Categories
AGENDA NASIONAL

Beraya cara baharu, orang ramai kunjungi KLCC, Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Lazimnya warga asing yang sering ‘membanjiri’ ibu kota tiap kali musim perayaan, namun tahun ini di sebaliknya apabila rata-rata lokasi tumpuan seperti KLCC, Dataran Merdeka, Bukit Ampang dan Bukit Bintang didominasi penduduk tempatan untuk ‘berliburan’ di pagi Aidilfitri.

Tinjauan di sekitar Kuala Lumpur mendapati ramai warga tempatan yang tidak dapat pulang ke kampung kerana larangan rentas sempadan negeri memilih untuk memanfaatkan sambutan raya bersama ahli keluarga dengan bergambar kenangan di lokasi-lokasi itu.

Malah, tinjauan pada pukul 9 pagi tadi turut mendapati amat kurang warga asing dilihat di lokasi-lokasi tumpuan berbanding sebelum ini yang sentiasa didominasi mereka.

Mengakui sedikit ‘pelik’ dengan kebiasaan baharu di Aidilfitri, Rohizam Omar, 46, bagaimanapun menganggap ia mungkin antara cara mengeratkan hubungan dalam sesebuah keluarga di hari lebaran.

“Mungkin selama ini kita sibuk memasak, melayan tetamu atau menziarahi keluarga tetapi dengan raya kebiasaan baharu ini, ia membuatkan kita lebih rapat dengan keluarga kita sendiri.

“Layanan pun lebih bertumpu pada anak-anak. Rasanya seronok juga macam ni, ikut idea anak-anak untuk “pusing-pusing” di Kuala Lumpur, biarpun ala warga asing,” katanya yang menetap di Subang Jaya.

Bagi Ryan Adzhar, 29, dari Limbang, Sarawak, beliau bersama dua orang sepupu serta seorang rakan baik mereka memilih untuk ‘berliburan’ di sekitar Kuala Lumpur bagi mengubati kerinduan kampung halaman.

“Sudah dua tiga hari kami merancang untuk melakukan sesuatu bagi mengisi masa sewaktu raya pertama ini. Memandangkan kami semuanya bujang kami memilih untuk mengambil gambar di KLCC sebagai tanda kenangan raya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), satu situasi yang tidak pernah berlaku,” katanya.

Pertama kali beraya di Kuala Lumpur selepas lapan tahun menetap di ibu kota disebabkan tugas, Ryan mengakui segalanya berbeza bukan saja di ibu kota tetapi juga di kampung halamannya.

“Raya di Sarawak memang meriah tetapi keluarga di sana terpaksa akur dengan keadaan kami bertiga yang tidak dapat pulang disebabkan tidak boleh rentas sempadan negeri.

“Kami sendiri pun lebih rela beraya di sini daripada terpaksa menghabiskan 14 hari dikuarantin jika pulang ke sana,” jelasnya yang lengkap berbaju Melayu dan kain samping.

Sementara Zamri Talib, 38, beliau memilih untuk membawa keluarganya “pusing-pusing” di Kuala Lumpur kerana kasihan kepada tiga anaknya yang sudah lama ‘terperuk’ di dalam rumah kerana akur dengan arahan PKPB.

“Hanya berada dalam kereta dan jika perlu berhenti, kami pilih tempat yang tidak ramai orang. Kalau rasa sesuai, kami berhenti sekejap, ambil gambar dan bergerak semula. Saja bagi anak-anak seronok tapi dalam masa yang sama, kami pastikan keselamatan anak-anak,” jelasnya yang menetap di Hulu Langat, Selangor.

– BERNAMA

IKRAM, JKR Diminta Buat Kajian Tanah Runtuh Di Ampang

AMPANG 16 NOV : Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan melakukan kajian terperinci mengenai runtuhan tanah di kawasan berhampiran Menara Tinjau, Bukit Ampang.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu yang ditemui ketika lawatan di tempat kejadian pagi tadi berkata, kajian perlu dilakukan bagi mengenalpasti punca dan langkah-langkah proaktif yang boleh diambil.

“Laporan IKRAM mungkin dapat disediakan dalam tempoh seminggu, sementara laporan JKR mungkin ambil masa lebih lagi,” ujar beliau.

Sebelum ini, menurut Ronnie, menara tinjau tersebut ditutup sejak awal tahun berikutan arahan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Turut ditutup ialah sebuah restoran makanan barat yang terletak bersebelahan menara tersebut.

“Kajian dan tinjauan MPKj mendapati kawasan cerun berkenaan bahaya, tidak selamat dan hari ini terbukti benar.

“Ia satu kesilapan juga oleh Kerajaan Negeri terdahulu membenarkan pembangunan di kawasan cerun kelas keempat ini.

“Sekarang, tiada pembangunan dibenarkan Kerajaan Negeri di kawasan kelas keempat, kelas ketiga pula boleh tapi dikenakan syarat yang ketat,” tegasnya.

Kejadian tanah runtuh dikatakan berlaku lewat petang semalam menyebabkan Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara.

Sementara itu, Ronnie memberitahu jalan akan mula dibuka selewat-lewatnya 7 malam ini.

Beliau juga mengarahkan pihak MPKj untuk melakukan pemantauan 24 jam di kawasan kejadian.

“Orang ramai juga diminta untuk tidak berhenti di kawasan kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di samping mengelakkan kesesakan,” jelas Ronnie.