Categories
SELANGOR

Ganabathirau : Jumpa Penduduk Taman Permata Minggu Depan

ganabatirau

SHAH ALAM 13 JULAI : Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, V Ganabathirau dijangka bertemu dengan penduduk Taman Permata, Dengkil bagi menyelesaikan isu perumahan mereka yang kini mengalami keretakan serius.

Menurut Ganabatirau, dalam pertemuan dengan penduduk itu nanti, pihaknya akan berbincang mengenai tawaran pembaikan keretakan pangsapuri terbabit sementara menunggu Kerajaan Pusat membina rumah baru mereka.

Katanya, alternatif itu dilakukan selepas mendapat nasihat daripada badan profesional dan kajian dari Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

“Kita sedia membaiki keretakan itu, sementara menunggu Kerajaan Pusat membina rumah teres seperti yang mereka janjikan sebelum ini,” katanya ketika di temui di Pejabatnya, di sini.

Penduduk pangsapuri kos rendah itu terdiri daripada 400 penghuni sementara yang merupakan bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.

Mereka dipindahkan 14 tahun lalu berikutan memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya seterusnya dijanjikan rumah teres satu tingkat.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat gagal menunaikan janji untuk membina perumahan itu dan penduduk hanya diberikan perumahan sementara iaitu pangsapuri kos rendah.

Manakala ketika ini, sebahagian daripada penduduk sudah 31 hari ‘berumah sementara’ di dalam khemah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) selepas dikejutkan gegaran kuat.

Mengulas lanjut penyelesaian kepada kemelut itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tanah 30 ekar kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk kerja-kerja pembinaan rumah seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini.

“Sebelum ini, kita memperuntukkan 18 ekar tanah, namun pihak Kementerian menolak tawaran itu kerana dikatakan tidak mencukupi untuk membina 400 buah rumah teres satu tingkat dalam surat mereka pada 7 Julai lalu.

“Oleh itu, kita membuat keputusan untuk memberikan tanah yang lebih luas kepada kementerian dan saya harap pihak kementerian serius membangunkan perumahan itu.

“Kerajaan Negeri serius dan komited untuk menangani isu seperti ini, kita sedia membantu menyelesaikan masalah penduduk,” katanya.

Difahamkan, proses pembangunan perumahan itu lambat dilakukan berikutan bekas Ahli Parlimen Sepang, Dr Mohd Zin Mohamed berkeras meminta 100 ekar daripada Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Kos Baikpulih Pangsapuri Indah Ria Bakal Cecah RM 20 Juta

Pangsapuri Indah Ria 02

SHAH ALAM 20 JUN : Kos bagi membaikpulih Pangsapuri Indah Ria di Seksyen 22 yang retak dan membahayakan nyawa 1,000 penghuninya bakal mencecah RM 20 juta kata Adun Baru Tiga, Rodziah Ismail.

Manakala kos pemantauan dan kajian yang dijalankan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bakal menelan belanja
RM 800,000.

Walaupun Kerajaan Selangor bersetuju untuk melakukan kerja-kerja pembaikan di pangsapuri tersebut, keseluruhan kos itu akan dituntut semula daripada pemaju pangsapuri itu, iaitu Shanghai Realty (M) Sdn Bhd.

Malah, Rodziah berkata Kerajaan Selangor akan menuntut pemaju membayar kos pembaikpulih pangsapuri 15 tingkat itu melalui proses mahkamah.

“Hasil tinjauan, kajian yang dijalankan mendapati keadaan memang kritikal di kawasan parkir namun bagi bangunan kediaman, walaupun terdapat keretakan, menurut Ikram, ia masih tidak termasuk dalam kategori kritikal.

“Ini kerana kedua-duanya mempunyai struktur atau ‘piling’ yang berbeza, maka keadaannya juga berbeza. Bagaimanapun, pihak Ikram mohon tempoh tiga bulan lagi, sehingga Ogos ini.

?(Ini) untuk menjalankan beberapa kajian forensik dan kejuruteraan bagi memastikan keadaan sebenar struktur bangunan tersebut sebelum sebarang cadangan dibuat,” jelas Rodziah yang juga Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Dilaporkan sebelum ini bahawa lebih 1,000 penduduk pangsapuri berkenaan khuatir dengan keselamatan mereka apabila berlaku masalah rekahan tanah di kawasan parkir sehingga menyebabkan struktur bangunan kediaman mereka retak lebih setahun lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Tubuh Suruhanjaya Siasat Penipuan PRU-13 – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 2062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pakatan Rakyat menggesa agar kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) kerana kerajaan masih gagal meningkatkan pendapatan perkapita penduduk negara ini di tahap yang memuaskan.

2. Kerajaan Selangor akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 bulan lalu.

3. Kerajaan Negeri akan melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi menyiasat punca sebenar masalah kerosakan struktur bangunan Pangsapuri Indah Ria yang dikhuatiri mengancam nyawa penduduk.

4. Kerajaan Negeri akan menganjurkan Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam, Sabtu ini.

5. Satu aktiviti flashmob besar-besaran bakal diadakan Jumaat ini menjelang Himpunan Blackout pada Sabtu, 22 Jun ini.

6. Flashmob SuaraRakyat505 akan diteruskan serentak di enam lokasi esok dan di 4 lagi lokasi keesokan harinya, sementara Malaysia bersiap-sedia menghadapi himpunan aman Black505 di ibu negara, Sabtu ini.

IKRAM, JKR Diminta Buat Kajian Tanah Runtuh Di Ampang

AMPANG 16 NOV : Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan melakukan kajian terperinci mengenai runtuhan tanah di kawasan berhampiran Menara Tinjau, Bukit Ampang.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu yang ditemui ketika lawatan di tempat kejadian pagi tadi berkata, kajian perlu dilakukan bagi mengenalpasti punca dan langkah-langkah proaktif yang boleh diambil.

“Laporan IKRAM mungkin dapat disediakan dalam tempoh seminggu, sementara laporan JKR mungkin ambil masa lebih lagi,” ujar beliau.

Sebelum ini, menurut Ronnie, menara tinjau tersebut ditutup sejak awal tahun berikutan arahan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Turut ditutup ialah sebuah restoran makanan barat yang terletak bersebelahan menara tersebut.

“Kajian dan tinjauan MPKj mendapati kawasan cerun berkenaan bahaya, tidak selamat dan hari ini terbukti benar.

“Ia satu kesilapan juga oleh Kerajaan Negeri terdahulu membenarkan pembangunan di kawasan cerun kelas keempat ini.

“Sekarang, tiada pembangunan dibenarkan Kerajaan Negeri di kawasan kelas keempat, kelas ketiga pula boleh tapi dikenakan syarat yang ketat,” tegasnya.

Kejadian tanah runtuh dikatakan berlaku lewat petang semalam menyebabkan Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup sementara.

Sementara itu, Ronnie memberitahu jalan akan mula dibuka selewat-lewatnya 7 malam ini.

Beliau juga mengarahkan pihak MPKj untuk melakukan pemantauan 24 jam di kawasan kejadian.

“Orang ramai juga diminta untuk tidak berhenti di kawasan kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di samping mengelakkan kesesakan,” jelas Ronnie.