Categories
NASIONAL

Tubuh Badan Audit Halal Profesional segera, elak keraguan status halal

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JUN: Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan mewujudkan segera Badan Audit Halal Profesional supaya berfungsi mengenalpasti sebarang produk tidak halal secara berterusan.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata badan terbabit boleh dilantik di kalangan ahli akademik, profesional, pengilang, badan pengguna, ahli perniagaan dan individu yang mahir dalam hal terbabit.

Katanya, pendekatan itu diambil supaya pengguna tidak ragu akan status halal seterusnya yakin terhadap kredibiliti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

yahya shari 01Langkah itu dicadangkan ekoran isu halal kembali diperdebatkan ekoran penemuan DNA babi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam produk coklat terkenal Cadbury.

JAKIM dalam siasatannya kemudian mengesahkan produk berkenaan tidak mengandungi DNA berkenaan dan halal dimakan penganut agama Islam.

“Jadi, langkah itu perlu diambil kerana ketika ini pengguna masih dalam keadaan ragu-ragu dengan produk syarikat itu. Pengguna juga ragu dengan keupayaan JAKIM,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Yahya berkata, badan audit itu boleh melakukan ujian pensampelan mengikut tempoh tertentu supaya semua syarikat pengeluar makanan mematuhi peraturan sijil halal.

“Contoh, syarikat Cadbury. Kita tahu KKM mengambil sampel coklat pada Februari lalu dan didapati mengandungi DNA babi. Namun, baru-baru ini JAKIM pula sahkan tiada DNA babi selepas ujian dijalankan.

cadburrybab“Itu menimbulkan keraguan. Adakah perkara ini dijamin tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang, sebab itu kita mahu badan ini bertindak setiap masa,” katanya.

Beliau berkata, tugas pemantauan badan audit itu boleh dilakukan secara menyeluruh daripada proses bahan hingga pembungkusan.

“Biar syarikat mematuhi kaedah yang sama ketika permohonan sijil halal dibuat,” katanya.

Ketika ini, JAKIM mempunyai kumpulan audit yang akan melakukan pemeriksaan di kilang bagi melihat pengurusan, penyimpanan bahan mentah dan pengeluaran makanan, namun hanya dilakukan sebelum sijil halal dikeluarkan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.