Categories
AGENDA NASIONAL

Bayaran BPN 2.0 dibuat mulai 21 Januari – menteri kewangan

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kementerian Kewangan mempercepatkan bayaran Fasa Kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) berjumlah RM2.38 bilion kepada 11.06 juta penerima merangkumi 10.6 juta penerima sedia ada serta kira-kira 460,000 penerima baharu, mulai 21 Januari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini susulan pengumuman pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lepas.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata semakan kelulusan itu boleh dibuat mulai 15 Januari 2021 di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my .

“Bayaran bagi penerima B40 dan M40 akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing mulai 21 Januari dan 25 Januari ini.

“Bagi penerima tanpa akaun bank, tarikh pembayaran akan bermula pada 25 Januari melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mana pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

“Untuk penerima di Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank, pembayaran akan dibuat mulai awal bulan Februari sehingga 1 April, 2021 di lokasi-lokasi yang akan diumumkan pada akhir Januari,” kata beliau.

Permohonan penerima baharu tersebut diluluskan sewaktu tempoh permohonan/rayuan dibuka pada 15 Oktober hingga 15 November lepas.

BPN 2.0 merupakan sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion yang diumumkan pada 23 September lepas.

Inisiatif BPN 2.0 itu disalurkan menerusi dua fasa pembayaran pada Oktober 2020 dan Januari 2021.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhanya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi seramai 11.06 juta penerima iaitu 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah dengan jumlah bayaran/peruntukan sebanyak RM7.18 bilion, setakat ini.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

BPN 2.0 disalur berperingkat mulai 26 Oktober

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima sedia ada daripada kategori isi rumah dan individu bujang secara berperingkat bermula 26 Okt ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pecahan bayaran fasa pertama BPN 2.0 berjumlah RM4.8 bilion bagi kategori pertama penerima melibatkan 3.7 juta isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000.

Bayaran itu akan dibuat dalam dua ansuran iaitu sebanyak RM700 pada hujung Oktober dan RM300 pada Januari 2021.

Kumpulan kedua membabitkan 3.8 juta kumpulan B40 bujang pula akan menerima RM500 melibatkan dua ansuran pembayaran sebanyak RM350 pada Oktober 2020 dan RM150 pada Januari 2021.

Kumpulan ketiga pula melibatkan 1.4 juta isi rumah M40 yang akan menerima RM600 dengan dua bayaran ansuran iaitu RM400 pada Oktober 2020 dan RM200 pada Januari 2021.

Bagi 1.7 juta kumpulan M40 bujang pula akan menerima RM300 yang akan melibatkan dua ansuran iaitu RM200 pada Oktober 2020 dan RM100 pada Januari 2021.

Kesemua bayaran itu akan dibuat secara terus ke akaun bank berdaftar di bawah pangkalan data BPN, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata permohonan baharu BPN 2.0 dibuka mulai 15 Okt hingga 15 Nov ini, bagi membantu kumpulan mereka yang belum pernah menerima BPN sebelum ini, termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

Beliau berkata untuk memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan ke atas permohonan baharu akan dibuat dengan segera dan bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada Januari 2021.

“Pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPN, https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau untuk membuat permohonan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan Bank Simpanan Nasional bagi membolehkan penyampaian BPN 2.0 ini dilaksanakan dengan lancar untuk kemudahan rakyat.

“Saya juga ingin menasihati rakyat agar berhati-hati dengan ‘scammer’ yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan BPN 2.0. Penerima disaran merujuk kepada sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak tidak dikenali,” katanya.

-BERNAMA