Categories
AGENSI SELANGOR

Caruman Perkeso naikkan semangat guru Kafa terus bertugas

SHAH ALAM, 31 OKT: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan dapat meningkatkan semangat guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) untuk mendidik pelajar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata komitmen tinggi serta sikap bersungguh ditunjukkan guru akan melahirkan ummah terbaik selaras misi dan visi agensi itu.

“Jais harap guru meningkatkan kemahiran mendidik, terus mencuba menjadi yang baik dan berkesan, berdisiplin, menjaga masa serta bersemangat dalam bekerja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Dato’ Menteri Besar atas keprihatinan menjaga kebajikan serta masa depan guru Kafa negeri ini.

“Berita ini merupakan langkah terbaik dan pastinya menggembirakan semua guru Kafa,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.1 juta bagi mencarum 4,200 guru Kafa.

Categories
EXCO SELANGOR

Caruman Perkeso guru Kafa, jaminan jika ditimpa musibah

SHAH ALAM, 31 OKT: Caruman Perlindungan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi manfaat kepada 4,200 guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor jika mereka ditimpa musibah

EXCO hal ehwal agama Islam berkata status mereka juga akan dijadikan kontrak untuk perkhidmatan (CFS) bagi melayakkan mereka menerima pembiayaan kesihatan dan kebajikan itu.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju menimbang dan meluluskan pertambahan kadar caruman sebagaimana ditetapkan Perkeso dari semasa ke semasa,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan semalam.

Dalam Belanjawan Selangor 2021, sebanyak RM1.1 juta diperuntuk kepada guru Kafa untuk menerima caruman majikan Perkeso mulai tahun depan.

Mohd Zawawi menjelas guru Kafa yang menerima elaun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menikmati keistimewaan caruman Perkeso sejak 2019.

“Kerajaan Negeri berpandangan guru-guru Kafa di Selangor juga wajar mendapat keistimewaan perlindungan Perkeso yang sama,” katanya.