Categories
AGENDA NASIONAL

APM jadi tenaga pelatih utama program baharu ganti PLKN, BTN

MELAKA, 20 OGOS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menjadi tenaga pelatih utama bagi mengendalikan program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang masih dalam perancangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata langkah itu bagi memastikan tenaga kerja sedia ada digunakan sebaiknya dan ia akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita sedang memperhalusi skop pembentukan program baharu tersebut, lebih merangkumi semua kaum, paling utama adalah untuk memahami sejarah, patriotisme dan menjadi pemimpin masa depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga APM Melaka, malam ini.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada kementerian terlibat sebelum perancangan berkenaan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan.

Pada majlis itu, seramai 31 orang terdiri daripada ahli akademik dan profesional menerima watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu Pertahanan Awam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

PLKN dan BTN dimansuhkan serta-merta

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara dan Biro Tata Negara (BTN) berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, dua program dimansuhkan itu akan diganti dengan program baru yang dapat membentuk belia masa hadapan berwawasan serta mempunyai nilai jati diri tinggi.

“Program terbaru itu akan diuruskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan melalui proses penstrukturan semula fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset Jabatan Latihan Khidmat Negara dan BTN.

“Pengisian program ini dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti ‘indoor’ dan ‘outdoor’ berimpak tinggi bagi menyerlahkan potensi anak muda,” katanya dalam sidang media, di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, KBS akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk kementerian lain bagi memutuskan bentuk program baru dan akan mengumumkannya kelak.

Selain itu, KBS juga akan melakukan penstrukturan semula program 1M4U yang seharusnya melahirkan lebih banyak sukarelawan dalam kalangan belia tetapi dahulunya digunakan sebagai medium kempen ‘I Love PM’.

Syed Saddiq berkata, KBS mensasarkan sekurang-kurangnya satu program sukarelawan dianjurkan setiap minggu menerusi program baru kelak.

Menyentuh soal kedudukan kakitangan sedia ada, Syed Saddiq menjelaskan, kesemua mereka akan diserap ke program baru dan sebarang perubahan akan diumumkan kemudian.