nasi Lemak Anak Dara

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menyinggung usaha graduan yang membuat keputusan menjaja nasi lemak selepas gagal mendapatkan pekerjaan ketika pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor menyifatkan apa disentuh Menteri Kewangan itu adalah kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda khususnya lepasan universiti.

Katanya, ia ekoran pelbagai skandal menimpa negara termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang merencatkan ekonomi.

“Najib singgung aktiviti Nasi Lemak Anak Dara. Pengusaha tidak dapat pekerjaan sebab ekonomi negara lumpuh akibat kecurangan 1MDB,” catatnya melalui laman twitternya, @AzminAli

najib-belanjawan-2017Dalam pembentang belanjawan, Najib menyentuh usaha Siti Hajjar Ahmad, 24, yang menjalankan perniagaan Nasi Lemak Anak Dara di Shah Alam Selangor.

“Terkini telah viral tentang nasi lemak anak dara di Shah Alam yang diusahakan seorang graduan wanita muda daripada universiti tempatan.

“Kesian, katanya dah kena saman pula (oleh majlis tempatan),” kata Najib.

Siti Hajjar sebelum ini pernah memaklumkan ditawarkan kerja sebagai jurutera tetapi menolak kerana tawaran gaji yang kurang berbanding hasil pendapatan diperoleh daripada perniagaan diusahakannya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Pendapatan petroleum merosot, BN dijangka perah duit rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Persekutuan dijangka membentangkan belanjawan yang akan menambah tekanan kos sara hidup rakyat sekiranya amalan berbelanja boros yang ditunjukkan trek rekod pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diambil kira.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, hal ini berikutan negara ketika ini mengalami kemerosotan pendapatan yang amat ketara daripada sumber petroleum.

“Petronas yang merupakan penyumbang tertinggi pendapatan negara ketika ini merudum pendapatannya akibat harga minyak global jatuh teruk.

“Ini bermakna kerajaan perlu mencari sumber pendapatan baru untuk menampung perbelanjaan mereka termasuk perbelanjaan yang membazir.

tian-chua“Apa lagi sumber pendapatan yang boleh dikorek selain sumber minyak? Sudah tentu datangnya dari rakyat yang menanggung semua ini,” katanya demikian ketika ditemui SelangorKini di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Jelasnya, sebaliknya Kerajaan Persekutuan perlu menghentikan amalan gemar berbelanja boros bagi mengelakkan perkara ini berlaku.

Kerajaan juga digesa menumpukan perhatian kepada sektor penting negara seperti pendidikan dan kesihatan yang memberi kesan langsung terhadap kebajikan rakyat.

Katanya, sebaliknya Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2017 dibentangkan semalam, jelas mengariskan usaha mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

“Dengan usaha menghapuskan ketirisan, rasuah dan pembaziran ini sebenarnya kita menambah pendapatan negara dan tidak perlu memerah rakyat dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2017 fokus martabat ekonomi rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 OKT: Pembentangan Belanjawan 2017 pada penghujung Oktober ini bakal memberi fokus kepada isu kebajikan juga martabat ruang ekonomi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu ekoran golongan terbabit dibebani pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang terus menghimpit ekonomi rakyat.

“Fokus belanjawan kali ini tentu sekali untuk mengangkat martabat kumpulan B40 juga golongan berpendapatan rendah dan sederhana ekoran pelaksanaan GST menguncupkan pendapatan isi rumah.

“Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti sebarang usaha dan inisiatif tertentu yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, selepas menunaikan solat Jumaat, di sini.

whatsapp-image-2016-10-07-at-3-31-52-pmHadir sama, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kesihatan dan pendidikan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016 lalu, Kerajaan Negeri giat melaksanakan dasar pembangunan Smart Selangor ke arah merealisasikan Selangor sebagai ‘smart state’.

-AA-

Categories
SELANGOR

MBSA bentang belanjawan 2017 anggar hasil RM443 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membentangkan Belanjawan 2017 dengan anggaran hasil sebanyak RM443.05 juta

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata perbelanjaan dianggar RM470.3 juta dengan defisit sebanyak RM27.3 juta itu ditampung menggunakan rizab semasa MBSA sekitar RM132 juta.

“Anggaran perbelanjaan terdiri daripada belanja mengurus sebanyak RM341.1 juta dan belanja pembangunan sebanyak RM129.2 juta.

“Peruntukan perbelanjaan bertambah RM26.9 juta atau 6.1 peratus berbanding 2016.

“Belanja mengurus diberikan peruntukan 72.5 peratus daripada jumlah besar perbelanjaan, meningkat RM22.9 juta atau 7.2 peratus berbanding 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2017 MBSA.

Katanya, belanja pembangunan pula diperuntukkan RM129.2 juta dengan peningkatan sebanyak 3.2 peratus atau RM4 juta berbanding 2016.

“Sebanyak 61.4 peratus adalah semua projek seperti menaiktaraf bangunan, infrastruktur dan lain-lain manakala 38.5 peratus bagi perkhidmatan dan bekalan seperti penyelenggaraan pokok, longkang serta kutipan sampah,” katanya.

Ahmad Zaharin berkata, hasil cukai iaitu kutipan cukai taksiran dijangka meningkat RM14 juta (5.3 peratus) dan menyumbang RM280.7 juta atau 63.3 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil.

“Hasil bukan cukai dijangka menyumbang RM129.7 juta atau 29.3 peratus daripada keseluruhan hasil.

“Ia dijangka menurun sebanyak RM6.5 juta iaitu 4.8 peratus.

“Sewaan merupakan hasil utama dalam kategori ini kerana menyumbang sebanyak 27.6 peratus daripada hasil bukan cukai,” katanya.

Manakala terimaan bukan hasil dijangka menyumbang RM32.5 juta atau 7.4 peratus daripada sumber Geran Keseimbangan dan Geran Bayaran Lampu Jalan diterima dari Kerajaan Persekutuan serta bayaran balik GST.

EZY

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntukan belanjawan pertanian 2017 dijangka bertambah

OLEH NAZLI IBRAHIM

MERU, 26 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka meningkatkan peruntukan sektor pertanian bagi memastikan dasar Agro Smart Selangor diperkenalkan mencapai sasaran ditetapkan.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, antara pendekatan digunakan dalam dasar berkenaan adalah meningkatkan penggunaan teknologi moden dalam pengeluaran pertanian.

“Sekarang kita sedang merangka belanjawan tahun depan tetapi setakat ini dari segi bantuan pertanian memang ada peningkatan peruntukan tetapi belum boleh dinyatakan sehingga dibentangkan nanti,” katanya pada program Hari Peladang, Hari Bertemu Pelanggan dan Penyerahan Insentif 2016, Pejabat Pertanian Klang, semalam.

img_20160925_133057_512Walaupun Selangor merupakan negeri perindustrian, Zaidy percaya pengeluaran pertanian boleh ditingkatkan seperti kejayaan dicapai Belanda.

Katanya, walaupun Belanda hanya sebuah negara kecil tetapi mereka berjaya menjadi pengeluar kedua terbesar sumber makanan dunia.

Selain merasmikan program Hari Peladang dan Hari Bertemu Pelanggan, Zaidy turut sempat merasmikan Makmal Industri Asas Tani yang terletak di kawasan Pusat Pertanian Meru itu.

Selain menguji ketepatan kaedah penyediaan sesuatu produk, makmal itu turut menempatkan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses pelbagai makanan yang berpotensi dikomersialkan.

-nR-