Categories
AGENSI SELANGOR

Caruman Perkeso naikkan semangat guru Kafa terus bertugas

SHAH ALAM, 31 OKT: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan dapat meningkatkan semangat guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) untuk mendidik pelajar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata komitmen tinggi serta sikap bersungguh ditunjukkan guru akan melahirkan ummah terbaik selaras misi dan visi agensi itu.

“Jais harap guru meningkatkan kemahiran mendidik, terus mencuba menjadi yang baik dan berkesan, berdisiplin, menjaga masa serta bersemangat dalam bekerja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Dato’ Menteri Besar atas keprihatinan menjaga kebajikan serta masa depan guru Kafa negeri ini.

“Berita ini merupakan langkah terbaik dan pastinya menggembirakan semua guru Kafa,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.1 juta bagi mencarum 4,200 guru Kafa.