Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais sedia tanggung kos pengebumian jika waris tidak mampu

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersedia menampung kos pengebumian mangsa Covid-19 sekiranya waris tidak berkemampuan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihak hospital boleh berhubung dengan Jais jika berlaku kes sedemikian ketika menguruskan jenazah.

“Namun, setakat ini kita lihat rata-ratanya waris masih mampu untuk bayar tetapi jika ada, pihak hospital boleh hubungi saya dan kita akan bantu,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Pengurusan Jenazah Covid-19 di Selangor yang disiarkan di YouTube SelangorTV malam tadi.

Pada 2 Ogos, Jais memaklumkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Mohd Shahzihan berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu.

Sementara itu, beliau turut meminta masyarakat agar tidak menyelar agensi terbabit yang didakwa lewat dalam menguruskan jenazah mangsa Covid-19.

“Kita hanya akan mengurus jenazah yang telah dilepaskan hospital kepada kita dan Jais juga hanya mengurus jenazah secara harian dan bukan lambakan,” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sekolah dibuka semula 20 Januari, Jais minta semua ikut SOP

SHAH ALAM, 5 JAN: Semua sekolah agama negeri ini diingatkan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) susulan pembukaan semula institusi itu bermula 20 Januari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata langkah berjaga-jaga perlu diambil berikutan semua daerah negeri ini masih dikategorikan zon merah Covid-19.

“Kita tahu ramai tidak sabar untuk kembali ke sekolah, namun jangan leka dan terus patuh SOP bagi mengekang penularan wabak.

“Justeru, saya minta guru dan ibu bapa sentiasa ingatkan anak-anak untuk mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi.

Pada 31 Disember 2020, perdana menteri mengumumkan sesi persekolahan bermula 20 Januari mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan tersebut dibuat kerana ramai ibu bapa bimbang anak mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Jais lulus hampir 3,000 pasangan bernikah hingga Disember

SHAH ALAM, 3 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meluluskan 2,938 permohonan kebenaran bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 30 November sehingga 31 Disember tahun ini.

Pengarahnya berkata permohonan tertinggi diterima dari daerah Petaling iaitu 659 diikuti Hulu Langat (541), Gombak (417) dan Klang (398).

“Sebanyak 283 permohonan pula diperoleh dari Sepang, Kuala Langat (190), Hulu Selangor (185), Kuala Selangor (135) serta Sabak Bernam (130),” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Jais mengeluarkan 3,197 kebenaran berkahwin dari 14 Oktober sehingga 11 November lalu dengan lima akad nikah dibenarkan dalam satu hari pada Isnin hingga Jumaat.

Bagaimanapun, jabatan itu mula membenarkan 20 majlis akad nikah dilangsungkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri ini sejak pertengahan November mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Upacara dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dibenarkan dengan kehadiran tiga orang melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan serta wali.

Kebenaran itu tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Upacara nikah kekal di pejabat agama seluruh negeri

SHAH ALAM, 29 NOV: Upacara akad nikah kekal dilangsungkan di pejabat agama Islam daerah (Paid) seluruh negeri sehingga ketetapan baharu dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata ketetapan dibuat berdasarkan perkembangan semasa Covid-19 termasuk pandangan agensi berkaitan.

Justeru, Mohd Shahzihan Ahmad meminta pasangan yang mahu disatukan supaya bersabar kerana peraturan baharu akan dilaksana secara berperingkat.

“Perkara ini melibatkan perbincangan banyak pihak dan Jais tidak boleh membuat keputusan sendiri. Bagaimanapun, sebarang keputusan akan dikuatkuasakan oleh Jais.

“Orang ramai juga jangan salah faham kerana sesetengah negeri pembuat keputusannya adalah jabatan mufti dan majlis agama,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Berkuat kuasa pertengahan bulan ini, jabatan itu membenarkan 20 upacara akad nikah berlangsung dalam tempoh sehari di pejabat agama seluruh Selangor mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Upacara dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dibenarkan dengan kehadiran tiga orang melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan serta wali.

Kebenaran itu tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Umat Islam digalak bermunajat, mohon bantuan hadapi Covid-19

SHAH ALAM, 8 NOV: Umat Islam diminta bermuhasabah dengan meningkat amal soleh serta memohon bantuan Allah SWT dalam berdepan virus Covid-19 ketika ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata surah Yasin, doa Qunut Nazilah, zikir munajat dan doa menolak bala digalakkan dibaca selepas fardhu Isyak.

“Jais turut menetapkan aktiviti ini dilakukan pentadbiran semua masjid dan surau.

“Siaran langsung bacaan doa dan zikir munajat juga dibuat di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah setiap Isnin dan Khamis bagi membolehkan umat Islam melakukannya di rumah masing-masing bersama keluarga,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, teks zikir munajat serta doa untuk dijadikan rujukan boleh dimuat turun di laman sesawang www.jais.gov.my atau e-masjid.jais.gov.my.

“Semoga dengan usaha ini akan membolehkan aktiviti masjid dan surau negeri ini dapat dijalankan seperti biasa,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais beri kebenaran nikah 3,197 pasangan sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 3,197 pasangan mendapat kebenaran nikah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) antara 14 Oktober hingga 3 November.

Pengarahnya berkata kebenaran tertinggi ialah Petaling iaitu 917, Hulu Langat (708), Gombak (530), Klang (414) dan Hulu Selangor (182).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sepang pula seramai 171 pasangan, Kuala Langat (155), Kuala Selangor (84) dan Sabak Bernam (36).

“Kita jangka jumlahnya akan terus meningkat. Dalam tempoh sama, seramai 1,750 pasangan sudah bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing,” katanya menambah pasangan boleh menjalani upacara itu sehingga 31 Disember.

Bermula 2 November, Jais membenarkan upacara akad nikah di pejabat agama seluruh negeri dengan menetapkan beberapa syarat.

Syarat tersebut ialah:

1. Pemohon lelaki dan perempuan mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari Paid

2. Hanya tiga orang dibenarkan hadir iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali

3. Hanya lima upacara akad nikah dibenar dalam satu hari, dari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja)

4. Kebenaran diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri

5. Waktu pelaksanaan akad nikah antara 9 pagi hingga 4 petang

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Caruman Perkeso naikkan semangat guru Kafa terus bertugas

SHAH ALAM, 31 OKT: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan dapat meningkatkan semangat guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) untuk mendidik pelajar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata komitmen tinggi serta sikap bersungguh ditunjukkan guru akan melahirkan ummah terbaik selaras misi dan visi agensi itu.

“Jais harap guru meningkatkan kemahiran mendidik, terus mencuba menjadi yang baik dan berkesan, berdisiplin, menjaga masa serta bersemangat dalam bekerja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Dato’ Menteri Besar atas keprihatinan menjaga kebajikan serta masa depan guru Kafa negeri ini.

“Berita ini merupakan langkah terbaik dan pastinya menggembirakan semua guru Kafa,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.1 juta bagi mencarum 4,200 guru Kafa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benarkan akad nikah di pejabat agama bermula Isnin

SHAH ALAM, 30 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan upacara akad nikah di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) seluruh negeri bermula 2 November.

Pengarahnya berkata kelonggaran itu berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor sehingga 9 November.

Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan upacara itu boleh dilaksana dengan kehadiran dan jumlah janji temu terhad bermula 9 pagi hingga 4 petang.

“Kebenaran tertakluk kepada syarat pemohon lelaki dan perempuan telah mendapat kebenaran berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dari Paid.

Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Mesra Media Jais di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 21 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Hanya tiga orang dibenarkan hadir iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali, manakala hanya lima upacara dibenar dalam satu hari dari Isnin sehingga Jumaat (hari bekerja),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menjelaskan kebenaran tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Beliau berkata cadangan upacara akad nikah yang mendapat kebenaran dari ketua pendaftar nikah, cerai dan rujuk sahaja akan diterima untuk dilaksana di pejabat agama.

“Janji temu bagi upacara akad nikah boleh dibuat dengan menghubungi Paid untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” kata beliau lagi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 35,000 ikuti Selangor Berselawat secara langsung

SHAH ALAM, 29 OKT: Program Selangor Berselawat semalam sempena Maulidur Rasul 1442H mendapat sambutan menggalakkan apabila diikuti lebih 35,000 pelayar internet.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata program secara langsung menerusi Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut diadakan di rumah ibadat dibenarkan.

“Alhamdulillah program berjalan dengan baik seperti dirancang. Masjid dan surau juga mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sementara lebih 35,000 mengikutinya di Facebook,” kata Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan konsep siaran langsung secara maya mungkin diteruskan untuk program lain dan atur cara akan ditambah walaupun masjid dan surau dibuka semula selepas ini.

Program Selangor Berselawat dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat hajat, berselawat, bermunajat dan ceramah agama.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pernikahan di pejabat agama Klang ditangguhkan mulai esok – Jais

SHAH ALAM, 11 OKT: Pernikahan pasangan pengantin mukim Klang dan Kapar yang dijadualkan di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Klang ditangguhkan berkuat kuasa esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata ia membabitkan temu janji pernikahan dibuat sebelum atau pada 7 Oktober lalu.

“Tindakan ini berikutan penangguhan semua aktiviti di masjid dan surau seluruh Klang yang telah dikuatkuasakan pada 7 Oktober ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jumaat lalu.

“Temu janji akad nikah semua pasangan akan dijadualkan semula dan perkembangan semasa akan dimaklumkan,” kata Mohd Shahzihan Ahmad menerusi kenyataan.

Semalam Jais menetapkan beberapa syarat pelaksanaan akad nikah di daerah Klang sepanjang tempoh PKPB.

Antaranya mewajibkan pasangan mendapat kebenaran nikah melaksanakan upacara tersebut di Paid Klang serta hanya pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali sahaja dibenarkan hadir.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jais tangguh operasi sekolah kelolaannya di Petaling bermula esok

SHAH ALAM, 11 OKT: Operasi sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di daerah Petaling ditangguhkan dua minggu bermula esok ekoran peningkatan kes Covid-19.

Pengarahnya berkata sepanjang tempoh itu pengetua, guru besar dan ketua guru akan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan di rumah mengikut kesesuaian.

“Jais sentiasa memantau situasi di Selangor dan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung keadaan semasa.

“Penangguhan ini akan terus berkuat kuasa sehingga terdapat arahan lain. Ia dibuat demi menjaga kemaslahatan pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat umum,” kata Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan.

Hari ini, KPM memutuskan penutupan 298 sekolah merangkumi peringkat rendah, menengah serta swasta yang berdaftar dengan pihaknya di seluruh Petaling mulai esok hingga 25 Oktober susulan daerah itu menjadi zon merah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais nikahkan 118 pasangan pengantin sebelum PKPB Klang bermula

SHAH ALAM, 9 OKT: Seramai 118 pasangan pengantin dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Klang dinikahkan semalam, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata akad nikah dijalankan di Pejabat Agama Islam Daerah Klang bermula pagi semalam hingga 12 tengah malam.

“Jais menyediakan lima jurunikah dan proses tidak mengambil masa panjang. Hanya khutbah nikah pendek dibacakan.

“Akad nikah masih ditetapkan di masjid sahaja. Apabila aktiviti di masjid ditangguhkan susulan PKPB, maka urusan pernikahan dilakukan di pejabat agama daerah,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata semua pasangan itu sepatutnya bernikah dalam tempoh dua minggu sebelum PKPB diumumkan kelmarin.

“Pejabat agama daerah diminta untuk bersedia berdepan situasi ini selepas kerajaan memutuskan PKPB di Klang. Kita memang jangka ramai pasangan akan datang bernikah,” katanya.

 

Gambar yang tular di media sosial milik jurufoto perkahwinan, Sheik Ameer Haziq mengenai kehadiran ramai pasangan pengantin di pejabat agama Klang pada 8 Sept 2020.

 

Semalam, tular di media sosial gambar milik seorang jurufoto perkahwinan, Sheik Ameer Haziq mengenai kehadiran ramai pasangan pengantin di pejabat agama Klang.

Bermula hari ini hingga 23 Oktober, sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang terlibat PKPB susulan peningkatan kes Covid-19.

Semua pernikahan berlangsung sebelum pengumuman menteri kanan (keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan majlis perkahwinan di kawasan yang dikenakan PKPB boleh diteruskan.