Categories
SELANGOR

Program ‘Pejabat Kepada Rakyat’ tingkat perkhidmatan awam

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan negeri akan melaksanakan program ‘Pejabat Kepada Rakyat’ dalam usaha meningkatkan perkhidmatan awam yang inovatif dan proaktif berpaksikan keperluan pelanggan yang selaras dengan standard serta amalan terbaik antarabangsa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata usaha itu adalah impian kerajaan negeri supaya tidak ada lagi barisan panjang di kaunter jabatan kerajaan dan agensi negeri.

pc khalid dunKatanya, rakyat Selangor boleh memilih sama ada ingin berurusan secara atas talian atau menghadiri program ‘Hari Bertemu Pelanggan’ yang diatur jabatan kerajaan atau agensi negeri berhampiran kejiranan mereka.

“Kerajaan negeri juga akan terus berusaha memastikan penjawat awam di Selangor bersikap profesional, telus, bertanggungjawab dan berintegriti pada setiap masa.

“Adalah menjadi hasrat jangka panjang kerajaan negeri supaya penjawat awam dapat menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi, berasaskan kecekapan dan keberkesanan, selari dengan standard  serta amalan terbaik antarabangsa secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pembentangan Belanjawan 2014 yang bertemakan “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat” di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri mengambil langkah awal mendigitalkan segala dokumentasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) supaya dapat diakses secara atas talian dengan pantas.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memperluaskan usaha itu ke pejabat daerah selain membina satu jaringan pusat yang menghubungkan Pejabat Tanah Daerah (PTD), PTGS, Pejabat Setiausaha Kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan (GLC) supaya maklumat ‘real-time’ dapat dikongsi secara atas talian dalam usaha keputusan strategik dapat dilaksana dengan lebih baik.

“Semua ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyediakan persekitaran kondusif sebagai pemboleh dan fasilitator ke arah pembentukan ekonomi dan masyarakat dinamik, berdaya saing dan berketahanan tinggi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor bentang Belanjawan Berimbang

Oleh : Nurul Farina Nazlan

SHAH ALAM 19 NOV: Selangor kekal membentang belanjawan berimbang tahun depan dengan unjuran hasil keseluruhan negeri bernilai RM1.85 bilion.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pecahan unjuran itu ialah RM587.6 juta atau 31.76 peratus dalam bentuk hasil cukai, RM1.67 bilion (57.65 peratus) hasil bukan cukai dan RM196 juta (10.58 peratus) terimaan bukan hasil.

“Kerajaan negeri membuat beberapa agihan iaitu perbelanjaan mengurus lebih RM1.2 bilion, perbelanjaan pembangunan pula kira-kira RM624 juta dan bagi sektor infrastruktur (RM388,738.30 juta).

“Agihan anggaran perbelanjaan pembangunan bagi sektor sosial kira-kira RM143 juta, sektor ekonomi pula lebih RM90 juta dan RM 2.2 juta atau 84.36 peratus daripada sektor perbandaran akan dinikmati kerajaan tempatan.

“Selebihnya bernilai RM408,000 akan dibelanjakan untuk pengurusan sisa pepejal Pulau Ketam,” katanya.

pembentangan-bajet-2014Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor 2013 ketike membentang Belanjawan Selangor 2014 bertema Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Situasi di Selangor jauh berbeza dengan kerajaan Pusat pimpinan Umno BN yang membentang bajet defisit selama 13 tahun berturut.

Kata Abdul Khalid, pendapatan semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor mencecah RM1.72 bilion pada 2012 dan lebih dari mencukupi untuk menampung perbelanjaan keseluruhan RM1.53 bilion bersamaan lebihan operasi RM183.2 juta.

– FZL

Categories
SELANGOR

Lima teras jadi perbelanjaan terbesar untuk rakyat

Oleh Nurul Farina Nazlan

SHAH ALAM 19 NOV: Belanjawan Selangor 2014 adalah kelangsungan untuk memacu negeri ke arah pembangunan berterusan dengan tema ‘Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat’, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Belanjawan kali keenam sejak Pakatan Rakyat (PR) mentadbir menjadi dokumen berprestij tinggi kerajaan negeri demi menjana pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan belanja berhemah demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Kemenangan besar PR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu 44 daripada 56 kerusi bukti ampuh bahawa pelbagai tawaran yang menjamin kebajikan, kesejahteraan dan kemakmuran dalam manifesto PR Selangor mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.

pembentangan-bajet-2014Menyifatkan Belanjawan 2014 sebagai kesinambungan agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor'(MES), Abdul Khalid menyindir kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana prinsip asas belanjawan mereka tidak menangani masalah kos apabila hanya menggunakan kaedah subsidi.

Katanya, amalan berbelanja dengan berdisiplin dan berhemah membolehkan kerajaan negeri menabung untuk perbelanjaan masa hadapan tanpa mengemis daripada kerajaan pusat untuk menampung perbelanjaan pentadbiran.

“Belanjawan Selangor 2014 berpaksikan lima teras utama membabitkan jumlah peruntukan perbelanjaan keseluruhan negeri adalah RM1.85 bilion iaitu perbelanjaan terbesar dalam sejarah Selangor,” katanya.

Katanya, lima teras utama berkenaan ialah memperkasa pengurusan fiskal yang pragmatik, berhemat dan berdaya maju; memperkukuh keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta; memperteguh dasar pro-pertumbuhan pesat; mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan mutu kehidupan bertaraf dunia serta memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif.

“Selangor menyumbang 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan dijangka berkembang pada kadar 6.1 peratus pada 2014,” katanya.

Kata Abdul Khalid, PR membuktikan keupayaan sebagai pentadbir dan peneraju kepimpinan walapun menerima pelbagai tekanan yang menjadi pembakar semangat bagi menjadikan Selangor negeri pilihan utama untuk didiami, bekerja, melabur, beriadah serta membina keluarga.

“Kerajaan negeri pimpinan PR tidak akan mensia-siakan mandat lebih dua pertiga ini dengan mengembalikan semula hak dan kepentingan milik lebih 5.65 juta rakyat Selangor,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

Selangor belanja RM2.28 bilion rizab simpanan

SHAH ALAM 19 NOV: Kerajaan Selangor akan membelanjakan RM2.28 bilion rizab simpanan bagi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan pada 2014, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.225 bilion diperuntuk kepada
perbelanjaan mengurus yang meliputi 53.7 peratus manakala bakinya RM1.055
bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Membentang Belanjawan Berimbang Negeri Selangor 2014 , beliau berkata,
sebanyak RM430 juta dibelanja bagi membiayai pembangunan enam inisitif
melibatkan kepentingan rakyat.

pembentangan-bajet-2014“Antaranya ialah RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang, pembinaan
rumah mampu milik (RM100 juta) dan pembinaan beberapa bangunan sekolah (RM50 juta).

“Selain itu, sejumlah RM50 juta dari rizab simpnanan digunakan untuk pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia, pembangunan desa (RM50 juta dan pemberdayaan wanita (RM30 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor 2013 bertema Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Setakat 31 Oktober 2013, Abdul Khalid berkata, Kumpulan Wang Disatukan Selangor dalam bentuk tunai dan pelaburan ialah RM2,712.85 juta, sekaligus menandakan rizab negeri berada pada paras tertinggi sejak 1998.

“Mungkin kerana kurang arif mengenai selok-belok pengurusan kewangan dan fiskal, wujud suara-suara yang mengecam atau paling tidak, merungut tentang kecenderungan kerajaan mengumpul rizab.

“Saya tegaskan pembinaan rizab beserta perbelanjaan berhemah mengikut konsep keutamaan yang betul merupakan paksi disiplin fiskal dan sebahagian rangka pengurusan kewangan dan fiskal jangka panjang,” katanya.

– FZL