Categories
NASIONAL

Tubuh Badan Audit Halal Profesional segera, elak keraguan status halal

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JUN: Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan mewujudkan segera Badan Audit Halal Profesional supaya berfungsi mengenalpasti sebarang produk tidak halal secara berterusan.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata badan terbabit boleh dilantik di kalangan ahli akademik, profesional, pengilang, badan pengguna, ahli perniagaan dan individu yang mahir dalam hal terbabit.

Katanya, pendekatan itu diambil supaya pengguna tidak ragu akan status halal seterusnya yakin terhadap kredibiliti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

yahya shari 01Langkah itu dicadangkan ekoran isu halal kembali diperdebatkan ekoran penemuan DNA babi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam produk coklat terkenal Cadbury.

JAKIM dalam siasatannya kemudian mengesahkan produk berkenaan tidak mengandungi DNA berkenaan dan halal dimakan penganut agama Islam.

“Jadi, langkah itu perlu diambil kerana ketika ini pengguna masih dalam keadaan ragu-ragu dengan produk syarikat itu. Pengguna juga ragu dengan keupayaan JAKIM,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya berkata, badan audit itu boleh melakukan ujian pensampelan mengikut tempoh tertentu supaya semua syarikat pengeluar makanan mematuhi peraturan sijil halal.

“Contoh, syarikat Cadbury. Kita tahu KKM mengambil sampel coklat pada Februari lalu dan didapati mengandungi DNA babi. Namun, baru-baru ini JAKIM pula sahkan tiada DNA babi selepas ujian dijalankan.

cadburrybab“Itu menimbulkan keraguan. Adakah perkara ini dijamin tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang, sebab itu kita mahu badan ini bertindak setiap masa,” katanya.

Beliau berkata, tugas pemantauan badan audit itu boleh dilakukan secara menyeluruh daripada proses bahan hingga pembungkusan.

“Biar syarikat mematuhi kaedah yang sama ketika permohonan sijil halal dibuat,” katanya.

Ketika ini, JAKIM mempunyai kumpulan audit yang akan melakukan pemeriksaan di kilang bagi melihat pengurusan, penyimpanan bahan mentah dan pengeluaran makanan, namun hanya dilakukan sebelum sijil halal dikeluarkan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

FOMCA: Coklat Cadbury ada DNA babi, kenapa KKM tunggu 3 bulan baru nak umum?

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 26 MEI : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) patut memaklumkan segera berhubung pengesanan DNA babi dalam produk Cadbury kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bukan menunggu hampir tiga bulan.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sepatutnya KKM bertindak pantas memaklumkan segera kerana pemeriksaan makmal yang dilakukan itu ialah pada 27 Februari.

heroNutBlocksKatanya, tindakan KKM yang lambat memaklumkan perkara itu melanggar isu sensiviti umat Islam yang membabitkan soal halal dan haram.

“Kita perlu diperjelaskan mengapa KKM mengambil masa yang lama untuk dihebohkan? Pengguna hanya tahu selepas dihebohkan di internet dan media massa, mengapa isu ini disenyapkan?,” soalnya ketika dihubungi Selangor Kini.

Yusof berkata kredibiliti pihak Jakim turut tercalar dalam isu terbabit seterusnya mendedahkan kelemahan-kelemahan pihak berkenaan yang terbabit.

“Kita sebelum ini yakin dengan logo halal. Jika sebelum ini, kita cuma rasa selamat dan yakin apabila sesuatu produk mempunyai logo halal. Suka atau terpaksa kita terpaksa percaya.

FOMCA“Namun, disebabkan perkara ini, kita tentu meraguinya. Di Malaysia, banyak produk coklat yang diimport negara luar, sudah tentu kita perlu berhati-hati,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak Jakim perlu melakukan siasatan dan analisa menyeluruh dalam isu itu supaya dapat mengenal pasti punca sebenar.

“Apabila timbul isu ini, ia perlu siasatan menyeluruh terhadap seluruh produk syarikat itu.

“Bagaimana produk yang ada DNA babi boleh terlepas ke pasaran?, dan ia berpunca daripada proses di kilang atau bahan dalam ramuan yang dibekalkan kepada syarikat Cadbury?,” katanya.

Beliau berkata pihak berwajib perlu membuat pemantauan rapi seperti KPDNKK yang boleh mengambil tindakan terhadap produk itu kerana Jakim hanya boleh menarik sijil halal sahaja.

Selain itu, Yusof menasihati pengguna supaya menghentikan pembelian produk coklat Cadbury walaupun hanya terdapat dua produk sahaja.

Katanya, ia kerana status halal kesemua produk syarikat terbabit diragui dan bimbang kerana syarikat terbabit mengeluarkan banyak produk coklat.

“Jakim juga perlu melihat balik kesemua produk syarikat itu kerana ia diragui tidak halal,” katanya.

Sebelum ini,Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel produk coklat berjenama Cadbury iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

Ekoran itu, Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi bahan terbabit.

EZY