Categories
AGENDA SUKANKINI

Beregu wanita menang Terbuka Czech tundukkan Indonesia

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Pasangan beregu wanita negara Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing memenangi gelaran pertama siri antarabangsa pertama mereka dengan memenangi Terbuka Czech hari ini.

Pasangan itu yang buat pertama kalinya bermain bersama, menunjukkan prestasi terbaik mereka apabila mengalahkan pasangan Indonesia Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro 21-15, 16-21, 21-17 pada perlawanan akhir di Vodova Hall, Brno.

Anna-Mei Xing layak ke perlawanan akhir selepas mengalahkan pasangan Rusia Anastasiia Boiarun-Alena Iakovleva 21-5, 21-14 pada peringkat separuh akhir.

Sebelum ini, Anna berpasangan bersama Yap Cheng Wen dan menduduki tempat kedua Terbuka Austria, manakala Mei Xing telah berpasangan dengan Yap Ling sehingga di Piala Uber baru-baru ini.

Sementara itu, Malaysia yang seharusnya boleh memenangi tiga lagi gelaran di kejohanan itu selepas mempunyai wakil pada perlawanan akhir iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu lelaki, gagal berbuat demikian selepas mereka gagal mengatasi lawan masing-masing.

Acara perseorangan lelaki Ng Tze Yong yang beraksi cemerlang pada Piala Thomas di Aarhus baru-baru ini, gagal memenangi gelaran hari ini selepas tewas kepada pemain tuan rumah Jan Louda selepas perlawanan selama satu jam 24 minit.

Pemain berusia 21 tahun yang memenangi Terbuka Poland pada Mac bermula dengan baik dengan memenangi set pertama 21-16, namun tewas dua set berikutnya 16-21, 25-27.

Usaha Siti Nurshuhaini Azman memenangi gelaran juga gagal, selepas pemain berusia 17 tahun itu tewas 16-21, 5-21 kepada Putri Kusuma Wardani dari Indonesia.

Juara Cabaran Antarabangsa Sepanyol, pasangan Man Wei Chong-Kai Wun Tee juga tewas pada perlawanan akhir beregu lelaki.

Pasangan itu tewas 21-12,15-21,15-21 kepada pasangan Singapura Hee Yong Kai Terry-Loh Kean Hean.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beregu badminton wanita tewas pada perlawanan pembukaan

TOKYO, 24 JULAI: Pasangan badminton beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Meng Yean memulakan kempen Olimpik Tokyo mereka dengan laluan sukar, apabila tewas pada perlawanan pembukaan Kumpulan A mereka, menentang Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia hari ini.

Pasangan Indonesia itu hanya memerlukan 45 minit, untuk menewaskan pasangan Mei Kuan-Meng Yean 21-14, 21-17 di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.

Kedua-dua pasangan bermula dengan baik dan saling bersaingan mata demi mata, sebelum waktu rehat pada set pertama, sebelum Greysia-Apriayani mendahului pada kedudukan 11-10, yang memperlihatkan Mei Kuan-Meng Yean mula hilang momentum selepas permainan bersambung, dengan pasangan Indonesia itu menang set pertama, 21-14.

Pada set kedua, Mei Kuan-Meng Yean menunjukkan semangat melawan yang baik terhadap Greysia-Apriyani dengan berjaya menyamakan kedudukan 13-13, sebelum pasangan Indonesia itu mendahului semula sehingga 20-15 dan menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-17.

Kemenangan hari ini menyaksikan pasangan Greysia-Apriayani menjarakkan lagi rekod kemenangan mereka selepas lima pertemuan kepada tiga kemenangan, manakala pasangan Malaysia menang dua.

Pilihan utama Olimpik Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun, akan bertemu pasangan Great Britain Chloe Birch-Lauren Smith dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, hari ini.

Laluan berliku akan dihadapi Mei Kuan-Meng Yean, kerana mereka akan bertemu Yuki-Sayaka dalam perlawanan mesti menang untuk pasangan Malaysia itu esok, manakala Greysia-Apriyani akan bertemu Chloe-Lauren.

Selain Mei Kuan-Meng Yean, dua lagi wakil Malaysia akan beraksi hari ini, di mana pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu pasangan Korea Choi Solgyu-Seo Seungjae dalam perlawanan Kumpulan D Beregu Lelaki.

– BERNAMA