Categories
RENCANA

Kesan jangka panjang buang ubat kepada alam sekitar

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kaedah pelupusan ubat-ubatan secara tidak tepat boleh mengundang kepada pencemaran alam sekitar termasuk sumber air untuk jangka masa panjang.

Ia bahkan berisiko mengancam hidupan akuatik di mana kebarangkalian kesan yang boleh berlaku mungkin tidak diduga.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kimia yang juga ahli penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (Alir) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurfaizah Abu Tahrim berkata walaupun sisa bahan farmaseutikal ini bukanlah satu-satunya penyebab kepada pencemaran alam sekitar, namun ia tidak boleh dipandang remeh.

“Terdapat juga ‘laluan’ lain bagi bahan farmaseutikal ini memasuki alam sekitar dan persekitaran akuatik antaranya melalui sisa kumuh manusia, efluen (sisa buangan) daripada hospital dan isi rumah serta melalui bahan kumuh haiwan.

“Sisa kumuh manusia dan haiwan hasil daripada penggunaan bahan farmaseutikal turut dikenal pasti sebagai punca pencemaran. Tidak semua ubat-ubatan yang diambil oleh manusia atau haiwan akan dicerna sepenuhnya di dalam badan. Sebagai contoh apabila sisa ubat keluar melalui najis, ia seterusnya akan disalurkan ke loji rawatan kumbahan untuk diproses,” katanya kepada Bernama.

Bahan farmaseutikal sintetik

Mengulas lanjut Nurfaizah berkata secara amnya, ubat-ubatan yang masuk ke dalam badan manusia akan dikumuhkan pada kadar yang berbeza di mana akhirnya (secara langsung atau tidak) akan dialir dan diproses melalui sistem rawatan kumbahan sebelum disalurkan kembali ke sungai.

“Loji rawatan kumbahan dan rawatan air konvensional sedia ada tidak direka untuk mengurai ubat-ubatan berkenaan.

“Justeru, masih akan ada sisa ubat-ubatan dalam efluen air kumbahan yang tidak terurai yang akan dilepaskan ke dalam sumber air sungai sekaligus boleh memberi kesan kepada hidupan air,” katanya.

Menurut beliau kehadiran bahan farmaseutikal sintetik dalam air kumbahan mula dilaporkan sekitar tahun 1970-an oleh kumpulan penyelidik dari Kansas, Amerika Syarikat.

Kumpulan penyelidik berkenaan berjaya mengesan ‘chlorophenoxyisobutyrate’ dan ‘salicylic acid’ yang merupakan metabolit kepada ‘clofibrate’ dan aspirin.

Sejak daripada itu pelbagai jenis ubat-ubatan dan metabolit dikenal pasti dalam sampel persekitaran terutamanya di negara barat.

Para penyelidik universiti tempatan juga tidak ketinggalan menjalankan kajian berhubung kehadiran ubat-ubatan dalam pelbagai sampel akuatik.

“Hasil kajian ke atas beberapa sampel air sungai di negara ini mengesan ubat-ubatan seperti ‘acetaminophen’, ‘carbamazepine’, ‘gliclazide’, ‘metoprolol’, ‘nifedipine’, ‘prazosin’ dan ‘simvastatin’, namun ia hanyalah pada kepekatan yang rendah iaitu dalam julat bahagian per bilion (ppb) dan trilion (ppt).

“Masih tiada satu kaedah analisis piawaian yang boleh digunakan untuk mengesan kehadiran sisa ubat-ubatan dalam alam sekitar secara menyeluruh disebabkan kepelbagaian sifat kimia dan fizikalnya.

“Di samping itu, kebanyakan kaedah analisis yang dibangunkan oleh para penyelidik memberi tumpuan kepada kumpulan ubat-ubatan yang khusus,” katanya sambil menambah antara ubat atau bahan farmaseutikal yang dijumpai dalam persekitaran akuatik adalah daripada kumpulan analgesik, anti-keradangan, anti-hipertensi, anti-epileptik, anti-diabetik, antibiotik dan juga hormon kontraseptif.

Perubahan hormon hidupan akuatik

Turut berkongsi sejak beberapa dekad lepas laporan mengenai perubahan sifat hormon pada beberapa spesies hidupan akuatik semakin meningkat, beliau berkata pencemaran bahan kimia dianggap sebagai punca utama terjadinya perubahan hormon ini yang bertindak mengganggu fungsi endokrin sedia ada.

“Fenomena ini dikenali sebagai gangguan endokrin atau ‘endocrin disruption’. Ia dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai isu global dan bahan kimia terlibat dikategorikan sebagai ‘endocrine disrupting chemicals’ (EDC).

“Hormon bersteriod sering dikaitkan dengan kejadian ini dan antara hasil kajian yang pernah dilaporkan oleh penyelidik luar termasuklah sifat betina yang terbentuk pada ikan jantan,” jelasnya sambil menambah bukan semua sisa bahan farmaseutikal tergolong dalam kategori EDC dan masih tiada laporan yang mengaitkan kesan pencemaran ubat-ubatan dalam persekitaran ke atas kesihatan manusia.

Sementara itu, Aktivis Alam Sekitar yang juga Naib Presiden EcoKnights Amlir Ayat berkata kerajaan wajar merangka kaedah atau tatacara yang lebih praktikal bagi menguruskan sisa domestik dari rumah termasuk yang merangkumi bahan farmaseutikal yang boleh membahayakan kualiti kesihatan awam.

Pengabaian pengurusan bahan farmaseutikal dan sisa klinikal mengikut piawaian dan tatacara yang ditetapkan katanya bukan saja menyebabkan pencemaran air dan udara oleh sisa pepejal malahan lebih membahayakan ialah bahan kimia, patogen dan seumpamanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Bagi mencapai tahap penglibatan masyarakat di setiap peringkat beliau berpendapat peranan media untuk mengetengahkan isu risiko pengurusan sisa produk farmaseutikal dan klinikal perlu dipertingkatkan.

“Begitu juga dengan kesedaran dalam kalangan pengendali pusat-pusat perubatan supaya mereka segera mendaftar dengan pihak berwajib bagi mengelak ancaman yang lebih besar kepada alam sekitar lebih-lebih lagi dengan kemungkinan pandemik Covid-19 akan berlarutan untuk tempoh masa yang lebih lama dan sukar diramal,” katanya.

Kesedaran, tanggungjawab bersama

Ironinya, meskipun insiden pencemaran alam sekitar disebabkan ubat-ubatan tidak ketara berlaku berbanding pencemaran yang berpunca akibat pembuangan sisa bahan kimia yang lebih mudah dikesan melalui bau, perubahan warna dan lazim berlaku pada skala yang lebih besar dan kerap, pemantauan berterusan perlu terus dijalankan.

Ambil dan makanlah ubat mengikut arahan atau waktu yang ditetapkan pihak hospital atau klinik.

Hargai ‘ubat percuma’ yang diberikan dan pulangkan kembali ubat kepada pihak sewajarnya jika tidak digunakan supaya ia dapat diurus atau dilupus dengan kaedah yang betul, bersistematik dan paling penting mengikut piawaian yang ditetapkan.

Peranan, rasa tanggungjawab dan kesedaran masyarakat di samping peruntukan undang-undang mampu membendung gejala buang atau membazir ubat sekali gus menyumbang kepada kelestarian sumber air, udara dan alam sekitar daripada sebarang jenis pencemaran.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Buang ubat, masyarakat belum hargai kemudahan kerajaan

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Bayangkan Perindopril 4mg Tablet yang diambil oleh penghidap darah tinggi untuk mengawal tekanan darah tinggi dan harganya sekadar RM1.08 – berdasarkan harga runcit yang disyorkan per unit (SKU) melalui paparan di laman web https://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/apps/drug-price.

Harga yang dikemas kini pada 2018 itu cukup murah bukan?

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, terdapat 6.4 juta rakyat (orang dewasa) Malaysia, menghidap penyakit darah tinggi atau hipertensi dan sejauh mana mereka dan anggota masyarakat lainnya, menghargai ubatan yang perlu mereka ambil?

Itu baru satu penyakit? Bagaimana dengan penghidap penyakit lain seperti pesakit kencing manis atau mereka yang diberikan ubat tahan sakit, sembelit atau panadol?

Mungkin ramai yang masih ingat perihal ‘kecaman’ netizen ke atas seorang selebriti yang membuang ubat diperolehinya dari salah sebuah hospital kerajaan sekitar 2018, di samping beberapa hantaran di laman Facebook yang memaparkan seorang pesakit menjinjing dua beg plastik besar berisi ubat untuk dipulangkan semula ke sebuah pusat kesihatan.

Harga ‘percuma’ bukan tiket ubat tidak dihargai

Pegawai farmasi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ishmah Musfirah Nazari berkata antara jenis ubat yang sering dipulangkan pesakit di Farmasi Pesakit Luar HKL adalah ubat darah tinggi, ubat kencing manis, ubat jangkitan salur kencing, ubat sembelit, ubat tahan sakit dan suplemen.

Menurut beliau, dalam hal ini, isu ubat ‘berlebihan’ sepatutnya tidak timbul memandangkan pegawai farmasi akan menerangkan kepada pesakit tentang maklumat ubat-ubatan seperti nama ubat, indikasi (kegunaan), cara pengambilan dan arahan pengambilan ubat.

“Bekalan ubat yang diberikan kepada pesakit oleh pihak farmasi hanya untuk tempoh satu bulan sahaja bagi memudahkan pegawai farmasi memantau kepatuhan pesakit dalam pengambilan ubat.

“Di kaunter, anggota farmasi akan mendapatkan maklumat tambahan sama ada pesakit mempunyai bekalan ubat di rumah. Jika ya, pegawai farmasi akan menyelaras kuantiti ubat yang perlu diberikan (didispen) kepada pesakit cukup sehingga tarikh temujanji seterusnya,” katanya.

Justeru, sekiranya timbul sebarang isu, pihak farmasi akan mengadakan sesi kaunseling bagi meningkatkan kepatuhan pengambilan ubat-ubatan terutamanya untuk pesakit yang menghidapi penyakit kronik.

Tambahan pula, pesakit boleh berbincang dengan anggota farmasi sekiranya menghadapi masalah kesan sampingan ubat dan mereka akan dirujuk kepada doktor berkenaan.

Punca ubat dipulangkan

Pun begitu, Ishmah Musfirah mengakui antara punca pesakit memulangkan ubat ialah pertukaran regimen ubat, pemberhentian rawatan oleh pihak doktor, pesakit tidak patuh terhadap rawatan pengubatan atau pesakit meninggal dunia.

Malahan pengambilan ubat daripada pelbagai sumber seperti hospital atau klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), klinik swasta atau farmasi komuniti oleh pesakit turut menjadi faktor penyumbang kepada ubat berlebihan dalam simpanan pesakit.

“Ada juga disebabkan ubat diambil oleh waris dan mereka tidak memeriksa terlebih dahulu baki ubat yang dimiliki pesakit atau pesakit sendiri terlupa baki ubat. Apabila perkara ini berterusan, akan berlaku isu lambakan ubat di rumah dan akhirnya merugikan.

Ishmah Musfirah turut membetulkan persepsi yang mana pesakit sebenarnya boleh menghabiskan ubat berlebihan di rumah dahulu sebelum hadir ke kaunter farmasi untuk pengambilan ubat seterusnya.

Ini memandangkan tarikh janji temu yang diberikan oleh pihak farmasi adalah sebagai penanda aras tempoh ubat pesakit akan habis sahaja.

Justeru, antara usaha KKM dalam memastikan penggunaan ubat secara optimum oleh pesakit adalah melaksanakan Program Kenali Ubat, Program Patient’s Own Medication (POMs) dan membekalkan ubat susulan pesakit untuk tempoh yang bersesuaian.

Di samping itu, Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi turut diperkenalkan untuk memastikan bekalan ubat secara berterusan kepada pesakit.

Antaranya ialah Ubat Melalui Pos iaitu ubat akan dipos ke alamat pesakit serta perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu, yang mana pesakit mengambil ubat di farmasi pandu lalu pada hari yang ditetapkan oleh pihak farmasi dan ubat-ubatan tersebut disediakan sebelum pesakit datang.

Inisiatif ‘galakan’ untuk pesakit patuhi ubatan

Satu lagi perkhidmatan yang dilaksanakan oleh pihak farmasi (ubat disediakan sebelum pesakit datang) adalah Locker4u iaitu pesakit mengambil ubat di lokar atau almari berkunci di luar farmasi klinik pakar pada hari yang ditetapkan oleh pihak farmasi.

Bagi yang berkemampuan untuk hadir ke hospital, Ishmah Musfirah menjelaskan, pesakit boleh menggunakan Sistem Janji Temu iaitu pesakit boleh mengambil ubat di kaunter farmasi pada hari yang ditetapkan oleh pihak farmasi.

Tidak ketinggalan, terdapat perkhidmatan Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB). Dalam hal ini, pesakit boleh memilih untuk mengambil ubat di hospital atau klinik kesihatan berhampiran dengan rumahnya.

Mengenai Program Pemulangan Ubat (PPU) oleh Program Perkhidmatan Farmasi KKM yang dilaksanakan sejak 2010, beliau berkata ia adalah antara inisiatif untuk menguruskan pelupusan ubat-ubatan dengan selamat dan mesra alam.

“Selain memastikan ubat dilupuskan dengan selamat, program ini juga diharap dapat membantu mengelakkan kesilapan pengubatan dalam kalangan pesakit akibat penyimpanan ubat berlebihan yang mungkin menyebabkan pesakit keliru dengan pengambilan ubat mereka,” katanya.

Pelupusan ubat – syarikat farmaseutikal ikut SOP ketat

Senada dengan pendapat masyarakat masih kurang menghargai ubat, Ahli Farmasi Pharmaniaga Berhad, Norhana Nawawi Suri berpendapat, kurangnya kesedaran tentang nilai ubat menyebabkan ada anggota masyarakat tidak memandang serius terutama ubat yang diperolehi daripada hospital atau klinik kesihatan kerajaan.

“Walaupun di hospital swasta tiada tatacara khusus untuk pesakit memulangkan ubat, ini tidak bermakna ia tidak berlaku.

“Kemungkinan kurang kes disebabkan pesakit patuh mengambilnya kerana mereka perlu bayar harga yang tinggi bagi ubat tersebut dan kuantiti ubat yang diberi selalunya untuk jangkamasa yang pendek,” jelasnya.

Sebagai syarikat pengeluar dan pembekal produk farmaseutikal generik terbesar di Malaysia, Norhana mengakui wujud kebimbangan daripada kalangan masyarakat bahawa ubat yang dipulangkan akan diberikan kepada pesakit lain.

“Ini sama sekali tidak betul memandangkan ubat yang dipulangkan akan terus dilupus walaupun bungkusannya masih belum dibuka kerana kita tidak pasti bagaimana pesakit menyimpan ubat tersebut dan sejauh mana ubat tersebut masih ‘selamat’ jika digunakan semula,” katanya.

Untuk itu, Pharmaniaga Berhad akan memastikan bungkusan ubat serta hologram yang dilekat pada kotak atau ubat dikoyakkan atau ‘dirosakkan’ ketika proses mengasingkan ubatan mengikut sediaan seperti berbentuk tablet, cecair atau krim dilakukan sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas dan dihantar ke pusat pelupusan khas yang dilantik mereka.

“Kami tidak boleh lupuskan ubat yang dihasilkan atau dipasarkan oleh syarikat kami sendiri termasuklah produk yang sudah tamat tempoh. Ini bagi memastikan pelupusan dilakukan dengan selamat oleh mereka yang pakar kerana setiap ubat mengandungi bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada manusia dan alam sekitar,” katanya.

Mengulas mengenai kos yang perlu ditanggung, Norhana menegaskan, selain aspek kewangan, masyakarat juga perlu melihat kos lain yang turut memberi kesan akibat sikap pesakit tidak mematuhi pengambilan ubat.

Antara yang boleh dikongsikan, menurut Norhana, adalah kos ubat yang dipulangkan kerana ubat ini tidak boleh digunakan semula untuk pesakit lain memandangkan kualiti dan keberkesanan ubat yang dipulangkan tidak dapat dijamin.

“Selain itu, kos tenaga dan masa pegawai farmasi yang perlu menguruskan pengasingkan ubat mengikut sediaan yang mungkin mengambil masa berhari lamanya serta kos pelupusan yang dikenakan oleh Kualiti Alam Sdn Bhd bagi menguruskan proses pelupusan dengan selamat,” katanya.

-BERNAMA