Categories
AGENDA NASIONAL

Lagi 61 kes varian bahaya dikesan, 20 di Selangor

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 61 kes baharu varian membimbangkan (VOC) dikesan dalam negara antara 31 Ogos sehingga semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data dikongsikan Tan Sri Dr Hisham Abdullah di Facebook menunjukkan 20 kes varian Delta dilaporkan di Selangor diikuti Johor (14), Kuala Lumpur (enam), Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing satu kes.

Manakala Sabah mencatat 19 kes VOC iaitu 17 kes varian Delta dan dua Beta.

“Kajian berterusan Institut Biologi Molekular Perubatan UKM (UMBI) mengenal pasti 23 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan 38 kes.

“(Kes berkenaan) kesemuanya VOC iaitu 36 kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351),” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes dijangkiti wabak kategori VOC dan varian perlu diwaspada (VOI) adalah sebanyak 1,385 kes.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 1,365 kes VOC manakala baki kes VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC, sebanyak 1,141 kes varian Delta, Beta (211), Alpha (14) manakala VOI terdapat 13 kes varian Theta, Kappa (empat) serta Eta (tiga),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor hanya catat 18 kes Delta daripada 199 kes seluruh negara

SHAH ALAM , 28 JULAI: Selangor merekod 18 kes varian Delta (B.1.617.2), termasuk dua import, daripada 199 kes di seluruh negara.

Varian berbahaya ini, dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Menurut perangkaan yang dikongsi ketua pengarah kesihatan di Facebook pada 28 Julai, Selangor mendahului negeri lain dalam penularan Beta (B.1.351) dengan 48 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan varian Delta banyak dicatat di Sarawak dengan 93 kes dan juga Beta dengan 45 kes.

Negeri lain yang tinggi jangkitan Delta seperti berikut: Pahang dengan 18 kes, Labuan (14), Kuala Lumpur (11) dan Johor (11).

Beta, yang dikesan di Afrika Selatan, banyak juga ditemui di: Kelantan dengan 24 kes, Perak (16), Kedah (14) dan Johor (10).

Di seluruh negara varian ini merekodkan 206 kes, varian membimbangkan (VOC) yang paling banyak tersebar daripada 419 kes.

Sementara varian VOC yang kurang tersebar pula Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom. Daripada 14 kes semuanya, lapan dikesan di Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Varian bahaya: 40 kes Delta dikesan, dua di Selangor

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sebanyak 40 orang pesakit Covid-19 dikesan membawa varian Delta di negara ini sehingga semalam, namun hanya dua daripada jumlah itu direkodkan di Selangor.

Dua pembawa varian tersebut, pertama kali dikesan di India, adalah kes import, menurut angka yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Tiada penularan tempatan membabitkan varian berbahaya ini direkodkan di negeri berkenaan, namun jiran-jirannya menunjukkan sejumlah jangkitan.

Kuala Lumpur merekodkan lapan kes varian Delta (B.1.617.2) dan Putrajaya pula dua. Negeri Sembilan mencatatkan enam kes, Pahang dua tetapi tiada kes di Perak.

Namun Selangor mendahului negeri lain berkaitan penularan varian Beta (B.1.351), dikesan di Afrika Selatan, dengan 46 kes tempatan daripada 147 kes seluruh negara.

Kelantan negeri kedua tertinggi merekodkan varian ini dengan 24 kes, diikuti Kedah (13), Perak (12), masing-masing lapan kes di Kuala Lumpur dan Johor.

Selangor juga merekodkan lima kes varian Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom, termasuk dua import. Setakat ini hanya 11 kes dikesan di seluruh negara.

Daripada tiga varian membimbangkan (VOC) berkenaan, Delta lebih cepat merebak dan mudah menyebabkan risiko kematian sehingga menjadi perhatian utama pakar perubatan saat ini.

Jumlah keseluruhan kes VOC di seluruh negara setakat ini 198 kes.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham juga berkata 28 kes varian baharu dikesan antara 23 Jun sehingga semalam, termasuk tiga kes varian yang perlu diwaspada (VOI).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 217 kes,” katanya.