Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Kapal angkasa terbaharu misi mendarat di bulan diperkenal

GLOBAL 6 OKT: Syarikat aeroangkasa, Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin memperkenalkan kapal angkasa terbaharu yang boleh mendarat di permukaan bulan.

Syarikat itu turut merancang menghantar angkasawan ke bulan buat pertama kali sejak 1972 sebagai langkah awal untuk menerokai Marikh, iaitu sebahagian daripada dasar rasmi AS yang ditetapkan oleh Presidennya, Donald Trump.

Bagi merealisasikan matlamat ini, Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) meminta pengeluar industri angkasa lepas membentangkan rancangan membina sebuah stesen angkasa lepas yang mengelilingi bulan, dikenali sebagai Lunar Gateway dan juga kapal angkasa yang akan mendarat di bulan.

Stesen angkasa lepas itu dirancang dibina dengan bantuan negara-negara lain pada 2020-an dan mampu memuatkan empat orang menjelang 2026, mengikut kalender NASA pada Ogos lalu.

Kapal angkasa Lockheed Martin direka untuk berulang-alik di antara permukaan Bulan dan mengorbit Lunar Gateway itu diperkenalkan ketika Kongres Angkasawan Sedunia di Bremen, Jerman.

Kapal angkasa itu boleh memuatkan empat penumpang, membawa satu tan peralatan dan boleh tinggal di bulan sehingga dua minggu tanpa mengisi semula minyak sebelum kembali ke stesen.

Secara kasarnya, kapal ang­kasa berkaki empat itu kelihatan seperti kapal angkasa digunakan angkasawan pertama yang berjalan ke bulan pada 1969 tetapi versinya lebih tinggi.

Sebelum itu, NASA mahu menghantar angkasawan me­nge­lilingi Bulan selama lapan hari pada 2023 dengan menaiki kapal angkasa The Orion, kapal angkasa keluaran Lockhee Martin.

Kapal angkasa tersebut akan dihantar ke angkasa lepas menggunakan Sistem Pelancaran Ang­kasa Lepas (SLS), masih dalam pembinaan dan direka agar menjadi roket paling berkuasa pernah dibina.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Penemuan gua 50km panjang di bulan buka lembaran baru penerokaan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 22 OKT: Saintis dan masyarakat dunia sudah berimaginasi dan berfantasi untuk mendiami bulan melalui penjelajahan sejak berabad lama.

Namun impian besar itu bakal menjadi realiti dengan penemuan gua di bulan yang berkemungkinan besar sesuai dijadikan tempat perlindungan.

Gua berukuran 50 kilometer panjang dan 100 meter lebar ditemui pasukan saintis angkasa lepas Jepun melalui pengesahan imej satelit Selena milik Jepun.

Penemuan kewujudan gua di bulan itu berpotensi dijadikan sebagai tempat perlindungan kepada angkasawan daripada radiasi berbahaya dan perubahan cuaca ekstrem.

Gua berkenaan dipercayai merupakan saluran lava yang terbentuk melalui aktiviti gunung berapi sekitar 3.5 bilion tahun lalu.

Penemuan penting dan bermakna itu turut diterbitkan dalam majalah sains terkemuka Amerika Syarikat (AS), Geophysical Research Letters.

Para saintis di Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (Jaxa) mengesahkan kehadiran sebuah gua selepas memeriksa lubang itu menggunakan gelombang radio.

Jurang yang panjangnya 50km (31 batu) dan lebar 100 meter, nampaknya berstruktur dan batuannya mungkin mengandungi deposit ais atau air yang boleh diubah menjadi bahan bakar, menurut data yang dikembalikan oleh orbiter, yang diberi nama Kaguya.

Penyelidik Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun, Junichi Haruyama berkata, gua terletak di kawasan Banjaran Marius itu dapat membantu melindungi angkasawan ketika berdepan masalah perubahan cuaca ekstrem atau radiasi berbahaya yang sering berlaku di permukaan bulan.

“Kami tahu mengenai lokasi yang dikenali sebagai saluran lava ini tetapi kewujudannya belum disahkan sehingga sekarang. Kami masih belum melihat bahagian dalam gua itu, jadi ada harapan yang tinggi untuk mendapatkan lebih banyak maklumat selepas menerokanya,” katanya.

Pada Jun lalu, Jepun mendedahkan rancangan untuk menghantar angkasawan ke bulan pada 2030.

Jepun dijangka menyertai misi yang dipimpin Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) pada tahun 2025 untuk membina stesen angkasa di orbit bulan, sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang agensi itu meneroka planet Marikh.

NASA dan agensi-agensi angkasa global lain termasuk di China dan India kini dilaporkan berusaha untuk menjayakan misi menghantar angkasawan ke planet Marikh yang dijangka dimulakan menjelang 2030.

=EZY=