Categories
AGENDA NASIONAL

PM lancar Bulan Kebangsaan, kibar Jalur Gemilang

PUTRAJAYA, 28 JULAI: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan berlangsung hari ini dalam suasana penuh semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diadakan buat julung kalinya di Dataran Perdana, Perdana Putra dengan kehadiran terhad bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Dalam situasi negara berhadapan pandemik Covid-19, petugas barisan hadapan tidak dilupakan apabila pemimpin agensi dan jabatan terlibat turut dijemput untuk bersama-sama menyertai tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Antara yang hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Turut hadir ialah menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, menteri Kabinet lain termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Acara dimulakan dengan amanat daripada perdana menteri yang turut dipancarkan secara langsung ke negeri-negeri.

Usai menyampaikan amanat, Muhyiddin menyerahkan Jalur Gemilang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), disusuli dengan upacara menaikkan bendera dan nyanyian Lagu Negaraku yang diiringi Pasukan Pancaragam ATM dan Kumpulan Koir Pentarama, Jabatan Penerangan.

Upacara menaikkan bendera berkenaan turut disertai oleh enam pegawai yang mewakili pasukan barisan hadapan terdiri daripada ATM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penerangan.

Kemuncak acara pelancaran ialah nyanyian lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 iaitu Malaysia Prihatin yang diperdengarkan buat pertama kali oleh Kumpulan Koir Pentarama sambil diiringi dengan kibaran Jalur Gemilang.

Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan dan gubahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail dan lirik oleh El Sol Akhmad.

Majlis di Dataran Perdana itu diakhiri dengan perdana menteri melepaskan konvoi Info on Wheels (IoW) Merdeka yang akan menjelajah ke seluruh negara sehingga 16 Sept ini untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta menyemarakkan semangat kibar Jalur Gemilang.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

10,000 hadir pelancaran Bulan Kebangsaan

MELAKA, 3 OGOS : Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat kebangsaan berlangsung dengan penuh patriotik, meriah dan berwarna warni disaksikan kira-kira 10,000 pengunjung yang memenuhi Dataran Pahlawan, Bandar Hilir malam tadi.

Detik bersejarah yang dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, diikuti upacara menaikan Jalur Gemilang bersaiz 2.43 meter x 4.87 meter yang dibawa 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Turut hadir pada majlis yang bermula kira-kira pukul 8.45 malam itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan menteri-menteri kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Program itu diteruskan dengan nyayian lagu ‘Malaysia Bersih’ hasil ciptaan Muhammad Yuri Mohamed Idris dan lirik oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Anis Yusal Yusoff serta persembahan ‘Selamat Datang’ dan bacaan doa oleh Pegawai Agama Daerah Melaka Tengah Ustaz Mohd Nazri Abdul Majid.

Gimik pelancaran berkonsepkan hologram yang mengimbas sejarah kemerdekaan itu disempurnakan Dr Mahathir dan menjadi acara kemuncak sebelum persembahan montaj kemerdekaan yang diakhiri dengan gambar barisan Menteri Kabinet di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Seterusnya pengunjung turut disajikan dengan pertunjukan bunga api sebelum nyanyian Jalur Gemilang bersama tetamu kehormat dan pengunjung yang mambanjiri Dataran Pahlawan sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Dr Mahathir turut melancarkan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 di Hadapan Memorial Kemerdekaan, yang melibatkan 62 kenderaan terdiri daripada 17 kenderaan pelbagai agensi kerajaan termasuk 30 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran J17 bersama 15 motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan penglibatan seramai 133 peserta.

Konvoi itu akan melalui perjalanan sejauh 6,200 kilometer di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 tahun ini yang merangkumi 62 perhentian di peringkat negeri, daerah dan komuniti.

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 turut dimeriahkan dengan konsert Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih kelolaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan artis popular tanah air seperti Ziana Zain, Francesca Peter, Datuk Nash, Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Hafiz Suip, Sissy Iman, Kenny Lee, Crystal Ong, Viveck Ji, artis Dondang Sayang, Kiki Bintang Kecil dan Hariz (Bintang RTM).

Sementara itu, pelajar Politeknik Melaka, T. Naveena,18, berkata beliau teruja untuk hadir ke majlis pelancaran itu bagi melihat Dr Mahathir secara dekat kerana perdana menteri itu merupakan idola dan pemimpin yang disanjungi beliau dan juga bapanya, S.Thandayuthapani, 50.

“Selalunya saya hanya dapat melihat Tun Dr Mahathir berucap di televisyen sahaja tetapi malam ini saya dapat tahu beliau akan hadir di majlis ini, jadi saya dan dua lagi rakan tidak melepaskan peluang datang ke sini,” katanya yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.

Turut berkongsi pendapat sama, Sandra Tai Seow Joh, 40, dari Melaka Baru yang berkata beliau dan suami, Yeoh Joo Heng, 40, teruja hadir ke majlis itu untuk melihat pemimpin nombor satu negara itu berucap secara dekat.

“Beliau seorang yang sangat kuat bekerja untuk negara sehingga sekarang dan kami teruja untuk melihat beliau secara dekat,” katanya. -BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini amat bermakna bermula di Melaka

MELAKA, 2 OGOS: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang menjadi amat bermakna pada tahun ini kerana ia bermula di Melaka.

Beliau berkata ini memandangkan negeri berkenaan pernah menyaksikan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan negara.

Beliau berkata untuk itu, Melaka dipilih sebagai lokasi Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, esok.

“Melaka jadi tempat pilihan kita kerana kalau ingat kembali sejarah Tunku Abdul Rahman, bila kembali (ke tanah air daripada London) dengan berita kita akan capai kemerdekaan, (diumumkan tarikhnya) di Melaka. Ini pentingnya kita pilih Melaka tempat kita lancar Bulan Kebangsaan dan kempen Jalur Gemilang tahun ini, dan ia amat bermakna untuk kita mulakan acara Bulan Kebangsaan ini di Melaka,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa selama kira-kira lebih satu jam bagi meninjau persiapan sambutan pelancaran itu yang akan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Roselindawati Abdul Rahman.

Mengenai persiapan pelancaran, Gobind yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 menzahirkan rasa berpuas hati dan menyifatkan esok merupakan hari yang penting buat semua.

“Semua berjalan lancar di mana kita akan lancar kempen Jalur Gemilang dan ini satu permulaan sambutan Bulan Kebangsaan, dan selepas ini kita adakan acara sambutan kemerdekaan kita pada 31 Ogos di Putrajaya dan 16 Sept iaitu Hari Malaysia di Kuching, Sarawak.

“Esok permulaan rai bulan kebangsaan. Saya sangat berpuas hati dan saya lihat banyak yang telah dilaksanakan dan saya ucap terima kasih pada semua yang jayakan projek ini,” katanya.

Gobind dalam pada itu menyeru orang ramai supaya hadir bersama-sama meraikan majlis pelancaran berkenaan esok.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia di kawasan Melaka dan sekitar, yang dekat jauh, ayuh kita bersama-sama menjayakan acara ini,” katanya sambil menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Sementara itu, Gobind ketika ditanya mengenai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ semasa berlintas langsung bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini berkata: “kita mengatakan ini adalah Malaysia Baharu dan satu lagi perkara yang kita beri penekanan adalah bagaimana kita pastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih daripada rasuah.”

“Dalam satu tahun yang pertama, kita lihat bagaimana kita telah melaksanakan beberapa perkara yang penting, yang menunjukan bahawa kami komited kepada yang disebut sebagai Malaysia Bersih. Jadi semua ahli-ahli Parlimen misalnya mempromosi deklarasi berkenaan, kemudian kes-kes dikatakan berlakunya rasuah dan sebagainya tindakan telah pun diambil.

“Ia sangat penting kalau kita ingin wujudkan satu Malaysia yang baharu…saya rasa soal integriti sangat penting,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persiapan pelancaran bulan kebangsaan, kibar Jalur Gemilang lancar

MELAKA, 2 OGOS: Kerajaan negeri kini sedang giat mempersiapkan lokasi bagi pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang dijadual malam esok di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, persiapan majlis yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjalan lancar dan mendapat kerjasama serta komitmen daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan dan agensi kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebanyak 25 ruang pameran disediakan sepanjang program selama tiga hari itu bagi memudahkan maklumat dan informasi mengenai program serta inisiatif kerajaan disalurkan kepada rakyat.

“Saya telah meninjau persiapan dan mendapatkan maklumat perjalanan program yang bakal berlangsung terutama acara kemuncak malam perasmian… Melaka telah bersedia menjadi tuan rumah dan menjayakan acara pada kali ini.

“Pemilihan Melaka kerana sejarah negeri dan Malaysia bermula di sini… ia amat penting dalam menerapkan semangat kemerdekaan kepada generasi muda terutamanya dalam era Malaysia Baharu, iaitu bukan kita melupakan sejarah tetapi Malaysia Baharu ialah kita menjiwai sejarah itu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas meninjau persiapan di sini, lewat malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Roselindawati Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Mohd Rizal Hashim.

Pelbagai acara menarik dirancang bermula hari ini sehingga 4 Ogos dengan pelbagai aktiviti termasuk program keagamaan, Konvoi Kembara Jalur Gemilang, pameran ‘Caring Bridge’, karnival trak makanan, dan jualan My Best Buy oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Raptai pelancaran dijadual berlangsung 8 malam ini dan setakat ini beberapa khemah seperti khemah VIP, VVIP dan pentas persembahan telah siap dipasang.

Pagi esok program dimulakan dengan Larian Merdeka dan senamrobik manakala Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 diadakan pada sebelah malam diikuti dengan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, serta konsert ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang menampilkan persembahan artis-artis tanahair serta pertunjukan bunga api. – BERNAMA