Categories
AGENDA NASIONAL

APM jadi tenaga pelatih utama program baharu ganti PLKN, BTN

MELAKA, 20 OGOS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menjadi tenaga pelatih utama bagi mengendalikan program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang masih dalam perancangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata langkah itu bagi memastikan tenaga kerja sedia ada digunakan sebaiknya dan ia akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kita sedang memperhalusi skop pembentukan program baharu tersebut, lebih merangkumi semua kaum, paling utama adalah untuk memahami sejarah, patriotisme dan menjadi pemimpin masa depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga APM Melaka, malam ini.

Menurutnya, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada kementerian terlibat sebelum perancangan berkenaan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan.

Pada majlis itu, seramai 31 orang terdiri daripada ahli akademik dan profesional menerima watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu Pertahanan Awam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PLKN: Lebih RM8 bilion dibelanjakan sejak 2004

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Kerajaan membelanjakan RM8.43 bilion bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ia dimulakan pada 2004.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata perbelanjaan tertinggi iaitu 43 peratus adalah untuk penyewaan kem-kem latihan.

“Sepanjang 14 tahun pelaksanaannya, seramai 885,956 belia berjaya dilatih dan daripada jumlah itu seramai 356,411 bekas pelatih telah menyertai briged sukarelawan khidmat negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai jumlah perbelanjaan akumulatif PLKN dan hasilnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata walaupun manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyatakan program itu akan dibatalkan, namun kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai semula keberkesanan dan implikasi penutupan program itu sebelum membuat keputusan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Transformasi PLKN hanya syok sendiri

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Semua ambil maklum bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini kononnya telah ditransformasi dengan program latihan berwajah baru oleh kerajaan, PLKN 2.0.

Projek yang menelan belanja ratusan juta ringgit ini tidak sepatutnya disia-siakan begitu sahaja.

Apabila kita melihat pada program lepas yang dilihat gagal, sepatutnya kerajaan mengenalpasti setiap kelemahan dan masalah.

Kerajaan seharusnya juga mengambilkira pandangan daripada Ahli Parlimen termasuk pembangkang dan orang awam untuk sebarang perubahan atau penambahbaikan dan bukannya syok ikut acuan sendiri.

Pada 17 Mac 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman berkata kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM240 juta setahun selepas menarik semula tajaan 744 biasiswa pelajar Malaysia ke luar negara.

Tidakkah PLKN ini adalah antara contoh pembaziran kepada negara setiap tahun? Sedangkan bajet pendidikan yang utama saban tahun telah dipotong.

Adakah pelaksanaan program ini demi kepentingan serta kesinambungan kontraktor atau pembekal-pembekal terpilih mahupun pelaksanaan agenda politik Umno BN sahaja?

Datuk Seri Dr SantharaMalah terdapat juga cadangan daripada bekas Timbalan Gabenor Negara, Tan Sri Arshad Ayub yang mengesyorkan supaya golongan belia turut diajar untuk menoreh getah, menuai kelapa sawit dan menanam padi, di mana sektor ini banyak didominasi oleh pekerja asing.

Kerajaan sepatutnya fokus kepada rukun negara bagi mencapai matlamat perpaduan nasional yang akhirnya memupuk sikap rakyat yang baik.

Malah, modul yang diterapkan kepada pelatih tidak begitu efisyen dan relevan.

Perkara seumpama ini boleh diperbanyakkan aktiviti sedari sekolah lagi bagi mengeratkan perpaduan antara kaum.

Apa yang boleh dilakukan kini, cari penyelesaian secara bersama kepada semua masalah yang timbul dan cari jalan terbaik untuk diselesaikan.

*Dr Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mansuhkan PLKN bukan tangguh

Oleh: Akmal Nasir

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik langkah kerajaan menyemak belanjawan ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Ini menjelaskan ketepatan kritikan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa kerajaan tidak patut berbelanja besar dengan mengamalkan defisit berterusan serta terlalu bergantung kepada hasil minyak.

Bagaimanapun, AMK berpendirian bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bukan sepatutnya ditangguh tetapi terus dimansuh.

AMK berpendirian bahawa semua modul latihan PLKN sebenarnya boleh dijalankan oleh pihak sekolah dan juga universiti. Menganggap latihan PLKN penting, seolah-olah ia tidak mampu disediakan oleh pihak sekolah dan universiti jelas menunjukkan betapa lemahnya fokus pendidikan negara.

Semua kebaikan yang boleh didapatkan melalui PLKN boleh juga dicapai jika dikendalikan oleh pihak lain, pada kos yang lebih rendah.

Sekiranya kerajaan mengatakan penjimatan yang dibuat ialah sebanyak RM400 juta dengan penangguhan PLKN, maka pihak kerajaan mesti menjelaskan mengapa perbelanjaan tahun-tahun tertentu adalah lebih tinggi, mencecah sehingga RM700 juta.

Jumlah RM400 juta ini adalah sekitar satu perlima hingga satu perempat jumlah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) setahun atau menampung kos pinjaman sebanyak RM15,000 kepada lebih 25,000 pelajar universiti setiap tahun atau menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran kepada anak muda yang tidak terpilih melanjutkan pengajian ke universiti atau memilih untuk bekerja atau memastikan semua sekolah di seluruh negara ada kemudahan asas yang lengkap.

Daripada data yang ada, seramai 832,712 orang telah mengikuti latihan PLKN sejak ia mula diperkenalkan pada 16 Februari 2004. Dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM400 juta setahun (meskipun ada tahun-tahun di mana perbelanjaannya lebih tinggi), ia bermakna kos untuk seorang peserta adalah sebanyak RM5,283 untuk setiap program, terlalu tinggi untuk seorang peserta.

AMK yakin, jenis latihan yang sama boleh disediakan pada kadar harga lebih rendah.

Oleh itu, AMK menggesa semua kontraktor yang terlibat dalam menyediakan bekalan untuk PLKN ini didedahkan kepada umum.

Dengan semua kelemahan ini, AMK menggesa agar PLKN bukan sahaja ditangguh tetapi akan terus dimansuhkan.

* AKMAL NASIR adalah Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Malaysia

Categories
NASIONAL

Hiburan, ‘cuci otak’ PLKN taktik BN elak pengundi muda sokong Pakatan

PLKN - HaramSHAH ALAM 16 OGOS: Faktor hiburan keterlaluan dan proses ‘cuci otak’ yang dibuat melalui peranan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara punca sebahagian pengundi muda Melayu, keberatan menyokong Pakatan Rakyat.

Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa, berkata rata-rata pengundi muda antara produk PLKN yang digunakan Umno BN untuk menabur propaganda dan fitnah terhadap Pakatan.

Menyifatkan ia sebagai antara punca peningkatan peratusan pengundi muda menyokong parti pemerintah, beliau berkata, dakyah sama juga disebar melalui pelbagai program kerajaan.

“Ia digunakan sebagai alat untuk melaksanakan propaganda dan persepsi negatif terhadap Pakatan,” katanya kepada TV Selangor dan tidak menolak kemungkinan, pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) juga sebagai faktor lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan kajian Merdeka Center yang menyatakan pengundi muda Melayu yang pertama kali mengundi, menyokong Umno BN.

Mengikut kajian itu, golongan muda menjadi kumpulan pengundi lebih besar dalam proses mengundi akan datang berbanding hampir dua pertiga, atau 64.7 peratus pengundi muda yang berdaftar tahun ini.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail pula menyalah media tempatan yang banyak menyogok golongan muda dengan hiburan keterlaluan bagi mengelakkan mereka menyokong Pakatang.

Bagaimanapun, beliau percaya, kelemahan pada PRU-13 lalu khususnya berkaitan sokongan anak muda Melayu diatasi pada pilihan raya akan datang apabila mekanisme tertentu dibuat.

“Kita akan beri corak baru untuk mencari formula menawan golongan pengundi muda,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

– FZL