Categories
NASIONAL

PKR : Umumkan Pemegang AP Minyak Sawit

KUALA LUMPUR, 15 OKT : PKR menuntut supaya senarai pemegang permit kelulusan (AP) minyak sawit didedahkan kepada umum, kata Ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan parti itu, Wong Chen.

Sambil menyambut baik keputusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk memansuhkan sistem AP tersebut, Wong berkata, masih terdapat 2.5 tan metrik (MT) minyak sawit mentah (CPO) yang tidak dijual oleh pemegang AP.

Jumlah ini diumumkan oleh Menteri Tan Sri Bernard Dompok dalam laporan OSK bertarikh 4 Okt 2012.

“Sebab utama mengapa 2.5 juta MT AP tidak terjual adalah kerana pemegang AP tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk menjual CPO.

“Dalam erti kata lain, pemegang tersebut adalah syarikat yang tidak mempunyai kaitan dengan industri sawit sekalipun tiada halangan huluan dan tidak ada loji penapisan di luar negara.

“Oleh itu, kesimpulannya adalah pemegang-pemegang AP yang tidak terjual ini adalah kesemuanya kroni-kroni,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Jelas Wong Chen, menurut sumber industri, kroni menjual AP pada kadar RM 25 bagi setiap MT.

Berdasarkan baki MT AP yang masih belum dijual, ini bermakna kroni masih berpeluang untuk mengaut keuntungan RM 62.5 juta.

Selain itu, PKR turut menuntut kementerian memberikan jawapan mengapa struktur duti baru yang dicadangkan tidak dilaksanakan segera.

Struktur duti baru tersebut hanya akan dikuatkuasakan dari 1 Januari 2013.

“Tarikh tersebut dalah dua bulan setengah dari sekarang. Kenapakah implementasi struktur baru ini dilewatkan?

“Adakah tujuan sebenar melewatkan ini untuk membenarkan lebih masa untuk-untuk kroni-kroni menjual habis AP mereka dan mengaut keuntungan RM 62.5 juta? ” soal beliau lagi.