Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor merangkumi untuk semua golongan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Belanjawan Selangor 2018 disifatkan menyentuh kepentingan semua lapisan masyarakat di negeri termaju itu.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau , berkata, tidak terkecuali adalah pekerja ladang yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India.

“Saya percaya ramai gembira. Paling menggembirakan masyarakat Tamil adalah peruntukan untuk sekolah Tamil sebanyak RM5 juta dikekalkan dan RM1 juta untuk kaum Sikh untuk Gurdwara dan pendidikan untuk anak mereka.

“Begitu juga bantuan untuk bukan Islam seperti untuk agama Hindu dan bantuan untuk anak ladang ditingkatkan kepada RM1.3 juta di mana ini adalah usaha murni Kerajaan Negeri untuk membela nasib semua kaum India yang terpinggir khususnya warga ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Selain itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memperuntukkan RM500,000 untuk pembangun pekerja ladang.

Sementara itu, Speaker DNS yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata projek pembangunan yang dicadangkan memberi manfaat kepada rakyat seperti projek tebatan banjir dan lain-lain.

Katanya, selain itu langkah mewujudkan Tabung Penyayang dengan peruntukan RM200,000 untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sangat dialu-alukan.

“Tabung penyayang ini saya lihat akan membantu ADN dalam banyak kes di mana pada masa sekarang ini sara hidup meningkat dan di Subang Jaya juga ada keluarga yang besar meminta bantuan makanan tetapi dengan adanya tabung penyayang ini dapat membantu kes seperti ini,” katanya.

Jelasnya, beliau juga amat gembira dengan langkah Kerajaan Negeri membantu golongan yang mengalami tekanan hidup melibatkan pelbagai golongan termasuk golongan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Di Subang Jaya kita buat banyak program untuk mempromosikan kesihatan mental yang melibatkan generasi muda termasuk pelajar institusi pengajian tinggi yang banyak di Subang Jaya di mana ada di kalangan mereka mengalami tekanan hidup, masalah hubungan keluarga dan lain-lain,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

RM9 juta diperuntukkan teruskan penganjuran SIBS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan Selangor International Business Summit (SIBS) yang berjaya dianjurkan Invest Selangor diteruskan pada 2018 dengan peruntukan RM9 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, konvensyen yang berlangsung September lalu itu berjaya menarik minat lebih 3,000 peserta dan 5,000 pengunjung pameran.

“SIBS 2017 merangkumi tiga acara utama iaitu Selangor Smart City & Future Commerce Convention, SelangorASEAN Business Conference dan Selangor International Expo 2017.

“Persidangan pula mencatat kejayaan untuk mengangkat Selangor sebagai ‘launching pad’ bagi memajukan keusahawanan ASEAN manakala Expo Antarabangsa berjaya menarik seramai 16,694 pengunjung dan menjana potensi nilai transaksi RM204.2 juta,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM25 juta dalam 2018 untuk aktiviti dan program dirancang Invest Selangor termasuk misi pelaburan.

Selain itu, Kerajaan Negeri bercadang membangunkan Cyber Valley sebagai ibu kota perdagangan Selangor bagi mengembangkan potensi perdagangan.

Katanya, pusat bertaraf antarabangsa dilengkapi dengan pusat pameran dan persidangan canggih akan mengangkat imej Selangor sebagai gerbang ke ASEAN melalui inisiatif awam dan swasta (public private initiative).

Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan potensi pelaburan sedang dalam proses rundingan dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat mencecah nilai RM404.5 juta melibatkan industri aeroangkasa, automotif serta sektor elektrik dan elektronik.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Ekonomi Selangor dijangka lebih tinggi 5.5% – 6%

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2018 dijangka lebih tinggi pada kadar 5.5 peratus hingga 6 peratus banding tahun sebelumnya pada kadar 5 peratus hingga 5.5 peratus.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor utama pertumbuhan itu dipacu kerancakan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Katanya, nilai ditambah sektor perkhidmatan menyumbang 59.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sementara sektor pembuatan dianggarkan menyumbang 28.8 peratus, pada tahun semasa.

“Kerajaan Negeri juga senantiasa berusaha meningkatkan jumlah pelaburan asing dan domestik.

“Sehingga Disember 2016, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM7.88 bilion dengan 242 projek,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Selangor juga kekal sebagai penyumbang nombor satu kepada KDNK Malaysia, dengan sumbangan RM251.6 bilion atau 22.7 peratus, pada 2016, berbanding 22.6 peratus (RM240 bilion) pada 2015.

“Selangor juga kekal menjadi destinasi utama pelabur kerana keyakinan mereka terhadap iltizam Kerajaan Negeri dalam mempertahankan prinsip ‘good governance’, ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.

 

=EZY=

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kewangan catat lebihan RM178.22 juta, rizab & hasil bertambah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 NOV: Kewangan Selangor semakin kukuh apabila sehingga 31 Oktober 2017, prestasi kewangannya mencatatkan lebihan sebanyak RM178.22 juta.

Prestasi memberangsangkan itu turut menyumbang peningkatan rizab negeri kepada RM3.24 bilion berbanding RM3.05 bilion pada 31 Disember 2016.

Sementara itu, Selangor mencatatkan kutipan hasil negeri pada 2016 sebanyak RM2.49 bilion menerusi kutipan hasil cukai sebanyak RM594.68 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM1.72 bilion dan terimaan bukan hasil sebanyak RM184.53 juta.

Kutipan hasil pada 2017 meningkat kepada RM2.50 bilion menerusi hasil cukai sebanyak RM625.77 juta, hasil bukan cukai RM1.67 bilion dan terimaan bukan hasil sebanyak RM206.63 juta.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018, di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ABIM: Belanjawan Selangor mesra ekonomi berbanding Putrajaya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong pembentangan Belanjawan Selangor 2017 yang disifatkan ekonomi bijak dalam memastikan pembangunan negeri dipacu lebih tangkas.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, perbezaan belanjawan di peringkat pusat dan negeri dapat dilihat dengan jelas daripada segi konteks peratusan untuk pembangunan mahupun pengurusan.

“Ia satu tindakan berani dan berhemat dari Kerajan Negeri meletakkkan 57 peratus peruntukan untuk pembangunan dan ini jauh berbeza dengan peruntukan besar Kerajaan Persekutuan untuk pengurusan.

“Itu adalah satu dasar ekonomi bijak untuk kita memastikan bahawa pembangunan negeri dapat dipacu dengan lebih tangkas dan jelas juga cukai diterima Kerajan Negeri kembali kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Raimi berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap dua perkara lain iaitu pendidikan dan kesihatan mampu meringankan beban rakyat yang kini berdepan kos sara hidup tinggi.

Mengambil contoh peruntukan peruntukkan RM124 juta bagi kesihatan, beliau berkata, langkah itu bijak ekoran menfokuskan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok yang paling memerlukan.

344a4734“Kerajaan Negeri memberi perhatian penuh dalam pendidikan dengan meletakkan peruntukan tinggi untuk biasiswa iaitu RM10 juta, manakala Kerajaan Persekutuan mengurangkan peruntukan biasiswa dan penghantaran pelajar ke luar negara.

“Maklum balas yang kita terima daripada pelajar juga amat baik kerana mereka menerima manfaat tinggi dan difahamkan bilangan permohonan biasiswa melebihi jumlah ditawarkan.

“Ini bermakna permintaannya cukup tinggi dan peningkatan peruntukan itu selari kehendak dan keperluan semasa,” katanya.

Raimi turut membangkitkan isu kesejahteraan ekonomi belia yang kurang diberi perhatian Kerajaan Persekutuan terutama dalam konteks pembelian aset seperti rumah.

“Kerajan Negeri memberi perhatian dengan menyediakan insentif pembelian rumah yang lebih realistik dan praktikal jika dibandingkan dengan projek ditawarkan Kerajaan Persekutuan.

“Nampaknya Kerajaan Persekutuan masih gagal lagi menawarkan sesuatu yang bermakna untuk generasi muda memiliki aset penting,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

RM7.75 juta pacu industri pelancongan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Fokus pembangunan pelancongan negeri diperkukuhkan menerusi peruntukan RM7.75 juta bagi tujuan pembinaan Pusat Maklumat Pelancongan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, industri pelancongan negeri berpontensi untuk terus dibangunkan susulan peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini.

“Kegiatan pelancongan yang semakin rancak di Selangor turut mencipta peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong terlatih.

“Tourism Selangor perlu memberdaya perkhidmatan pemandu pelancong yang benar-benar memahami produk dan lokasi pelancongan di Selangor.

“Bagi 2017, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan 7.75 juta untuk industri pelancongan,” katanya pada pembentangan Belanjawan Negeri di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Sebelum ini, industri pelancongan negeri mengalami pertumbuhan pesat selepas beberapa kawasan tarikan pelancong terus diberdaya menerusi pelan jangka panjang dan inisiatif digerakkan Tourism Selangor.

Mohamed Azmin berkata, ini termasuklah penjenamaan semula Sky Mirror sebagai salah satu produk terbaru pelancongan negeri.

“Kawasan sepanjang lima kilometer dan lebarnya tiga kilometer ini hanya boleh dilawati dua kali sebulan selama enam hari setiap kali munculnya anak bulan dan bulan penuh.

“Ketika kemunculan anak bulan dan bulan penuh ini, pengunjung berpeluang melihat apa sahaja yang dilihat di atas bumi dan angkasa raya tercermin di atas permukaan air yang bersih dan jernih.

“Maka, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) harus segera meningkatkan kemudahan akses ke lokasi Sky Mirror bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Selangor,” katanya.

Pada masa sama katanya, produk pelancongan di Sekinchan juga kini diyakini mampu ditambahbaik bagi menaarik kedatangan pelancong ke daerah itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Pembangunan wanita diperkukuh, peruntukan RM9 juta laksana Institut Wanita Berdaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Pembangunan Wanita terus diperkasakan Kerajaan Negeri menerusi beberapa tumpuan dan inisiatif jangka panjang ke arah memberdayakan sosio ekonomi wanita di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tumpuan Belanjawan 2017 turut menghargai penyertaan wanita menerusi penubuhkan Pusat Wanita Berdaya (PWB).

Justeru katanya, bagi menghargai peranan tersebut, Institut Wanita Berdaya diperkenalkan bagi memberdaya kaum hawa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya dengan cadangan peruntukan sejumlah RM9 juta.

“Wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri. Selangor mempunyai seorang wanita yang dilantik sebagai Pegawai Daerah dan dua orang Yang Dipertua PBT.

“Sementara itu, lima buah agensi negeri adalah dipimpin oleh wanita. Terbaru, Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS juga dilantik di kalangan wanita profesional yang berpengalaman dan berwibawa dalam industri hartanah.

“Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Institut Wanita Berdaya sebagai badan pemikir atau ”think tank khusus untuk merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabatkan wanita di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin berkata pelaksanaan Program Mammogram di negeri ini juga diteruskan walaupun pemansuhannya dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Program Mammogram Selangor telah berjaya memberikan perkhidmatan kepada 22,505 wanita mulai tahun 2008.

“Sementara Putrajaya menghapuskan peruntukan untuk program mammogram, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk meneruskan program ini dengan peruntukan RM 1 juta bagi 2017 dan mensasarkan seramai 5,000 wanita akan mendapat perkhidmatan ini,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor sekali lagi catat surplus RM351.3 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Selangor sekali lagi mencatatkan belanjawan surplus apabila kedudukan kewangannya sehingga 14 Oktober berjaya mencatatkan lebihan RM351.38 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan ini bukan helah untuk mengambil sikap selesa tetapi merupakan berkat kewangan yang kukuh.

Katanya ia sekaligus membolehkan Kerajaan Negeri merangka Belanjawan 2017 untuk membangun bangsa, memakmur negeri dan dasar mesra pasaran yang mampu meningkatkan pelaburan domestik dan luar negara.

“Pada 30 Oktober 2015 yang lalu, saya membentangkan belanjawan defisit RM630 juta untuk menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Kita bersyukur sehingga 14 Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap lebihan sebanyak RM351.38 juta,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika Belanjawan Kerajaan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, ketika ini kutipan hasil negeri mencecah 96.9 peratus, belanja pembangunan sudah mencapai tahap 60.0 peratus manakala belanja mengurus pula pada tahap 77.1 peratus.

Sementara itu rizab Kerajaan Negeri pula mencatatkan RM3.62 bilion.

EZY

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM10 juta perluas Bas ‘Smart Selangor’

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Perkhidmatan Bas ‘Smart Selangor’ diperluas ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan peruntukan RM10 juta.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata RM3.5 juta dibelanjakan sebelum ini untuk program sama di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Bajet 2016 Smart BAS“Perkhidmatan ini bertujuan mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian sebagai langkah pengurangan karbon dan menuju ke arah “Negeri Hijau”.

“Ia mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelajar universiti, pekerja kilang dan penjawat awam,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS) petang ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM990,000 untuk Pelan Induk Pengangkutan Awam bagi meneliti dan merangka aspek sistem pengangkutan awam serta sistem jaringan jalan raya dan dijangka siap pada Disember 2015.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga aktif berbincang dengan Prasarana Malaysia Berhad berhubung cadangan pembangunan Projek Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT 3) dari Bandar Utama ke Johan Setia.

Katanya, laluan sejauh 36km itu dijangka mampu menampung kapasiti 70 ribu penumpang sehari menjelang 2020.

“Kerajaan Negeri perlu beranjak kepada sistem pengangkutan awam bersepadu, berkapasiti tinggi dan mampan serta mesti diselaraskan dengan penggunaan tanah optima.

“Pelan struktur sistem pengangkutan awam perlu mengambil kira pandangan ramai, keperluan pertumbuhan baru, kepadatan penduduk dan zon Pembangunan Berorientasi Transit (TOD),” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM15 juta kajian bangun Sungai Klang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Fasa kajian komprehensif pembangunan Sungai Klang bakal dimulakan pada 2016 dengan peruntukan RM15 juta.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata kos berkenaan dibiayai secara bersama oleh lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkongsi Sungai Klang.

Sungai KlangKatanya, PBT terbabit adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Kerajaan Negeri menggesa swasta bersama melaksanakan perancangan memajukan tebing sungai dan kawasan sekitar koridor sungai.

“Usaha ini mampu mengatasi masalah pembuangan sampah bagi memastikan aliran sungai tidak terganggu, mengelak banjir, meningkatkan kualiti air sungai, memelihara kelestarian sumber air dan biodiversiti sungai serta alam sekitar,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Program pembangunan Sungai Klang bermula pada 2015 dengan peruntukan RM9 juta bagi melaksanakan kerja seperti membersih dan mengutip sampah, membina ‘logboom’, membeli ‘trash skimmer’, membina serta memasang ‘waste trap’ di 48 kunci air.

Mengambil contoh kemajuan Sungai Cheonggyecheon di Seoul Korea, Mohamed Azmin yakin usaha itu mampu mengubah Sungai Klang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi.

“Sungai Klang menjadi mercu tanda menjana pertumbuhan baru dan mencetus ekosistem ekonomi maritim yang menghubungkan bandar utama di Selangor dan Kuala Lumpur menerusi jalan air, sepertimana Sungai Rhine menghubungkan beberapa negara di Eropah,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

MB bentang Belanjawan Selangor 2015, ikuti siaran langsung

SHAH ALAM 24 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan membentangkan Belanjawan Selangor 2015 hari ini bertemakan “Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli”.

TVSelangor akan membawakan siaran langsung pembentangan belanjawan ini 10154892_857172374314628_293942026307504152_nbermula jam 10.00 pagi.

Ikuti di siaran lansung ini di tv.selangorku.com

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ringkasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2014

Bertemakan “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat”, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan belanjawan berimbang dengan peruntukan sebanyak RM1.85 billion.

RM1,225,080,210.00 atau 66.2% telah disediakan bagi Perbelanjaan Mengurus. Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM1,107,046,687.00 dan Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM118,033,523.00. Agihan terperinci Perbelanjaan Mengurus:

(a) Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak RM421,748,946.00 atau 34.43%;
(b) Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak RM411,801,227.00 atau 33.61%;
(c) Emolumen sebanyak RM370,522,216.00 atau 30.24%;
(d) Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain sebanyak RM14,591,101.00 atau 1.19% dan
(e) Aset sebanyak RM6,416,720.00 atau 0.52%.

Perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM624,919,790.00 atau 33.78% daripada Perbelanjaan Keseluruhan. Agihan perbelanjaan berdasarkan sektor:

(a) Infrastruktur (komponen terbesar) – RM388,728,030.00 atau 62.20%
(b) Sosial – RM143,182,140.00 atau 22.91%
(c) Ekonomi – RM90,401,601.00 atau 14.47%
(d) Perbandaran – RM2,608,010.00 atau 0.42%

Peruntukan bagi sektor Infrastruktur:
a) Kemudahan Awam – RM357,272,280.00 atau 91.91%
b) Sains, Teknologi dan Inovasi – RM22,956,420.00 atau 5.91%
c) Perumahan – RM8,499,330.00 atau 2.19%.

pembentangan-bajet-2014Peruntukan bagi sektor Sosial:
a) MES – RM77,850,030.00 atau 54.37%
b) Pendidikan – RM26,300,050.00 atau 18.37%
c) Modal Insan – RM8,682,020.00 atau 6.06%
d) Sukan – RM8 juta atau 5.59%
e) Kampung Baru – RM5 juta atau 3.49%
f) Belia – RM3.5 juta atau 2.44%
g) Lain-lain – RM13,850,040 atau 9.67%

Peruntukan bagi sektor Ekonomi:
a) Kewangan – RM51,620,000.000 atau 57.10%
b) Pertanian – RM17,481,600.00 atau 19.34%
c) Pembangunan Usahawan – RM7,850,010.00 atau 8.68%
d) Pelancongan – RM5.4 juta atau 5.97%
e) Sumber Alam – RM3.65 juta atau 3.65%
f) Kajian dan Penyelidikan – RM2.8 juta atau 3.1%
g) Pelaburan – RM1.6 juta atau 1.77%

Peruntukkan sektor Perbandaran:
a) Kerajaan Tempatan – RM2.2 juta atau 84.36%
b) Pengurusan Sisa Pepejal Pulau Ketam – RM408,000 atau 15.64%

Hasil Keseluruhan Negeri Selangor bagi 2014 bernilai RM1.85 billion
(a) Hasil Cukai – RM587.6 juta atau 31.76%
(b) Hasil Bukan Cukai – RM1,066,592,873.00 atau 57.65%
(c) Terimaan Bukan Hasil – RM195,807,127.00 atau 10.58%

Setakat 31 Oktober 2013, Kumpulan Wang Disatukan Selangor atau rizab negeri dalam bentuk wang tunai dan aset pelaburan telah mencecah RM2,712.85 juta.

Rancangan penggunaan rizab berjumlah RM430 juta bagi enam inisiatif:
a) RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Kelang
b) RM100 juta bagi pembinaan rumah mampu milik
c) RM50 juta bagi pembinaan beberapa bangunan sekolah
d) RM50 juta bagi pembangunan usahawan dan pemberdayaan belia
e) RM50 juta bagi pembangunan desa
f) RM30juta bagi pemberdayaan wanita

Dicampur penggunaan rizab, Kerajaan Negeri diunjurkan akan membelanjakan RM2.28 billion secara keseluruhan bukan hanya RM1.85 bilion dengan pecahan seperti berikut:
(a) Perbelanjaan Mengurus – RM1,225.08 juta atau 53.7%
(b) Perbelanjaan Pembangunan – RM1,024.92 juta atau 46.3%

Teras I

Cadangan ditubuhan sebuah Jawatankuasa Bertindak Bebas:
a) Mengkaji struktur kos perolehan, perbekalan dan perkhidmatan
b) Mengawal dan kemudiannya mungkin memotong perbelanjaan tidak perlu atau bertindih
c) Menyelesaikan karenah birokrasi dan pebagai perkara lain berkaitan dengan kos dan perbelanjaan

Cadangan supaya dilakukan satu kajian terhadap konsep ‘participatory budgeting’.

Teras II

Inisiatif ‘Pejabat kepada Rakyat’
Kemudahan akses secara ‘online’
Program ‘Hari Bertemu Pelanggan’ di kawasan kejiranan

Mendigitalkan segala dokumentasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS)

Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan PBT:
a) Menubuhkan atau memerkasakan ‘Call Center’ berpusat.
b) Menjadi lebih fokus kepada inisiatif pencegahan dalam kerja-kerja penyelengaraan untuk mengelakkan kos tinggi
c) Memanfaatkan faedah ‘economies of scale’ seperti pembelian secara pukal antara PBT untuk mengurangkan kos
d) Menyemak semula kadar atau tarif lesen dan permit perniagaan yang nilainya tidak sepadan dengan pulangan komersil.
e) Menjamin pengurusan dan perancangan harta awam secara holistik dan komprehensif agar memberi manfaat kepada masyarakat setempat
f) Mengurangkan dan seterusnya membatalkan acara pelancaran dan penganugerahan di hotel-hotel mewah serta lawatan sambil belajar ke luar negara

GLC negeri, pembekal dan kontraktor diwajibkan menyertai program ‘Corporate Integrity Pledge’ dan menandatangani ‘Integrity Pact’ dengan pihak Transparency International Malaysia.

Menyokong dasar melindungi pemberi maklumat bagi kakitangan kerajaan, agensi dan GLC negeri dan menggalakkan laporan kepada pihak berkuasa jika ada sebarang salahlaku kewangan atau amalan rasuah.

Langkah-langkah lanjutan bagi reformasi agensi dan GLC negeri:
a) Menubuhkan ‘unit pengurusan reformasi’
b) Menyemak semula struktur organisasi
c) Menyelaras prosedur niaga dengan ‘SOP’ dan Piagam Pelanggan yang jelas
d) Membatalkan semua ‘Power Of Attorney’ kepada pihak ketiga
e) Mengkaji semula sebarang perjanjian konsesi atau usahasama yang merugikan agensi dan GLC negeri
f) Menambahbaik proses perolehan dan perbekalan
g) Menyemak semula dasar mendapatkan khidmat perunding, agen atau sub-kontraktor

Penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi dan GLC Negeri untuk:
a) Menyemak aspek proses, prosedur, sistem dan modal insan jentera pentadbiran awam, agensi dan GLC negeri
b) Memantau segala aspek pelaksanaan dasar dan strategi seperti yang diputuskan
c) Menggariskan mekanisme kerjasama di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta

Teras III

Industri tumpuan baharu dalam strategi menarik minat pelabur pada masa hadapan terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian – industri E&E berteknologi tinggi berasaskan pengetahuan, teknologi hijau, farmaseutikal, penjagaaan kesihatan, peranti dan alat kelengkapan perubatan, logistic, pelancongan dan automotif

Negeri Selangor diunjurkan akan menerima seramai 6.5 juta dan 6.8 juta pelawat asing dan tempatan di samping meraih pendapatan sebanyak RM4.56 billion dan RM4.77 billion masing-masing bagi tahun 2014 dan 2015 sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Melawat Selangor 2015.

Teras IV

Meneruskan kesinambungan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor

Memulakan pelaksanaan berperingkat tawaran Manifesto ‘Meneruskan Kecemerlangan’

Memastikan kejayaan penstrukturan semula industri air di Selangor

Melaksanakan cadangan-cadangan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (SPTC)

Peruntukkan RM101 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) bagi agenda perumahan mampu milik berkualiti pada tahun 2014

Perbelanjaan pembangunan pendidikan bagi tahun 2014 sebanyak RM26 juta:
a) Bantuan kepada sekolah-sekolah agama, Cina dan Tamil – RM16 juta
b) Program pendidikan secara umum – RM5 juta
c) Program pendidikan tinggi – RM2 juta bagi
d) Program kemahiran teknikal – RM2 juta
e) Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang – RM1 juta

Menubuhkan Tabung Perubatan Khas Penyakit Kritikal (TPKPK)
a) Penilaian kelayakan akan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Sosial (JPS) di hospital-hospital awam terpilih
b) Bantuan kewangan akan disalurkan terus kepada pihak hospital melalui JPS

Teras V

Peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM63.7 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) pembangunan usahawan, pemerkasaan belia dan sukan

Peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM31.3 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) bagi agenda pemberdayaan wanita dan keluarga

Peruntukkan perbelanjaan sebanyak RM73.5 juta secara keseluruhan (Belanjawan 2014 dan penggunaan rizab) untuk pembangunan luar bandar:

RM45.12 juta dan RM1.15 juta disediakan untuk agenda perkhidmatan masyarakat dan program Kerajaan Prihatin termasuk peruntukkan bagi AMMKN, ADUN, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, ketua kampung, pengerusi JKKK dan ketua komuniti.

Peruntukkan sebanyak RM7.8 juta bagi pembangunan insane, hal-ehwal kepenggunaan dan program kebajikan terutamanya untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Asal, golongan berpendapatan rendah dan golongan minority lain.

Peruntukan RM5.5 juta bagi agenda pemuliharaan alam sekitar dan sumber alam termasuk peruntukkan bagi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor

Peruntukan sebanyak RM3.05 juta bagi program kebudayaan, kesenian dan warisan:
a) RM500,000 untuk aktiviti dan acara kebudayaan dan kesenian
b) RM2.55 juta bagi adat Melayu dan warisan semua kaum di Selangor

Disediakan oleh:

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR