Categories
AGENDA NASIONAL

MB nafi beri kenyataan kes Covid-19 Selangor tidak kritikal

SHAH ALAM, 15 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kes Covid-19 di Selangor masih belum kritikal.

Beliau menyifatkan penyebaran tangkap layar palsu laporan sebuah portal yang kononnya memetik kenyataannya itu sebagai fitnah semata-mata.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Tangkap layar tersebut adalah tidak benar dan bersifat fitnah,” katanya di Facebook hari ini.

Seluruh negara, termasuk Selangor, menyaksikan kenaikan jumlah jangkitan sejak 7 Julai sehingga melepasi angka 10,000 sejak beberapa hari lalu.

Pada 8 Julai, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangka jumlah kes meningkat susulan pertambahan saringan ketika perintah kawalan ketat di negeri itu dan Kuala Lumpur.

Hari ini beliau memaklumkan jumlah jangkitan meningkat lagi kepada 13,215 kes di seluruh negara berbanding 11,618 kes semalam.

Jumlah jangkitan di Selangor melonjak kepada 6,120 kes berbanding 5,051 kes semalam.

Negeri Sembilan merekodkan jumlah tinggi dengan 1,603 kes, sementara Kuala Lumpur pula 1,499 kes.

Angka di seluruh negara, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan jumlah kes tertinggi masing-masing.

Begitu juga Kedah dan Pulau Pinang yang merekodkan jumlah tertinggi dengan masing-masing 695 dan 509 kes.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Kes Covid-19 Selangor dijangka turun mulai Jun

AMPANG, 11 MEI: Kes Covid-19 di Selangor dijangka turun mulai Jun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jangkaan itu mampu dicapai sekiranya semua pihak tidak alpa dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketika sambutan hari raya.

“Jika kita betul-betul patuh SOP, kesan akibat perayaan itu akan dilihat selepas dua minggu. Jadi, mungkin pada Jun boleh lihat kes Covid-19 turun.

“Kita yakin kerana orang ramai tidak boleh bergerak bebas berikutan aktiviti merentas daerah dan negeri serta ziarah-menziarahi tidak dibenarkan semasa Syawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau saringan Covid-19 di Dewan MPAJ Pandan Indah di sini hari ini.

Menurut wakil rakyat Seri Serdang, pelaksanaan PKP demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bersama.

“Memang ada sedikit kritikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan kerana kita sepatutnya membuat saringan lebih banyak pada awal PKP dulu tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Rakyat muak namun apa pilihan yang kita ada? Kita tunggu vaksin pun belum tiba disebabkan masalah pembekal… ini masalahnya apabila kita (Kerajaan Negeri) ada duit tetapi tak boleh beli,” katanya lagi.

Ketika ini, kes positif Covid-19 di Selangor secara konsisten mencatat empat angka dengan 1,149 yang direkodkan semalam dan 1,328 hari ini.

Categories
SELANGOR

Covid-19: 1,019 kes, tiga kluster baharu, satu kematian di Selangor

SHAH ALAM, 28 APRIL: Sebanyak 759 daripada 1,019 kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini adalah daripada saringan kontak rapat kes positif.

Ketua pengarah kesihatan berkata, 60 kes berpunca daripada kluster-kluster, termasuk 40 daripada tiga kluster baharu.

Kluster baharu berkenaan ialah kluster Jalan Gombak Dua, kluster Jalan Sekinchan dan kluster Leboh Gambus.

“Sebanyak 196 kes pula dikesan daripada lain-lain saringan, empat kes import dan satu kematian membabitkan seorang lelaki di Hospital Sungi Buloh.

“Lelaki berusia 76 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang kronik, strok, dan gout,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatat 3,142 kes dan 15 kematian dalam tempoh 24 jam lepas.

Dalam tempoh sama, 1,822 pesakit sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh 373,397 semuanya.

Categories
SELANGOR

Covid-19 Selangor catat 327 kes baharu, empat kematian

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kes baharu positif Covid-19 di Selangor kekal tiga angka dengan catatan 327 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu sebanyak 224 kes berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Manakala, 77 lagi dikesan daripada lain-lain saringan, 24 dari saringan kluster dan dua kes melibatkan jangkitan luar negara.

“Terdapat dua kluster baharu di negeri itu hari ini iaitu kluster Lorong Dua dan kluster Taman Komersial yang disebabkan jangkitan di tempat kerja,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Menurut beliau empat kematian berlaku di Selangor membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 64 hingga 86 tahun.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut memaklumkan sebanyak 420 kes pulih menjadikan keseluruhan sembuh seramai 115,656.

Keseluruhan kes di Selangor pula berjumlah 117,792 sejak pandemik menular dengan kes aktif 1,801.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor rekod 283 kes baharu Covid-19, terendah sejak Januari

SHAH ALAM, 27 MAC: Sebanyak 283 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini, turun berbanding 478 kes semalam dan terendah sejak Januari.

Ketua pengarah kesihatan berkata majoriti kes berpunca daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat iaitu 203 kes.

“Satu kes mendapat jangkitan dari luar negara dan 79 kes pula daripada lain-lain saringan Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan sebanyak 388 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pulih 112,549.

Katanya, tiada kematian dicatat menjadikan ia kekal dengan 324 manakala terdapat 1,668 kes aktif.

Kes tertinggi negeri ini dilaporkan pada 30 Januari lalu dengan 3,285 kes.

Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan 1,199 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara 340,642.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Selangor rekod 379 kes baharu, satu kematian

SHAH ALAM, 15 MAC: Kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini turun kepada 379 kes berbanding 577 semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak 268 kes dikesan daripada saringan kontak rapat dan 65 saringan kluster.

“Manakala, 43 kes daripada lain-lain saringan dan tiga lagi kes import yang mendapat  jangkitan dari luar negara.

“Tiga kluster baharu membabitkan jangkitan di tempat kerja iaitu kluster Sungai Puloh; kluster Batu Tiga Lama dan kluster Perusahaan Amari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya satu kematian berlaku di negeri itu hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 70 tahun yang turut mempunyai latar belakang penyakit asma.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan sebanyak 658 kes pulih hari ini menjadikan keseluruhan sembuh 107,235 dan kes aktif 1,825 kes.

 

Categories
SELANGOR

Kes Covid-19 Selangor semakin menurun, catat 633 kes baharu

SHAH ALAM, 26 FEB: Jangkitan Covid-19 di Selangor terus menurun selepas 633 kes dilaporkan hari ini, namun tetap menjadi yang tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata angka itu melibatkan 28.1 peratus daripada keseluruhan 2,253 kes direkodkan.

“Sebanyak 143 kes daripada kluster sedia ada termasuk 35 jangkitan daripada empat kluster baharu.

“377 kes dikesan daripada saringan kontak rapat, 111 kes dari lain-lain saringan serta dua jangkitan luar negara menjadikan keseluruhan di Selangor sebanyak 98,117 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya terdapat pertambahan empat kematian membabitkan warga tempatan berusia 40 hingga 78 tahun.

“Tiga daripadanya mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan buah pinggang,” katanya.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 2,253 kes baharu dan 3,085 pesakit sembuh.

Categories
SELANGOR

638 kes baharu Covid-19 di Selangor, empat kematian

SHAH ALAM, 2 JAN: Selangor mencatatkan 638 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu, 284 kes daripada kluster sedia ada,  kluster baharu (60), saringan kontak rapat ( 212 ), lain-lain saringan (140) dan dua kes import.

“Terdapat empat kematian direkodkan di Selangor iaitu melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita di Hospital Sungai Buloh; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (lelaki) dan Hospital Ampang (lelaki).

“Wujud dua kluster baharu tempat kerja di negeri itu hari ini iaitu kluster Tapak Bina Casuarina dan kluster Renggam melibatkan daerah Sepang, Petaling serta Klang,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan jumlah terkumpul kes Covid-19 di negeri ini ialah 33,807 kes dengan 24,436 pulih.

Tambahnya, jumlah kematian ialah 48 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 9,323.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: 392 kes baharu di Selangor, 322 pesakit sembuh

SHAH ALAM, 27 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada 392 jangkitan berbanding 710 yang direkodkan semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu mencatat kes harian tertinggi iaitu 32.8 peratus daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

“Sebanyak 237 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara dan 153 jangkitan daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata dua kes import di Hulu Selangor membabitkan individu yang baharu pulang dari India.

Menurut jabatan, bilangan pesakit pulih bertambah kepada 322 menjadikan keseluruhan sembuh 18,904.

“Kes kematian kekal 39 orang dan jangkitan aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,329,” katanya di Facebook.

Hari ini, kes positif dalam negara kekal empat angka namun menurun berbanding semalam apabila merekodkan 1,196 jangkitan menjadikan keseluruhan 105,096 dan satu kematian.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Situasi Covid-19 di Selangor terkawal, kes tinggi di kawasan PKPD

SHAH ALAM, 2 DIS: Situasi Covid-19 di Selangor masih terkawal meskipun jumlah kes harian mencatatkan peningkatan, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari peningkatan berkenaan kebanyakan berlaku dalam kawasan yang sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa keadaan masih terkawal kerana kes-kes terbaharu didapati di kawasan PKPD dan kita percaya pelaksanaan PKPD itu dapat mengurangkan risiko penularan wabak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Selangor merekodkan 891 kes baharu Covid-19, namun 795 kes berpunca daripada kluster-kluster sedia ada dengan 778 adalah daripada kluster Teratai membabitkan pekerja kilang Top Glove yang kini sedang menjalani PKPD.

Pada 25 November lalu, Amirudin juga memaklumkan Selangor bercadang melaksanakan PKPD di beberapa lokaliti yang didapati merekodkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Kerajaan Negeri juga bersedia untuk membiayai sebahagian kos operasi (pelaksanaan PKPD) sekiranya ia dilaksanakan.

Categories
SELANGOR SELANGOR

Selangor catat 62 kes, dua kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 23 OKT: Selangor mencatatkan 62 kes baharu Covid-19 hari ini, turun berbanding 132 kes semalam.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan, dua kluster baharu dikesan di negeri ini iaitu kluster Palma dan kluster Jaya dengan 10 disahkan positif wabak.

“Daripada 62 kes dilaporkan, 29 kes daripada kluster-kluster termasuk 10 kes daripada kluster baharu iaitu kluster Palma dan kluster Jaya.

“Sebanyak 18 kes (lain) daripada saringan kontak rapat kes positif, satu kes saringan pulang dari Sabah dan 14 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster Palma iaitu kes ke-20,399 dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kluster ini melibatkan daerah Gombak dan Hulu Selangor serta Kepong, Kuala Lumpur, saringan kontak rapat turut mengenal pasti 12 lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 101 individu telah disaring, 13 kes dikesan positif dengan sembilan kes baharu dan 88 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster Jaya pula melibatkan daerah Sepang dan Seremban, Negeri Sembilan yang dikenal pasti hasil saringan di tempat kerja pada 20 Oktober .

“Hasil saringan terhadap 48 individu mendapati sembilan kes dikesan positif Covid-19 sementara 39 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 710 kes baharu Covid-19 dengan Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 528.

Categories
SELANGOR

159 kes baharu di Selangor, tertinggi sejak Mac

SHAH ALAM, 17 OKT: Kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini melonjak kepada 159, tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan Mac lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata 31 daripadanya melibatkan kluster baharu iaitu kluster Keladi (23) dan kluster Menara (8).

“Sebanyak 89 kes daripada kluster sedia ada, 23 kes saringan kontak rapat, dua kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan 14 kes lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam siaran langsung di Facebook.

Noor Hisham berkata seramai 41 pesakit Covid-19 di Selangor sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 869 kes Covid-19 mengatasi angka 691 jangkitan pada 6 Oktober lalu menjadikan kesemuanya 19,627 kes termasuk pertambahan empat kematian.