Categories
GLOBAL

Operasi menyelamat berjaya, tiada lagi mangsa terperangkap

BANGKOK 11 JUL: Semua 12 budak lelaki dan jurulatih mereka berjaya diselamatkan setelah terperangkap di dalam sebuah gua dibanjiri air selama lebih dua minggu di utara Thailand, kata pasukan khas tentera laut, SEAL semalam sekali gus mengakhiri misi menyelamat sukar yang menjadi tumpuan dunia.

Unit SEAL Thai dan penyelam elit asing mengeluarkan kumpulan terakhir terdiri daripada empat budak lelaki dan jurulatih mereka yang berumur 25 tahun tengah hari semalam melalui laluan sempit dan dipenuhi air.

“Kesemua anggota pasukan bola sepak Mu Ba (Babi Hutan) telah dikeluarkan dari gua tersebut,” kata unit SEAL dalam status di laman Facebooknya.

Kumpulan 12 budak lelaki itu yang berumur antara 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka, masuk ke Gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai pada 23 Jun lepas selepas sesi latihan bola sepak.

Mereka terperangkap apabila hujan lebat mengakibatkan gua itu dilanda air banjir.

Kumpulan itu terkandas selama sembilan hari dalam suasana gelap-gelita sehinggalah ditemui oleh dua penyelam Britain.

Bagaimanapun, kegembiraan berikutan penemuan tersebut segera padam ekoran pihak berkuasa sukar merancang pelan selamat untuk mengeluarkan mereka.

Kumpulan itu berada di sebuah tebing sejauh empat kilometer dari pintu gua, manakala pasukan penyelamat terpaksa me­nempuh laluan sempit, berliku dan berbahaya selama lima jam untuk sampai dengan ketua operasi menyelamat pernah me­nganggap usaha mengeluarkan mereka sebagai ‘misi mustahil’.

Usaha menyelamat di Gua Tham Luang itu turut menerima sokongan daripada selebriti di seluruh dunia seperti Pre­siden Amerika Syarikat, Donald Trump, bintang bola sepak, Lio­nel Messi dan taikun teknologi, Elon Musk.

Sementara itu, pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada kesan fizikal dan mental tragedi tersebut terhadap kumpulan kanak-kanak berkenaan.

Pakar-pakar sebelum ini memberi amaran bahawa perbuatan meminum air gua yang tercemar atau terdedah kepada najis burung dan kelawar di dalam gua itu boleh menyebabkan jangkitan berbahaya.

Mereka juga menyatakan bahawa kumpulan itu memerlukan kaunseling untuk menangani trauma psikologi akibat terperangkap sebegitu lama tanpa pasti sama ada mereka akan hidup ataupun sebaliknya.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Gua Tham Luang: Enam mangsa selamat dikeluarkan

BANGKOK 8 JUL: Seramai enam mangsa remaja terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, telah berjaya dikeluarkan setakat ini.

Terdahulu, dua mangsa pertama remaja tersebut telah berjaya dikeluarkan pada jam 7 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Dua remaja tersebut dirawat lebih awal di hospital lapangan berdekatan gua tersebut, sebelum dipindahkan ke Hospital Chiang Rai menggunakan helikopter tentera Thailand.

“Kami menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas mereka sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Chiang Rai,” kata Ketua Jabatan Kesihatan Chiang Rai, Tossathep Boonthong, kepada Reuters.

Pihak berkuasa di wilayah utara Chiang Rai memulakan misi berbahaya untuk membawa keluar 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka selepas mereka terperangkap di dalam gua tersebut sejak lebih dua minggi lalu.

Sementara itu, wartawan antarabangsa yang berpangkalan di Bangkok, Florian Witulski telah berkongsi beberapa maklumat mengenai operasi berkenaan.

Menurut Witulski, seorang doktor warga Australia memutuskan untuk membawa remaja yang mempunyai kondisi paling lemah untuk keluar terlebih dahulu.

SUMBER: AGENSI
FOTO: AFP

Categories
GLOBAL

Operasi selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam gua bermula

THAM LUANG, Thailand 8 JUL: Para penyelelam telah memulakan operasi menyelamat untuk mengeluarkan 12 kanak-kanak dan seorang jurulatih mereka yag terperangkap dalam gua di utara Thailand hari ini.

Ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn berkata, misi tersebut bermula pada pukul 10 pagi waktu tempatan dan ia akan mengambil masa berjam lamanya sebelum mangsa pertama dapat dikeluarkan.

Pihak berkuasa Thailand meminta media dan pihak yang tidak berkenaan untuk meninggalkan tapak kem berhampiran pintu masuk gua di mana 12 budak lelaki dan seorang jurulatih terperangkap lebih dua minggu.

Arahan itu dikeluarkan sehari selepas ketua misi menyelamat berkata keadaan semasa dilihat sesuai untuk memulakan kerja mengeluarkan mangsa, terutama kerana bimbang hujan akan merencatkan rancangan itu.

“Semua yang tidak terbabit dengan operasi ini perlu meninggalkan kawasan ini segera. Melihatkan kepada situasi semasa, kami perlu menggunakan kawasan ini untuk membantu mangsa,” kata polis.

Polis memberi tempoh sehingga jam 9 pagi ini untuk mereka mengosongkan kawasan itu.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada usaha untuk membawa mangsa keluar dengan menyelam sejauh beberapa kilometer di dalam sistem gua Tham Luang di utara Thailand sudah bermula.

Awal minggu lalu, ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn berkata semua budak lelaki itu masih belum bersedia untuk melakukannya, namun semalam beliau melihat ada peluang untuk mereka mencuba.

“Dalam masa tiga hingga empat hari ini, keadaan semasa paras air, cuaca dan kesihatan kumpulan remaja itu sesuai untuk mengeluarkan mereka,” kata Narongsak kepada wartawan.

Hujan yang berterusan akan menyebabkan air naik ke paras tempat duduk kumpulan itu, sekali gus menyempitkan ruang sehingga kurang daripada 10 meter persegi,” tambahnya memetik laporan dari penyelam dan pakar gua.

Kematian seorang bekas anggota Tentera Laut unit SEAL Thailand yang kehabisan bekalan oksigen Jumaat lalu menjelaskan betapa berisiko perjalanan itu walau untuk seorang professional.

Pasukan bola sepak remaja Wild Boar terperangkap di dalam gua Tham Luang sejak 23 Jun lalu apabila air naik mendadak dan membanjiri sistem gua.

SUMBER: REUTERS / AFP

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Penemuan gua 50km panjang di bulan buka lembaran baru penerokaan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 22 OKT: Saintis dan masyarakat dunia sudah berimaginasi dan berfantasi untuk mendiami bulan melalui penjelajahan sejak berabad lama.

Namun impian besar itu bakal menjadi realiti dengan penemuan gua di bulan yang berkemungkinan besar sesuai dijadikan tempat perlindungan.

Gua berukuran 50 kilometer panjang dan 100 meter lebar ditemui pasukan saintis angkasa lepas Jepun melalui pengesahan imej satelit Selena milik Jepun.

Penemuan kewujudan gua di bulan itu berpotensi dijadikan sebagai tempat perlindungan kepada angkasawan daripada radiasi berbahaya dan perubahan cuaca ekstrem.

Gua berkenaan dipercayai merupakan saluran lava yang terbentuk melalui aktiviti gunung berapi sekitar 3.5 bilion tahun lalu.

Penemuan penting dan bermakna itu turut diterbitkan dalam majalah sains terkemuka Amerika Syarikat (AS), Geophysical Research Letters.

Para saintis di Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (Jaxa) mengesahkan kehadiran sebuah gua selepas memeriksa lubang itu menggunakan gelombang radio.

Jurang yang panjangnya 50km (31 batu) dan lebar 100 meter, nampaknya berstruktur dan batuannya mungkin mengandungi deposit ais atau air yang boleh diubah menjadi bahan bakar, menurut data yang dikembalikan oleh orbiter, yang diberi nama Kaguya.

Penyelidik Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun, Junichi Haruyama berkata, gua terletak di kawasan Banjaran Marius itu dapat membantu melindungi angkasawan ketika berdepan masalah perubahan cuaca ekstrem atau radiasi berbahaya yang sering berlaku di permukaan bulan.

“Kami tahu mengenai lokasi yang dikenali sebagai saluran lava ini tetapi kewujudannya belum disahkan sehingga sekarang. Kami masih belum melihat bahagian dalam gua itu, jadi ada harapan yang tinggi untuk mendapatkan lebih banyak maklumat selepas menerokanya,” katanya.

Pada Jun lalu, Jepun mendedahkan rancangan untuk menghantar angkasawan ke bulan pada 2030.

Jepun dijangka menyertai misi yang dipimpin Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) pada tahun 2025 untuk membina stesen angkasa di orbit bulan, sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang agensi itu meneroka planet Marikh.

NASA dan agensi-agensi angkasa global lain termasuk di China dan India kini dilaporkan berusaha untuk menjayakan misi menghantar angkasawan ke planet Marikh yang dijangka dimulakan menjelang 2030.

=EZY=