Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayi, kanak-kanak tidak digalak ke majlis bufet Ramadan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi majlis berbuka puasa dan sahur sepanjang Ramadan.

Arahan itu selepas kerajaan membenarkan penganjuran majlis berbuka puasa seperti bufet di hotel, restoran dan premis makanan dengan piawaian ketat.

Menurut garis panduan itu, operasi perniagaan dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen bagi kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Sementara bagi hotel, restoran atau kedai makanan yang menyediakan juadah sahur boleh melanjutkan operasi perniagaan sehingga jam 6 pagi.

“Jumlah individu yang hadir dihadkan kepada 50 peratus daripada kapasiti ruang dewan atau hotel manakala 100 peratus untuk restoran dan kedai makan,” menurut MKN di Twitter.

Kehadiran tetamu atau pelanggan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan fizikal.

Berikut antara SOP am majlis bufet berbuka puasa dan sahur:

1. Menandakan laluan keluar dan masuk untuk pelanggan
2. Mendaftarkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu badan
3. Penganjur atau pekerja perlu menjalani saringan kesihatan dan bebas gejala
4. Penganjur, pekerja dan tetamu diwajibkan memakai pelitup muka
5. Memastikan tetamu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter
6. Kehadiran tetamu dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak digalakkan
7. Penyediaan makanan sama ada bungkus, hidang atau bufet hanya diseliakan oleh pramusaji
8. Memperbanyak tempat hidangan bufet bagi mengelak pelanggan berkumpul di satu tempat sahaja
9. Tetamu digalakkan membawa kelengkapan solat sendiri untuk solat di surau atau tempat majlis bufet Ramadan dianjurkan
10. Pembersihan dan sanitasi mesti dilakukan sebelum dan sesudah majlis berbuka

Penerangan lanjut boleh merujuk Twitter Majlis Keselamatan Negara.

Categories
AKTIVITI DAN IKLAN SELANGOR

D’Tahta santuni anak yatim sempena Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MEI: Seramai 30 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah, Bandar Bukit Raja Klang, diraikan dalam majlis berbuka puasa, di Dewan D’Tahta @iCity, di sini, baru-baru ini.

Selain anak yatim, turut diraikan dalam majlis berkenaan adalah 30 golongan asnaf diiringi enam guru pengiring.

Dewan D’Tahta @iCity yang dimiliki usahawan terkenal, Mona Din, bukan hanya terbuka untuk mengadakan majlis perkahwinan, namun turut membuka pakej bufet berbuka puasa, sempena Ramadan.

Bagi meraikan bulan mulia ini, Mona Din, mengambil inisiatif meraikan golongan asnaf dan anak yatim serta membuka pakej bufet berbuka puasa kepada orang ramai yang berminat.

Menariknya, D’Tahta membuka dua pakej berbeza megikut selera pelanggan iaitu menu masakan kampung serta kambing bakar oleh Mak Ngah Catering dan Chinese Cuisine juga Arabic Food oleh Eden Catering.

Menu masakan kampung dan kambing bakar oleh Mak Ngah Catering menawarkan bufet berharga RM59 (dewasa) dan RM35 (kanak-kanak empat hingga 11 tahun).

Antara menu dihidangkan adalah gulai kambing, asam pedas ikan pari bendi, brokoli goreng, pelbagai jenis kerabu, kambing bakar dan pencuci mulut.

Manakala, menu kampung atau Chinese Cuisine, Arabic Food oleh Eden Catering pula khas kepada tempahan korporat dengan harga ditawarkan berharga RM49-RM89 bergantung pilihan menu dan jumlah tetamu.

Jika anda berfikir mahu solat di mana, D’Tahta turut menyediakan surau untuk lelaki dan wanita yang terletak di tingkat 2M i-Soho @iCity.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari Facebook D’Tahta Wedding Venue atau untuk tempahan boleh hubungi Syuhada, di talian 011-11467669.